Thursday, January 13, 2011

Kaedah Sampul Surat

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai kaedah sampul surat. Kaedah ini sebenarnya adalah bermaksud kita mengasingkan pendapatan mengikut perbelanjaan bulanan kita setiap bulan mengikut sampul surat. Contohnya, pendapatan untuk perbelanjaan sewa rumah, bil-bil elektrik, hutang-piutang, dapur, persekolahan anak dan sebagainya diasingkan mengikut sampul surat. Sememangnya, perkara ini kecil sekiranya kita lihat dan ianya amat bermakna sekiranya kita amalkan.

2. Caranya mudah sahaja. Anda sediakan sahaja beberapa keping sampul surat. Anda tandakan sampul itu dengan perkara tertentu seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, belanja persekolahan anak dan sebagainya. Anda ambil wang anda di bank, dan masukkan ia ke dalam sampul tersebut mengikut peruntukan anda. Kaedah ini sebenarnya dapat mengelak diri anda daripada 'terbabas' daripada berbelanja lebih setiap bulan.




3. Akan tetapi, untuk simpanan anda tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah sampul ini. Azizi Ali dalam bukunya 'Jutawan daripada Planet Jupiter' menyarankan kita membuat potongan gaji dalam membuat simpanan. Contohnya membuat potongan terus ke akaun ASB ataupun Tabung Haji. Kaedah ini sebenarnya baik untuk kita bagi mengelak diri kita daripada menggunakan duit simpanan kita untuk berbelanja.

4. Chef Li di dalam bukunya Biar Kecil Asalkan Berhasil' menyatakan bahawa sesetengah penjaja melayu gagal mengembangkan perniagaan mereka kerana mereka tidak membuat simpanan kira-kira untuk mengawal aliran keluar masuk tunai. Kebanyakan mereka melonggok wang pendapatan mereka. Tiada pemecahan dan pengasingan pendapatan. Semuanya terlonggok menjadi satu. Akhirnya, mereka gagal memperuntukan modal untuk digunakan bagi mengembangkan perniagaan mereka. Hal ini sudah tentu merugikan walaupun mereka telah bertahun lamanya berniaga.

5. Semoga kita dapat mengamalkan tips yang disampaikan pada kali ini. Saya telah mengamalkan kaedah ini semenjak tahun lepas (2010) dan ia memberi kesan yang baik kepada pengurusan kewangan saya kerana ia membantu mengurangkan hutang-hutang saya dan saya tidak berhutang lagi selepas itu. Alhamdullilah...

Sekian, terima kasih.

"Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Ilmu itu penghukum, harta itu terhukum. Ilmu bertambah apabila diamalkan dan harta itu berkurang apabila digunakan..." Saidina Ali.

No comments: