Saturday, June 7, 2014

Bagaimana Kita Ingin Membina Negara Islam jika Unsur Babi Masih Terlepas ke dalam Perut Umat Islam?




Kita sebagai umat Islam di tanah air sendiri sentiasa dibuli oleh orang-orang bukan Islam. Perkara apa yang hendak dibuli sebenarnya? Tidak lain dan tidak bukan ialah isu mengenai makanan haram. Sejak dahulu lagi isu makanan haram sentiasa menjadi isu utama dalam negara ini. Seolah-olah ianya bermusim dan mempunyai pasang-surutnya sendiri. Dahulu isu sosej babi kemudian isu kek lapis Sarawak yang mengandungi babi kerana bahan-bahan untuk membuat kek lapis tersebut mengandungi unsur babi. Natijahnya ialah satu kilang yang membuat kek lapis terpaksa disamak. Astaghfirullahala’zim.

Kini, timbul pula isu coklat Cadbury yang mempunyai DNA babi. 2 produk yang dipercayai mengandungi unsur babi iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond. Pada mulanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan mengatakan dua produk tersebut mengandungi DNA babi. Kemudian, ia dinafikan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) apabila membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap produk syarikat Cadbury.

Kedua-dua kenyataan ini sudah tentu menimbulkan kecelaruan umat Islam mengenai status coklat ini. Sekejap mengata haram dan sekejap kemudian dikatakan halal semula. Yang manakah kita perlu ikut sebenarnya? Saya percaya isu ini hanya sekejap sahaja dan kemudian akan senyap begitu sahaja dan orang ramai akan makan coklat Cadbury ini seperti biasa pada masa akan datang.

Namun begitu, dari satu segi kita dapat melihat bahawa penguasaan orang Islam dalam rantaian ekonomi makanan masih lemah. Adakah kita ingin menyalahkan pihak JAKIM semata-mata apabila timbul isu makanan haram di lambakan pasar raya-pasar raya di seluruh negara? Sudah tentu pihak JAKIM adalah tidak mampu untuk mengawal semua produk makanan di seluruh negara apatah lagi ingin memeriksa semua kilang yang mengeluarkan makanan. Sudah ini tanggungjawab semua umat Islam dalam memastikan bahawa lambakan makanan yang berada di pasaran hari ini adalah betul-betul 100 peratus halal.

Isu makanan haram sering timbul dalam masyarakat kita. Adakah kita boleh menjamin sekarang bahawa 100 peratus makanan yang masuk ke dalam badan kita ini adalah bebas daripada unsur-unsur haram yang zahir yakni babi? Wallhua’lam. Semoga tiada unsur-unsur babi ini masuk ke dalam jasad kita ini sama ada pada masa lepas atau masa akan datang. Insya-Allah. 

Mari kita renungi hadis ini :

“Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”

Dapat difahami daripada hadis ini bahawa pembentukan akhlak manusia itu adalah berpunca daripada hati yang bersih. Hati yang bersih adalah berpunca daripada makanan yang halal lagi bersih. Sekiranya hati ini tidak bersih kerana sudah makan makanan haram, maka rosaklah akhlak seseorang individu Muslim tersebut.

Bagaimana kita ingin membina Negara Islam sekiranya perkara-perkara kecil yakni soal makanan haram belum dapat ditangani dengan baik lagi? Akhlak individu Muslim yang baik adalah nukleus yang paling penting sekali dalam usaha untuk melahirkan keluarga Muslim, masyarakat Muslim, Negara Islam, dan seterusnya pemerintahan Khilafah Islamiah. Jika perkara asas masih belum terbina lagi, alamatnya itu petandanya kita masih jauh dalam usaha untuk membina Negara Islam yang kita uar-uarkan selama ini.

Teringat saya akan suatu kisah di mana seekor kambing makan rumput jiran tuannya. Lalu pengembala kambing tersebut mengambil susu kambing tersebut untuk diberikan minum kepada anaknya. Kemudian, apabila si anak tersebut telah besar didapati bahawa si anak tersebut sukar untuk menghafal al-Quran hanya kerana susu kambing tersebut bukan berpunca daripada sumber yang halal kerana kambing tersebut makan rumput yang bukan milik tuannya.

Ini hanya kes susu seekor kambing yang hanya berpunca daripada makan rumput bukan milik tuannya yang menyebabkan anak si pengembala tersebut sukar untuk menghafal al-Quran apatah lagi jika umat Islam pada hari ini makan babi tanpa disedari. Sudah tentu ia akan melahirkan Muslim yang rosak akhlaknya dan seterusnya sukar untuk melahirkan masyarakat yang baik akhlaknya. Na’uzubillahminzalik. 

Apa yang diharapkan oleh umat Islam pada hari ini makan makanan 100 peratus halal. Isu babi adalah amat sensitif jika dibandingkan dengan isu-isu makan makanan haram yang lain seperti rasuah, rompakan, dan sebagainya. Dengan kata lain, kita jangan memandang makanan yang haram sahaja dari sudut zahiriyah sahaja tanpa melihat haramnya dari sudut maknawiyah kerana kedua-duanya juga memainkan peranan penting dalam membentuk dan seterusnya melahirkan akhlak individu Muslim yang baik akhlaknya.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: