Wednesday, October 5, 2022

Apabila Azmin Ali Keluar dari Gua


Padu dan bertenaga.

Itulah kata-kata yang boleh dikatakan kepada Azmin Ali sewaktu memberi ucapan pelancaran jentera Parti Bersatu untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat ini. Ucapan beliau disambut gegak gempita dan gelak ketawa oleh para hadirin di majlis tersebut. Ya, ucapannya memang bergegar-gegar dan bertenaga. Seolah-olah Parti Bersatu yang setahun jagung dilihat mampu untuk menawan Selangor dalam PRU-15 akan datang. 

Boleh dikatakan Azmin Ali baru sahaja keluar dari gua kerana sudah lama dia (atau beliau) tidak memberi ucapan politik. Boleh dikatakan tiada idea-idea baru yang dirangka oleh beliau ketika menjadi Menteri Ekonomi sewaktu berada di dalam Perikatan Nasional. Ada yang mengatakan bahawa dia sebenarnya sibuk berpolitik. Berbeza sekali dengan Dr. Jidin yang merangka dan memperbaiki dasar pendidikan dari masa ke semasa untuk pelajar di seluruh negara ini. Jarang sekali kita mendengar Dr. Jidin memberi kenyataan mengenai politik kepada beliau. Boleh dikatakan Dr. Jidin ini orang jenis buat kerja. 

Ucapan Azmin Ali bukanlah pendedahan skandal-skandal kewangan negara sepertimana Rafizi Ramli yang dilihat lebih suka untuk meraih populariti murahan supaya rakyat melihatnya sebagai hero murahan. Tetapi seolah-olah ingin menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas dia khususnya oleh pemimpin-pemimpin Parti Keadilan yang mengadakan Rapat Mega Keadilan baru-baru ini.

Menurut Azmin, beliau sebenarnya bukan pengkhianat dan melompat parti tetapi beliau sebenarnya dipecat oleh PKR sendiri sebelum menyertai Parti Bersatu. Tambah beliau lagi pengkhianat sebenar adalah Anwar Ibrahim yang memaksa penyandang mengosongkan kerusi untuk Langkah Kajang untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan seterusnya ingin menduduki kerusi parlimen Port Dickson bagi memudahakn laluannya untuk menjadi Perdana Menteri walhal PRK ini sebenarnya tidak dipersetujui oleh ahli-ahli parti sendiri. 

Begitu juga dengan isu perletakan jawatan Dr. Mahathir. Beliau menyokong supaya Dr. Mahathir terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga tempoh yang sesuai beliau fikirkan sendiri untuk meletak jawatan. Jika Dr. Mahathir menyatakan terus untuk meletak jawatan selepas persidangan APEC, dibimbangi ini 21 pemimpin negara lain yang akan menghadiri persidangan ini di Kuala Lumpur tidak akan mendengar kata-kata Dr. Mahathir sendiri. 

Azmin Ali sebenarnya lari membentuk kerajaan baru yang dikenali sebagai Perikatan Nasional kerana sewaktu Pakatan Harapan pentadbiran kerajaan PH sebenarnya ditolak rakyat kerana banyak kali kalah dalam siri-siri PRK terutama sekali ialah kekalahan dalam PRK Tanjung Piai yang kalah sebanyak 15,000 undi kerana ditolak oleh rakyat. Langkah ini sebenarnya untuk menyelamatkan negara kerana kerajaan persekutuan sendiri telah ditolak oleh rakyat. Sejauh mana kebenaran yang dikatakan oleh Azmin Ali ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Beliau menyatakan bahawa beliau terpaksa membuka pintu belakang walaupun Perdana Menteri telah menutup pintu hadapan kerana ingin membenarkan sektor perindustrian tertentu beroperasi untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang sewaktu PKP dilaksanakan. 

Walaupun Anwar Ibrahim dalam reaksinya selepas ucapan Azmin hanya menyatakan supaya Azmin hanya perlu menjaga kawasan parlimen Gombaknya sahaja, saya fikir Anwar Ibrahim pun tidak berani untuk bertanding untuk mencabar Azmin Ali di Gombak. Azmin Ali sudah menyandang kerusi di parlimen ini sudah lama malah pernah menjadi Menteri Besar Selangor. Sudah tentu ini sedikit-sebanyak memberi kekuatan kepada beliau untuk terus kekal di kerusi ini kerana telah mempunyai kabel-kabel yang besar. 

Apapun kita tunggu sahaja keputusan dalam PRU-15 ini sama ada Azmin Ali boleh terus menyandang kerusi ini atau boleh dirampas oleh semula oleh PKR yang menyifatkannya sebagai pengkhianat. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: