Monday, December 16, 2013

Ekonomi : Gelembung Hartanah Akan Pecah Pada Akhir Tahun 2016 - Penganalisis

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Saya tertarik dengan laporan Malaysiakini pada hari ini (16 Disember 2013) yang melaporkan bahawa gelembung pasaran hartanah akan pecah (property bubble burst) pada akhir tahun 2016. Menurut penganalisis iaitu Azrul Azwar Ahmad, perkara itu akan berlaku kerana tidak ramai yang mampu lagi membeli harta tanah kerana beban hutang isi rumah yang makin tinggi.
Apakah yang dimaksudkan oleh ‘ gelembung pecah’ sebenarnya?
Baiklah, saya berikan satu contoh. Satu bank memberi pinjaman yang banyak kepada pelanggan-pelanggannya. Oleh sebab bank tersebut ingin mendapatkan keuntungan yang maksimum, bank tersebut akan memberi pinjaman kepada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira latar belakang kredit pelanggan-pelanggannya. Oleh itu, sampai satu tahap pelanggan-pelanggannya tidak mampu membayar balik pinjaman mereka. Kesannya gelembung pembiayaan ini pecah dan bank tidak mampu lagi mengutip balik pinjaman dan kadar faedah daripada pelanggan-pelanggan mereka. Ini menyebabkan bank tiada modal untuk menjana semula pembiayaannya. Pendek kata, bank ini perlu ditutup terus sekiranya tidak dapat mendapat suntikan modal untuk beroperasi seperti biasa.
Inilah maksudnya gelembung pecah.
Pada hari ini, orang-orang berlumba membeli rumah dengan membuat pembiayaan bank kerana mereka takut tidak mampu lagi membeli rumah pada masa akan datang. Keadaan ini menyebabkan hutang isi rumah bertambah. Apakah yang akan berlaku sekiranya bank-bank terus memberi pinjaman semata-mata untuk mendapatkan keuntungan tanpa mengukur keupayaan kredit pelanggan mereka? Kesannya ialah sampai satu tahap, pelanggan-pelanggan bank ini tidak akan mampu untuk membayar balik hutang mereka. Bank pula tidak akan mampu lagi mengeluarkan pinjaman mereka. Ironinya, permintaan terhadap hartanah akan menurun. Di sinilah berlakunya penurunan harga hartanah.
Masa inilah orang-orang mempunyai ilmu akan membeli rumah. Mereka tidak akan membeli rumah ketika harga rumah tengah naik. Mereka tidak percaya dengan hikayat 1,001 cerita harga hartanah akan terus naik ke langit. Begitu juga dengan saya, saya tidak percaya harga rumah akan naik mencanak sehingga ke langit!
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com