Monday, January 24, 2011

Hutang oh Hutang...

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Tan Sri Halim Saad, bekas Pengerusi Renong suatu ketika dahulu perlu meminta bantuan daripada Perdana Menteri untuk mengelak daripada gangguan bank-bank semasa krisis ekonomi melanda Asia pada tahun 1997/98. Hutang beliau ketika itu amat tinggi iaitu RM60 billion iaitu sama dengan rezab Bank Negara ketika itu. Beliau memerlukan belanja yang besar untuk pelbagai komitmen setiap bulan. ( S. Jayasankaran)

2. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda sentiasa menghadapi gangguan daripada bank-bank yang sentiasa menuntut hutang atau ansuran anda setiap bulan kerana anda masih tidak membayarnya atau memang tidak akan membayarnya? Adakah bank menelefon anda di pejabat kerana anda tidak mengangkatnya semasa menghubungi telefon bimbit anda? Bolehkah anda meminta bantuan 'orang kuat' supaya menasihati pihak bank supaya jangan menganggu anda? Syabas jika anda boleh berbuat demikian.

3. Itulah hutang atau ansuran yang perlu kita bayar setiap bulan. Persoalannya, mengapa kita berhutang? Adakah hanya ingin memenuhi tuntutan nafsu kita? Ingin membeli aksesori kereta ataupun perhiasan untuk rumah? Amat merugikan sekiranya ada antara kita yang tergolong dalam golongan sedemikian.

4. Memang tidak dinafikan bahawa hutang adalah penting untuk memenuhi keperluan asas kita kereta, rumah dan pendidikan sama ada melalui pinjaman peribadi dan sebagainya. Namun begitu, apakah yang perlu kita pertimbangkan sebelum kita mengambil hutang? Sudah tentu jumlah bersih pendapatan kita setelah semua hutang ditolak daripada pendapatan kita setelah pinjaman diambil serta tempoh yang diambil bagi menghadapi 'musim gerhana' membayar hutang ini.

5. Saya tidak faham mengapa sesetengah orang sanggup membuat 'maksimum loan' dalam membuat pinjaman. Setelah pinjaman diambil dan potongan dibuat, mereka menggunakan kad kredit sebagai talian hayat mereka untuk membeli keperluan asas. Akibatnya, mereka terus menanggung hutang sampai bila-bila. Itulah punca mengapa hutang tidak pernah habis dibayar.

6. Begitu juga dengan kereta. Kereta belum habis dibayar lagi, tetapi terus membeli kereta baru dengan membuat 'refinance' dengan pihak bank. Alangkah malangnya... pihak bank tersenyum riang kerana anda membuat pinjaman dengan mereka. Anda pula terpaksa bekerja keras bagi membayar hutang mereka. Malang bagi anda kerana masih membayar hutang semata-mata untuk memiliki kereta baru. Itu juga punca mengapa hutang belum habis dibayar.



7. Oleh itu, mulai hari ini jangan membuat hutang lagi. Pendapatan akan naik dari tahun ke tahun sama ada 10-20% setahun tetapi kekalkan gaya hidup lama anda. Gunakan lebihan atau surplus pendapatan anda ini untuk membayar hutang-hutang anda sekiranya anda sudah sesak nafas sekarang. Nasi sudah menjadi bubur. Tetapi bubur masih boleh dimakan walaupun ia bubur lambuk. Janganlah kita berputus asa daripada rahmat Allah. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

No comments: