Saturday, January 19, 2013

Gelombang Kuasa Ekonomi Ketiga : Wakaf, Zakat, Sedekah dan Faraid.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
Baru-baru ini saya telah ke Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi menjayakan pelaksanaan wakaf di organisasi saya bekerja. Banyak juga perkara-perkara yang dibincangkan dari segi praktikal dan teknikal untuk membangunkan institusi wakaf di organisasi saya. Kita perlu mengangkat martabat ekonomi umat Islam melalui instrument-instrumen yang telah digariskan oleh Islam bukannya mengadakan demonstrasi jalanan atau memekak di stadium. Pada 12 Januari 2012 yang lalu ‘Hari Kebangkitan Rakyat’ telah diadakan sebagai tempat meluahkan perasaan kepada pemerintah. Malangnya, ianya dihadiri oleh 500,000 orang sahaja iaitu mewakili 1.77 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia seramai 28.3 juta orang. Ia tidak mencerminkan keadaan sebenar penentangan rakyat terhadap Kerajaan cuma ia sekadar untuk ‘syok-syok sahaja’ jika dilihat dari peratusan angka yang hadir.


Penulis di Pejabat  Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
Sebenarnya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) ditubuhkan hasil daripada cetusan idea Tuanku Sultan Selangor dan bukannya mana-mana pemimpin politik atau NGO. PWS pula merupakan ‘anak syarikat’ Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). MAIS sebenarnya ditubuhkan pada 1952 lagi di mana Tanah Melayu masih belum merdeka. Sebelum itu, umat Islam yang ingin mewakafkan hartanya akan memaklumkan kepada orang yang boleh dipercayai di kampung mereka seperti Tok Imam, Ketua Kampung dan sebagainya contohnya ingin mewakafkan tanahnya untuk dijadikan Surau. Namun begitu, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari apabila waris pewakaf ingin menuntut haknya kerana pada masa itu tiada lagi badan-badan atau majlis yang menguruskan harta wakaf secara rasmi kerana tiada dokumen-dokumen bertulis. Apabila diselesaikan di mahkamah didapati bahawa waris yang ingin menuntut semula harta mereka akan ‘kalah’ di mahkamah. Sedarlah Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian apabila kita mewakafkan harta kita, secara automatiknya harta kita itu menjadi milik Allah s.w.t. dan janganlah sesekali kita ingin menuntut semula harta tersebut.

Sehingga sekarang hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai Perbadanan yang menguruskan wakaf secara khusus. Namun begitu, Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan memang wujud tetapi tiada kakitangan yang diletakkan di perbadanan tersebut bagi menguruskan perbadanan wakaf tersebut. Di Pahang pula, majlis agama memang mempunyai Unit Wakafnya sendiri tetapi ia hanya diuruskan oleh 3 orang kakitangan sahaja yang berstatus kerani. Ini sudah tentu tidak berkesan sepertimana PWS kerana bagaimana 3 orang ini boleh menguruskan wakaf di Negeri Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Apa yang lebih menarik lagi ada penduduk di negeri-negeri lain seperti Perak yang telah mewakafkan tanah mereka kepada PWS kerana mereka percaya bahawa tanah yang mereka wakafkan akan diusahakan dan tidak terbiar begitu sahaja setelah diwakafkan. Ini merupakan usaha yang baik kerana selagi mana tanah tersebut digunakan, selama itu pahala si pewakaf akan berjalan.
Ada ahli mesyuarat yang membangkitkan bahawa instrumen ekonomi Islam seperti wakaf, zakat, sedekah dan faraid akan menjadi gelombang kuasa ketiga pada era ini bagi meingkatkan taraf ekonomi umat Islam. Ini adalah benar juga kerana sistem komunis telah runtuh sejak runtuhnya Kerajaan Kesatuan Soviet pada tahun 1990 manakala sistem kapitalis sudah mula menunjukkan tanda-tanda kejatuhannya sejak tahun 2008 lagi.
Saya tidak akan memperincikan wakaf,zakat dan sedekah pada kali ini kerana saya telah banyak kali menulis perkara ini dalam artikel sebelum ini. Apa yang saya ingin tumpukan pada kali ini ialah faraid yang merupakan salah satu instrumen ekonomi Islam. Statistik tidak rasmi menunjukkan bahawa harta umat Islam di Malaysia yang dibekukan berjumlah RM40 bilion sehingga tahun 2007 dan sudah tentu ia merugikan orang Islam itu sendiri kerana harta tersebut dibiarkan begitu sahaja. Daripada jumlah itu, sebanyak 38 bilion harta pusaka dalam bentuk hartanah, RM 1.5 bilion berupa wang tunai, dan RM 70 juta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Terbaru, statistik pada tahun 2010 juga menunjukkan anggaran jumlah 40 bilion harta milik lebih 500,000 waris dari kalangan umat Islam masih belum dapat dicairkan (Rujuk www.myjurnal.my).
Perkataan ‘faraid’ dari segi bahasa bermaksud menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak ialah faraid bermaksud pembahagian harta seseorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli-ahli warisnya iaitu anak, isteri / suami, ibu bapa dan lain-lain menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dan lain-lain) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 jumlah harta).  Bentuk harta yang boleh dibahagikan ialah tanah, banguna atau rumah, barang-barang kemas, insurans dan wang tunai, dan binatang ternakan. (Rujuk buku Bijak Mengurus Wang, Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir).
Namun begitu, keadaan pengurusan harta pusaka di Malaysia masih lemah. Ini adalah kerana tiada orang yang menggerakkan proses pentadbiran harta pusaka. Sepatutnya perlu ada seseorang daripada kalangan waris ataupun syarikat pemegang amanah yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka tersebut. Akan tetapi, realitinya waris-waris si mati hanya membiarkan sahaja harta tersebut kerana ‘segan’ bertanyakan harta yang menjadi hak milik bersama. Akhirnya, harta-harta umat Islam hanya terkumpul dan terbiar begitu sahaja sehingga harta tersebut berjumlah RM40 bilion.
Sesungguhnya apa yang diperkenalkan oleh Islam itu amat indah sekali. Namun begitu, tiada jentera yang betul-betul menggerakkan instrumen-instrumen ekonomi Islam ini secara menyeluruh sehingga sekarang. Sekiranya ia betul-betul digembling bersama sudah tentu umat Islam di Malaysia telah menguasai ekonomi Malaysia sejak dahulu lagi. Mudah-mudahan.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: