Friday, November 4, 2011

Mengawal Perbelanjaan Bulanan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa dilimpahi kurniaan Allah s.w.t. setiap masa selagi kita diberi peluang untuk bernafas untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai apa yang saya tonton Selamat Pagi Malaysia (SPM) di mana rancangan ini menjemput tetamu dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Apa yang saya dapat petik daripada rancangan tersebut ialah:




Logo AKPK

i. Pastikan hutang kita tidak melebihi 40% pada sesuatu masa. 

Ramai orang melakukan kesilapan di mana mereka tidak memikirkan kesan akibat mengambil hutang. Bayangkan apabila anda membuat hutang semaksimum mungkin? Bagaimana dengan perbelanjaan anda yang lain seperti bil-bil, servis kereta, tol, sewa rumah dan sebagainya? Ramai orang sudah terhantuk baru terngadah mengenai perkara ini. Bank memang memberi janji manis kepada anda untuk memberi hutang tetapi bank tiada belas kasihan untuk meminta bayaran balik daripada anda. Sampai masa bayar, jika tidak kita boleh jumpa di mahkamah. Sekiranya gaji bersih RM3,000, pastikan kita tidak berhutang lebih daripada RM1,200. Mudah sahaja bukan?

ii. Tetapkan jenis-jenis perbelanjaan kita setiap bulan.
Perbelanjaan bulanan kita pada setiap bulan terbahagi kepada 3 jenis iaitu perbelanjaan tetap, berubah-rubah dan budi bicara.Perbelanjaan tetap kita merupakan perbelanjaan hutang kita yang WAJIB bayar secara TETAP setiap bulan seperti hutang rumah, kereta, pendidikan dan sebagainya. Perbelanjaan berubah-rubah pula adalah perbelanjaan yang berubah setiap bulan tetapi tetap digunakan setiap bulan seperti bil-bil, makanan,  dan pakaian.  Perbelanjaan budi bicara adalah perbelanjaan yang memenuhi keseronokan kita seperti handphone baru, aksesori kereta kereta, melancong dan sebagainya. Ukurlah baju badan sendiri. Kelak tidak merana sepanjang masa.

iii. Bagaimana apabila hutang sudah membelit pinggang?
Apabila anda sudah tiada ruang untuk bernafas lagi, apa yang anda boleh buat? Menerima telefon ugutan daripada bank, menerima surat saman, kena naik mahkamah dan sebagainya. Apa yang anda perlu buat sekarang? Tak lain dan tak bukan ialah anda perlu mendapat perlindungan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di mana ia merupakan anak emas kepada Bank Negara.

Apa yang menarik anda boleh mengurangkan kadar bayaran pinjaman anda kepada 25% sekiranya anda mendapat perlindungan daripada agensi ini. Contohnya, sekiranya anda perlu membayar RM1,000 pinjaman setiap bulan, anda boleh membayar RM250 untuk mengurangkan beban bayaran hutang anda. Tetapi ini memerlukan 1 syarat - Anda perlu mempunyai cashflow atau aliran tunai anda yang diterima setiap bulan. Pihak AKPK akan membantu menstruktur hutang-hutang anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang cashflow, pihak ini tidak boleh membantu anda. Ini kerana pihak ini menolong anda menyusun balik hutang anda dan bukan untuk menderma kepada anda untuk memastikan anda dapat membayar balik hutang anda kepada pihak bank.

Setakat ini sahaja dahulu yang dapat kita kongsikan bersama. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna lagi. Tingkatkan ilmu kewangan anda setiap masa. Pastikan pengurusan kewangan anda sentiasa seimbang di antara jasmani dan rohani. Hidup akan tenang dan sentiasa dilimpahi rahmat dari-Nya.

Sekian, terima kasih.

No comments: