Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
1. Penulis baru tiba di Dungun, Terengganu malam semalam (19 Januari) dari Kuala Lumpur untuk urusan keluarga. Nampaknya perjalanan minggu ini mungkin perjalanan yang menyeronokkan atau juga mungkin meletihkan kerana penulis perlu berulang-alik Kuala-Lumpur - Terengganu sebanyak 2 kali dalam masa 1 minggu. Hari Ahad ini (23 Januari) penulis perlu pulang ke Kuala Lumpur pula kerana telah habis bercuti!
2. Sepanjang perjalanan sepanjang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), saya dapat melihat pelbagai jenis kereta sama ada kereta Malaysia atau kereta import menyelusuri lebuh raya. Persoalannya, duit apakah yang digunakan bagi membiayai pembelian kereta ini? Adakah duit wang pokok gaji yang diterima setiap bulan ataupun duit hasil dari pelaburan kita?
3. Saya lebih suka sekiranya duit pembayaran ansuran kereta ini setiap bulan menggunakan duit hasil daripada pelaburan. Ini adalah kerana kereta merupakan 'besi ' yang mana harganya akan menyusut daripada semasa ke semasa. Oleh itu, kita akan mengalami 'kerugian' sekiranya kita terpaksa menggunakan duit gaji kita setiap bulan untuk membayar ansuran kereta setiap bulan. Harga kereta pada hari ini tidak akan sama dengan harga kereta 5 tahun akan datang. Alangkah ruginya sekiranya kita masih membayar ansuran kepada bank dengan mengenakan kadar faedah tertentu sedangkan harganya jauh sudah jatuh menjunam.
4. Adakah kita mampu membeli dan mampu menggunakan kereta? Saya bimbang sekiranya kita hanya sekadar mampu membeli kereta dan tidak mampu menggunakan kereta. Ini adalah kerana kita perlu menanggung kos-kos yang lain selepas membeli kereta setiap bulan. Antaranya ialah cukai jalan, minyak, tol, parking berbayar, servis dan lain-lain lagi. Ada penulis tempatan yang menyatakan kita perlu menambah sekali ganda lagi perbelanjaan untuk kos-kos sampingan bagi kereta ini. Contohnya, ansuran bulanan kereta ialah RM650 sebulan. Maka, kita perlu menyediakan RM650 lagi untuk bayaran kos-kos lain. Ini bermakna kita perlu menyediakan RM1,300 untuk belanja kereta sahaja. Itu untuk kereta Malaysia sahaja.
5. Saya ada kenalan di mana warisnya merupakan seorang kontraktor menggunakan kereta BMW 7-series yang dibeli dari Langkawi ( kawasan bebas cukai). Beliau menyatakan warisnya perlu membayar RM4,500 ansuran bulanan kereta manakala cukai jalan pula adalah RM8,000 setahun. Ini adalah untuk perbelanjaan bagi kereta mewah. Sesuai untuk ahli perniagaan sahaja untuk menjaga imej mereka dalam menjalankan urusan perniagaan. Kalau sekadar bekerja kerajaan, memakai kereta Proton Saga sahaja sudah memadai.
6. Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Semoga kita dapat berkongsi bersama mengenai kereta pada kali ini. Kita jumpa kembali untuk tajuk-tajuk baru di blog ini pada masa akan datang. Teruskan pembacaan anda di blog ini. Jangan lupa untuk hebahkan blog ini kepada rakan-taulan anda bagi berkongsi ilmu pengetahuan.
Sekian,terima kasih.
No comments:
Post a Comment