KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.70sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahunkewangan berakhir 31 Disember 2013.
Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM9.38 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.4% berbanding dengan RM7.99 bilion yang dibayar pada tahun 2012.
Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM706.88 juta, iaitu peningkatan sebanyak 3.84% berbanding dengan RM680.73 juta yang dibayar pada tahun 2012 oleh PNB.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.26 juta pemegang unit yang melanggan 127.2 bilion unit ASB.
Jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013 dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion. Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.41 bilion atau 44.5% daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM4 bilion atau 40.3%. Selebihnya, iaitu RM1.51 bilion atau 15.2% adalah daripada lain-lain pendapatan.
Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2013. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh 10 tahun dari tahun 2004 sehingga tahun 2013.
Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit. Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASB masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014.
Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 22 Disember 2013 sehingga 1 Januari 2014 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.
ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 6 bulan ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa yang sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.
Sumber : www.asnb.gov.my
No comments:
Post a Comment