Thursday, May 26, 2011

KRU - Kumpulan Rap Utama

Trio KRU


Saya terpanggil untuk menulis artikel ini selepas saya melihat iklan filem 'Hikayat Merong Mahawangsa' (HMM) terbitan KRU studio yang berjaya mendapat pasaran di luar negara. Walaupun saya ini bukan peminat artis, filem ataupun lagu tetapi saya berasa kagum dengan kumpulan KRU yang bermula sebagai kumpulan rock muzik era 90-an kini mempunyai studio rakaman sendiri yang berjaya mengedarkan produk filemnya ke luar negara menerusi filem HMM ini. Berbanding dengan kumpulan muzik yang lain yang pada kebiasaannya berpecah setelah beberapa ketika, Kumpulan KRU pula terus gah sejak tahun 1992 sehingga sekarang.

Kumpulan yang terdiri daripada trio 3 beradik ini iaitu Norman, Yusry dan Edry pada mulanya menulis lagu untuk pasukan bola sepak Selangor yang bertajuk Viva Selangor dan Merah Kuning. Ketika itu, kumpulan mereka dikenali sebagai SRU-Selangor Rappers Unit. Sejak daripada itu, mereka giat menulis lirik-lirik lagu. Ditakdirkan tanpa pengetahuan mereka, rakan sekampus Norman telah menghantar lirik-lirik lagu mereka kepada syarikat rakaman EMI (Malaysia) dan mereka dipanggil untuk uji bakat. Tanggal 19 Mei 1992 Kumpulan Rap Utama (KRU) ditubuhkan.

Kini, kumpulan ini mempunyai KRU Studio yang terdiri daripada KRU Films, KRU records, KRU Matrix dan KRU Communications. Selain itu, KRU Studio mempunyai cawangan-cawangan di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong, dan Eropah. Syarikat ini telah menerbitkan beberapa filem antaranya Cicakman, Duyung, Jin Notti, dan Cicakman 2-Planet Hitam serta Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang ditayangkan pada tahun ini.

Daripada sorotan perjalanan kumpulan KRU kini daripada kumpulan rap sehingga memiliki studio di luar negara, dapat kita fahami bahawa kita perlu mempunyai perancangan untuk berjaya dalam hidup sama ada dalam perniagaan ataupun pelbagai bidang yang diceburi. Walaupun Kumpulan KRU ini tidak pernah menceritakan pahit jerih serta halangan yang dilaluinya, saya percaya bahawa banyak rintangan yang dilalui oleh mereka untuk meraih kejayaan sehingga ke hari ini. Bak kata Brian Tracy, "Anda perlu membayar terlebih dahulu untuk mendapat sesuatu."

Sekian,terima kasih.
.


No comments: