Friday, January 21, 2011

Rumah: Sewa atau Beli?

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai Rumah. Terdapat 2 jenis orang di atas bumi ini iaitu memiliki harta yang sudah habis dibayar ataupun mempunyai harta yang belum habis dibayar iaitu harta yang dibeli secara hutang. Begitu juga dengan rumah, adakah anda sudah memiliki rumah? Adakah ia sudah habis dibayar ataupun belum habis dibayar? Tepuk dada tanya diri sendiri.

2. Sekiranya kita menyewa di sesuatu rumah, rumah itu tidak akan menjadi milik kita walaupun kita telah menyewa rumah tersebut selama 10 tahun. Ini kerana wang sewa yang dibayar setiap bulan akan dibayar kepada Tuan Rumah anda. Tuan rumah tersebut menggunakan duit sewa yang dibayar untuk membayar ansuran bank. Lebihan bayaran sewa itu akan menjadi keuntungan Tuan Rumah tersebut. Alangkah bahagianya Tuan Rumah tersebut!



3. Saya berkesempatan bersembang dengan jiran saya yang baru tinggal di Sungai Buloh. Beliau menyatakan beliau sudah mempunyai 3 buah rumah. 2 buah rumah lagi beliau sewakan kepada orang lain. Lebihan wang sewa yang diterima setiap bulan, beliau gunakan untuk membayar ansuran rumah sekarang. Ini bermakna beliau menggunakan duit atas angin untuk membayaran ansuran rumah tersebut. Alangkah bahagianya!

4. Itu baru 3 buah rumah. Saya pernah terbaca buku Tuan SK, di mana beliau menceritakan ada seorang kontraktor mempunyai 120 buah rumah. Andaikan purata bayaran sewa rumah adalah RM500 sebulan. Ini bermakna kontraktor tersebut memperolehi RM60,000 sebulan!


5. Bagaimanakah sekiranya kita ingin membeli rumah? Wajarkah kita membeli rumah dengan harga RM200,000 - RM300,000 dengan ansuran bank selama 20-30 tahun? Jawapannya adalah tidak wajar. Ini adalah kerana kita dikira menghadiahkan sebuah bank kepada pihak bank yang memberi pinjaman kepada kita jika kita mengira jumlah kadar faedah ataupun jumlah keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman selama 20 - 30 tahun.

6. Sebaik-baik pinjaman rumah adalah sehingga 15 tahun sahaja. Rumah tersebut biarlah sepadan dengan kemampuan kita. Ada seorang kenalan saya yang membeli rumah hanya berharga RM80,000 sahaja dengan ansuran bank selama 15 tahun. Ada juga kenalan saya yang telah habis membayar ansuran bank dengan menggunakan simpanan KWSP mereka dan mereka tidak lagi berhutang.

7. Setakat ini sahaja dulu penulisan saya mengenai rumah. Hebahkan kepada rakan-taulan anda mengenai blog ini bagi berkongsi ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Buat Duit Dengan rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.
2. Kaya Dengan Rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.

No comments: