Sewaktu Khilafah Uthmaniyah dihapuskan secara rasminya
pada 3 Mac 1924, gerakan parti-parti yang memperjuangkan agama Islam adalah
dilarang sama sekali oleh Mustafa Kamal Attaturk. Ketika umat Islam berada
dalam kegelapan ini, muncullah seorang mujadid Islam iaitu Badiuzzaman Said
Nursi yang ingin membawa semua orang Islam kembali kepada agamanya. Kekuatan
Nursi ini adalah berpaksikan kepada penulisan dan penyebaran karangannya yang terkenal
iaitu Rasa’il al-Nur.
Rasa’il al-Nur sebenarnya merupakan tafsiran al-Quran
yang berfokuskan kepada keimanan. Ia disusun melebihi 130 tajuk dalam buku-buku
seperti al-Kalimat, al-Maktubat, al-Mathnawi, dan sebagainya. Matlamat Rasa’il
al-Nur sebenarnya ialah untuk menjelaskan hakikat dan intipati iman dan menolak
tuduhan liar musuh-musuh Islam dengan mengemukan hujah-hujah mantap. Ia ditulis
ketika Nursi berada di dalam buangan dan penjara dari tahun 1926-1949 iaitu
ketika Turki di bawah pemerintahan Parti Republikan Rakyat. Apa yang menarik
ialah karangan beliau ini menembusi kota-kota dan desa-desa untuk menyeru
masyarakat kembali kepada Islam secara syumul.
Apa yang menarik risalah ini ialah ratusan banduan di
penjara Dinizli telah berubah akhlaknya setelah membaca Risalah al-Thamarah.
Sehinggakan orang yang dihukum kerana kesalahan membunuh tidak lagi membunuh
walaupun seekor kupu-kupu. Hal ini turut diakui oleh Pengarah Penjara bahawa
penjara Dinizli tersebut telah bertukar menjadi pusat pengajian disebabkan oleh
Rasa’il al-Nur. Risalah ini juga dibaca oleh 20,000 orang dalam masa 20
tahun.
Selain itu, Nursi juga bergerak dengan Gerakan al-Nur
yang berjaya memberi kemenangan kepada Parti Demokratik Turki dalam pilihan
raya pada tahun 1949. Sehingga Ismet Inonu yang kalah dalam pilihan raya
berkata, “Kita telah dijatuhkan oleh Gerakan al-Nur.”
Begitu juga dengan negara kita di mana politiknya
sentiasa bergelora dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat melalui Tun. Dr.
Mahathir sewaktu pilihan raya umum pada tahun 1969 yang menyaksikan beliau dan
Kerajaan Perikatan kalah dalam pilihan raya tersebut (Hilang 2/3 majoriti
parlimen) disebabkan oleh pengundi Cina belot kepada parti Perikatan.
Ini membawa kepada Dr. Mahathir menulis surat kepada Tunku
serta penerbitan buku The Malay Dilemma
di Singapura yang menjadi pemangkin penentangan terhadap Tunku oleh UMNO dan
orang melayu itu sendiri. Sokongan kepada Dr. Mahathir menyemarakkan lagi
bantahan terhadap Tunku dan menggesa beliau meletak jawatan. Dr. Mahathir
akhirnya dipecat daripada UMNO kerana tindakanya itu dan apa yang menarik ialah
Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 iaitu
kurang 4 hari genap setahun selepas beliau dipecat.
Tunku bukan seorang sahaja yang menjadi sasaran Dr.
Mahathir supaya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku natijah daripada
kekalahan dalam mengemudi pilihan raya umum supaya meletak jawatan. Apa yang
terjadi kepada Perdana Menteri Pertama juga berlaku berlaku kepada Perdana
Menteri Kelima iaitu Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan ekoran
prestasi buruk beliau dalam pilihan raya umum pada tahun 2008. Akhirnya,
Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tidak lama selepas PRU tahun
2008.
Jika pada tahun 1969, Dr. Mahathir menerbitkan buku The Malay Dilemma bagi mengkritik
kepimpinan Tunku manakala pada tahun 2008 Dr. Mahathir menulis blog peribadinya
iaitu chedet.cc dalam usahanya mengkritik kepimpinan Abdullah yang lemah ekoran
Barisan Nasional (Perikatan) sekali lagi hilang majoriti 2/3 parlimen. Apa yang
pasti kedua-dua pemimpin tersebut meletak jawatan ekoran daripada penulisan Dr.
Mahathir.
Dapat dilihat di sini bahawa walaupun Dr. Mahathir tiada
apa-apa kuasa, beliau boleh mempengaruhi pendapat umum melalui penulisannya yang
membawa kepada perletakan jawatan kedua-dua Perdana Menteri negara ini. Inilah
kuasa penulisan – boleh mempengaruhi pendapat umum dalam menyatakan sesuatu
yang tidak betul ataupun perlu diperbaiki.
Jika dilihat susur galur sejarah, dalam kepimpinan negara
di Turki iaitu pasca kejatuhan Turki Uthmaniyyah mahupun kepimpinan negara ini,
penulisan boleh menggegarkan Kerajaan yang berkuasa. Di Turki, kita boleh
melihat usaha Badiuzzaman Said Nursi yang membawa kepada kekalahan kerajaan
Parti Republikan Rakyat melalui Rasa’il al-Nur dalam pilihan raya umum pada
tahun 1949. Manakala di Malaysia pula kita menyaksikan perletakan 2 orang
Perdana Menteri hasil disebabkan oleh pengaruh penulisan Dr. Mahathir dalam
mempengaruhi pendapat umum. Apa yang membezakan bentuk
penulisan tersebut sama ada ia berbentuk tradisional (kertas atau buku) atau
atas talian (online) mengikut peredaran zaman.
Jika kita renungi sabda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :
“Barangsiapa
di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan. Jika
tidak tidak mampu, maka cegahlah ia dengan lisan. Jika itu juga di luar
kemampuannya, maka cegahlah dengan hati Sesungguhnya (mencegah dengan hati)
selemah-lemah iman.” Riwayat Muslim
Jika kita melihat frasa pertama iaitu
jika kita melihat kemungkaran, hendaklah kita mencegah dengan tangan. Ayat ini
sebenarnya ditujukan kepada pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa untuk
mencegah kemungkaran dengan tangannya.
Ada juga sebahagian ulama’ yang
berpendapat bahawa menulis juga adalah termasuk mencegah kemungkaran dengan
tangan. Pendapat ini juga sebenarnya relevan dengan melihat 2 peristiwa yang
berlaku ini dalam menegur Kerajaan melalui penulisan yakni dengan mempengaruhi
masyarakat atau orang awam supaya menentang Kerajaan yang melakukan kemungkaran
ataupun kesilapan.
Apa yang penting penulisan perlu
mempunyai hujah ataupun idea bernas untuk disampaikan kepada masyarakat
bukannya secara membuta-tuli. Jika penulisan hanya secara membuta-tuli kelak
tiada sesiapa yang ingin membaca penulisan kita apatah lagi untuk mengikut idea
yang diutarakan oleh kita sendiri.
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment