Wednesday, October 12, 2022

Jangkaan Saya Umno Akan Menang Dalam PRU-15

Pengumuman pembubaran parlimen yakni pada 10 Oktober 2022 lepas disambut dengan perasaan hambar oleh seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat tahu bahawa ini semua kehendak Umno khususnya Zahid Hamidi yang ingin supaya PRU diadakan segera sebelum musim tengkujuh ini. Mereka ingin mengambil kesempatan atas kelemahan yang berlaku untuk berkuasa penuh pasca PRU-15 nanti.

Umur parlimen penggal ke-14 jika dikira dari 9 Mei 2018 – 10 Oktober 2022 adalah 4 tahun 5 bulan. Rekod umur parlimen paling pendek dalam sejarah Malaysia ialah sewaktu pentadbiran Tun Hussein Onn iaitu 3 tahun 8 bulan. Saya fikir umur parlimen penggal ke-14 ini juga agak panjang walaupun tidak cukup 5 tahun.

Jika trend keluar mengundi dalam PRU-15 adalah seperti dalam PRN di Melaka dan Johor, maka ini dapat dijangkakan bahawa Umno-BN akan menang dalam PRU nanti. Kita harus ingat bahawa Umno-BN tidak berehat selagi mana mereka tidak berkuasa. Kesempatan ketika negara akan menghadapi musim tengkujuh ini adalah peluang yang paling baik untuk meraih kemenangan dalam PRU nanti. 

Walaupun buat masa sekarang boleh dikatakan bahawa Pakatan Harapan paling ke hadapan dalam berkempen untuk PRU-15 walaupun sebelum pembubaran parlimen, saya fikir rakyat masih bernostalgia dengan pentadbiran Pakatan Harapan yang carca-marba selama 22 bulan dahulu. Jika ada yang masih menyokong PH, saya fikir itu hanya penyokong-penyokong tegar sahaja. 

Pengundi atas pagar khususnya orang-orang Melayu tidak akan menyokong mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Kelemahan pentadbiran PH dahulu boleh dijadikan peluru yang paling ampuh bagi BN atau PN dalam menghadapi PRU-15 nanti.

Apapun kita lihat sahaja kempen dan manifesto yang akan dilancarkan oleh gabungan-gabungan parti yang bertanding. Saya fikir ramai yang tidak akan keluar mengundi kerana rakyat sudah muak dengan permainan politik Malaysia yang semakin lama semakin bercelaru. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: