Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Semoga Tuan-tuan dan Puan-puan yang sentiasa mengunjungi blog ini untuk mendapatkan tips-tips kewangan dari semasa ke semasa sentiasa berada dalam keadaan sihat walaifiat dan dianugerahkan keberkatan rezeki setiap masa. Tidak kira sama ada kita ini hidup senang ataupun susah tetapi pastikan bahawa rezeki yang kita perolehi itu adalah berkat. Berkat itu adalah bermaksud ‘zidatul khoir’ dalam bahasa arabnya atau keberkatan yang bertambah. Ke manakah rezeki kita yang diperolehi itu setiap bulan dibelanjakan? Adakah ia dibelanjakan ke arah kebaikan atau sebaliknya? Jika kita membelanjakannya ke arah kebaikan, ini bermakna kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat berkat Allah s.w.t. Jika sebaliknya, kita perlu muhasabah diri kita ke manakah kesilapan kita dalam memperolehi rezeki kita.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Barangsiapa yang inginkan dunia maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang inginkan akhirat maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang ingin kedua-duanya maka wajib ke atasnya ilmu.”
Hadis ini menjadi panduan kepada kita supaya mendapatkan ilmu terlebih dahulu tidak kira untuk mencapai kejayaan dunia mahupun akhirat atau kedua-duanya sekali. Begitu juga dalam menguruskan wang kita, kita perlulah ilmu untuk mengurusnya. Sekiranya kita tidak pandai mengurusnya, alamatnya duit yang diterima pada setiap bulan sering dikatakan tidak mencukupi.
Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah mengenai PTPTN. Saya mudahkan sahaja penulisan saya. Sebenarnya, terdapat 4 jenis kategori peminjam PTPTN setelah habis belajar :
1. Membayar lump – sum : Anda peminjam bertaraf lima bintang.
2. Membayar mengikut jadual : Anda peminjam berdisiplin.
3. Membayar sekali-sekala : Anda dalam bahaya.
4. Langsung tidak Bayar : Anda peminjam spesies mangkuk-hayun.
Saya lebih suka ingin menyebut mengenai jenis peminjam yang ke-4 iaitu peminjam jenis mangkuk-hayun iaitu langsung tidak membayar pinjaman PTPTN. Biasanya golongan ini terdiri daripada penyokong-penyokong pembangkang yang mengharapkan agar pihak pembangkang memenangi pilihanraya dan seterusnya akan menghapus-kira pinjaman PTPTN. Saya ia tidak mungkin dapat dibuat kerana bagaimana pinjaman RM30 bilion boleh dihapus-kira begitu sahaja. Apa yang lebih mencuit hati lagi ialah pihak pembangkang tidak dapat menunaikan pendidikan percuma. Inikan pula memberi pendidikan universiti percuma. Bagi saya pembangkang hanya tahu ingin nak mengarut.
Apa yang saya ingin tekankan pada penulisan kali ini ialah sikap peminjam yang membayar pinjaman sekali-sekala. Anda mungkin ingat bahawa anda sudah terlepas daripada disenaraihitamkan walaupun anda sudah membayar PTPTN secara sekali-sekala. Anda memang benar.
Akan tetapi, anda harus ingat bahawa caj pinjaman PTPTN adalah berdasarkan kepada baki kini dan bukannya caj secara tetap. Ini bermakna sekiranya anda masih ada baki kini, selagi itu caj akan dikenakan.
Contoh mudah ialah anda mengambil pinjaman berjumlah RM21,000. Ini bermakna caj yang dikenakan 3% setahun atau RM630 setahun dengan kadar RM52.50 sebulan. Bayangkan anda hanya membayar RM300 pada tahun pertama sekali itu sahaja. Maka caj RM630 atau RM52.50 sebulan akan dikenakan pula pada tahun kedua. Ini bermakna caj ini akan terus naik sekiranya masih ada baki kini pinjaman. Oleh itu, anda haruslah konsisten membayar setiap bulan untuk 2 tujuan iaitu tujuan yang pertama ialah untuk ‘menahan’ caj dari terus naik dan tujuan yang kedua ialah membayar pokok agar baki pinjaman semakin berkurang dari semasa ke semasa. Caj ini juga akan terkena kepada peminjam kategori ke-4 iaitu peminjam jenis ‘mangkuk-hayun’ seperti kategori yang ke-3 yang disebut di atas.
Langkah yang paling selamat ialah membuat sahaja pembayaran secara ujrah untuk menyelamatkan wang anda daripada membayar caj PTPTN dari semasa ke semasa. Apa yang menarik ialah caj untuk pembayaran secara ujrah adalah secara tetap iaitu 1% setahun dan tidak berdasarkan kepada baki kini. Contohnya, sekiranya pinjaman adalah RM21,000 maka caj yang dikenakan ialah RM210 sahaja setahun atau RM17.50 sebulan. Cuma cara membayar kaedah ini ialah kita perlu membayar secara potongan gaji.
Ada sesetengah orang menganggap kaedah ujrah ini menyusahkan kononnya akan menyukarkan untuk mendapatkan pinjaman bank kerana slip gaji sudah ‘dicemari’ dengan pembayaran PTPTN. Akan tetapi, saya sebagai penulis kewangan yang profesional (kata orang) menganggap ia tidak membawa masalah kepada kita bahkan ia sebenarnya menolong kita supaya tidak perlu pening kepada untuk membayar pinjaman PTPTN sehingga habis apatah lagi caj yang dikenakan adalah kurang dari pembayaran biasa iaitu kita boleh menjimatkan sehingga 2%. Selain itu, kita boleh mengelak membayar caj bank apabila membayar di kaunter-kaunter bank.
Pendek kata, hutang perlu dibayar sehingga habis. Sekiranya kita tidak membayarnya, hidup tidak tenang dan rezeki pun susah ingin masuk. Usahakan sahaja walaupun dalam kesempitan. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa diberkati oleh-Nya. Amin.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment