Wednesday, November 9, 2022

Ingin Menjadi Perdana Menteri – Adakah KJ Ingin Mencabar Kepimpinan Ortodoks Umno?

Pada kali ini KJ secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya menang di parlimen Sungai Buloh dalam PRU-15 nanti. 

Ini bukanlah kali pertama KJ menyatakan hasratnya secara terbuka untuk menjadi Perdana Menteri tetapi sejak Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri lagi ketika KJ dikenali sebagai budak-budak tingkat 4 Putrajaya di mana beliau menjadi menantu Perdana Menteri ketika ini.

Saya fikir bintang KJ dalam politik akan sirna (musnah) selepas Tun Abdullah meletak jawatan. Namun begitu, beliau berjaya membina karier politiknya selepas pengunduran bapa mentuanya sehinggalah berjaya mengemudi Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Sains & Teknologi, dan kementerian terakhir sekali sebelum pembubaran parlimen ialah Kementerian Kesihatan.

Umum mengetahui bahawa KJ bukanlah seorang yang memegang jawatan penting dalam Umno apatah lagi dalam Top 5 Umno. Jika difikir secara logik, sudah tentu KJ sudah tentu tidak mampu untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15 walaupun berjaya memenangi kerusi parlimen Sungai Buloh walaupun kerusi ini merupakan kubu kuat PKR sejak sekian lama dan dalam PRU-14 penyandang kerusi ini memenangi kerusi ini dengan majoriti lebih daripada 26,000 undi. 

Boleh difahami secara tersirat bahawasanya secara terbuka KJ ingin mencabar kepimpinan Zahid Hamidi yang semakin melemah sejak hari penamaan calon baru-baru ini apatah lagi dengan pengguguran penyandang-penyandang otai kerusi parlimen dalam Umno. 

Sebelum ini, KJ pun pernah bertanding bagi jawatan Presiden umno dalam saingan tiga penjuru dalam menentang Zahid Hamidi dan Ku Li tetapi gagal. Namun aura KJ dalam politik kian menyerlah saban hari setelah berjaya menerajui dan menjayakan kementerian yang diterajuinya sebelum ini.

Konflik dalam Umno yang menyebabkan pertembungan antara kluster menteri dan kluster mahkamah dalam Umno menyebabkan KJ cuba disembelih oleh Zahid Hamidi apabila dicalonkan di kerusi parlimen Sungai Buloh yang sudah tentu sukar buat beliau untuk menang. 

Sudah tentu, pertembungan kluster menteri dan kluster mahkamah akan terus wujud pasca PRU-15 nanti. Apa yang lebih penting apakah Umno-BN masih mampu untuk membentuk majoriti dalam kerajaan perpaduan yang akan dibentuk nanti memandangkan tiada pakatan politik sama ada PH, PN, dan BN yang mampu untuk membentuk majoriti bagi membentuk kerajaan. 

KJ harus bertindak sebagai panglima dalam Umno untuk menjalankan pembaharuan sama ada secara evolusi ataupun revolusi. Selepas Najib dipenjarakan, Umno tiada lagi poster boy yang mampu untuk meraih simpati dan sokongan kepada Umno. Zahid Hamidi yang menjadi Presiden Umno terus menambah episod hitam dalam parti ini apabila menggugurkan warlord-warlord lama dalam Umno seperti Shahidan Kassim, Noh Omar, Annuar Musa, dan lain-lain lagi. 

Yang berani menentang bertanding di atas tiket parti lawan seperti Shahidan Kassim. Yang takut menikus terus memberi sokongan kepada Umno. Mana tahu kot-kot boleh menjadi Timbalan Menteri ataupun Menteri melalui kerusi senator. 

Hasrat KJ yang menyatakan ingin menjadi Perdana Menteri sebenarnya isyarat halus kepada Zahid Hamidi di mana kepimpinannya tidak diterima ramai. KJ harus bertindak secara lebih bijak supaya perbatuan politiknya lebih selamat dan panjang memandangkan pemilihan Umno akan diadakan selepas PRU-15 nanti. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: