Saturday, December 6, 2014

Bisnes : Jual Apa Orang Perlukan dan Bukan Apa yang Kita Perlukan?



Bisnes adalah seni untuk mendapatkan keuntungan wang. Jika anda belajar setinggi mana pun walaupun mempunyai segulung ijazah Phd, ia masih belum tentu dapat menjamin anda berjaya dalam bisnes. Hakikatnya, orang-orang berjaya di dalam dunia perniagaan adalah orang-orang yang tercicir dalam pelajaran bahkan langsung tidak mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda.

Bakat merupakan sesuatu yang penting bagi seseorang dalam menjalankan bisnes. Jika anda mempunyai modal yang banyak hatta mempunyai rangkaian atau network dalam bisnes, ini belum dapat memastikan anda berjaya dalam perniagaan. Contohnya dalam bisnes tuisyen. Ada orang yang mempunyai Ijazah Sarjana tetapi tidak mempunyai bakat untuk mengajar. Justeru, tiada orang yang ingin mengambil mereka untuk mengajar pelajar-pelajar.

Dalam bisnes, kita perlu jual barang apa orang yang perlukan dan bukan kita perlukan. Falsafah ini dipegang oleh Tuan Mydin dalam perniagaan runcitnya iaitu Mydin Mohamed Holdings Bhd sehingga berjaya menubuhkan rangkaian perniagaan Mydin di seluruh Malaysia.

Perniagaan beliau sebenarnya hanya bermula sebagai sebuah kedai runcit sahaja di Kota Bharu. Sehinggalah selepas 22 tahun, baru beliau membuka cawangan keduanya di Kuala Terengganu kerana beliau menggunakan duit simpanannya sendiri bagi membuka kedainya yang kedua.

Dalam perniagaan peruncitan, kita perlu menjual apa orang perlukan dan bukan kita perlukan. Contohnya musim banjir yang melanda Kota Bharu pada tahun 1966 memberi rahmat kepada perniagaan runcit Tuan Mydin. Ramai orang yang menutup kedai mereka ketika itu yakni musim banjir tetapi bukan bagi Tuan Mydin di mana beliau melihat musim banjir tersebut merupakan peluang membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Ketika itu, beliau terus membuka kedainya dengan menjual pelampung, payung, baju hujan, lampu suluh, bateri, lilin, dan mancis. Ya, menjual barang-barang yang diperlukan oleh orang ramai ketika musim hujan. Sudah tentu ini memberikan rezeki yang melimpah-luah kepada perniagaan runcit beliau.

Timbul juga masalah untuk membawa barang-barang keperluan ini dari Kuala Lumpur yang tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu ketika itu kerana seluruh kawasan ditenggelami air. Apa yang dilakukan oleh Tuan Mydin untuk membawa barangan ini ke kedainya? Tiada cara lain melainkan membawanya dengan menggunakan speed boat! Ketika ini orang ramai berebut-rebut untuk membeli barangan keperluan harian untuk tempoh beberapa hari. Apa yang lebih menarik kedai Tuan Mydin ini didatangi pelanggan selama 24 jam apatah lagi ketika menyambut musim perayaan.

Pengajaran dari kisah Mydin ini ialah kita perlu menjual apa orang perlukan.

Kadang-kadang saya juga terfikir mengenai perkara ini. Saya cuba untuk membuat bisnes tuisyen. Tetapi, kepakaran saya ialah bidang matematik tambahan. Namun begitu, pelajar-pelajar mahupun pusat-pusat tuisyen memerlukan guru-guru dalam subjek sains yakni kimia, fizik, dan biologi kerana subjek-subjek ini memerlukan permintaan tinggi pelajar-pelajar! Oleh itu, langkah terbaik untuk diri saya ialah jangan membuat bisnes tuisyen. Jika ingin teruskan juga, ada baiknya saya sendiri yang belajar dan mengulangkaji pelajaran bagi subjek-subjek ini.

Begitu juga dalam penulisan buku. Sebenarnya, kita perlu mengkaji pasaran apakah tema buku apakah orang minat membaca? Tidak lain dan tidak bukan ialah tema perhubungan (cinta ataupun suami isteri), agama, teori konspirasi-konspirasi yahudi atau akhir zaman, dan sebagainya. Sudah tentu kita perlu mengelak daripada menulis buku mengenai seni bina bangunan walaupun kita berlatar-belakangkan kelulusan seni bina. Jika ditulis 10 buah buku mengenai seni bina pun, tiada orang yang ingin membeli buku anda.

Ingat! Jual apa orang perlukan dan bukan apa yang kita perlukan dalam apa bisnes yang anda ceburi. Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com 

No comments: