Tuesday, November 8, 2011

Berikan Nilai yang Tinggi Terhadap 5 Sen

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Saya masih ingat ketika menyertai Program yang dikenali sebagai Kem Pengenalan Usrah (KPU) yang dianjurkan oleh senior sewaktu di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Senior ketika itu amat cerewet kerana meminta kami semua (junior) tingkatan 4 menjaga 2 biji kacang tanah sepanjang program itu berjalan iaitu selama 3 hari 2 malam. Analoginya amat mudah iaitu sekiranya kami tidak pandai menjaga 2 biji kacang tersebut, bagaimana kami boleh menjaga Daulah Islamiah (Negara Islam).

Di sini, saya bukannya ingin meminta anda menjaga 2 biji kacang ataupun meminta anda menanam pokok kacang di rumah anda. Saya ingin meminta anda memberi nilai yang sangat tinggi kepada nilai wang walaupun 5 sen. Sekiranya anda tidak pandai menjaga nilai wang 5 sen, bagaimana anda boleh menjaga nilai wang lebih besar iaitu wang pendapatan yang kita terima setiap bulan? Sudah tentu, anda kurang berhemah dalam perbelanjaan wang bulanan anda yang diterima setiap bulan bukan?

Ambil contoh mudah, ramai orang yang menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam masa 5 tahun sahaja walhal mereka mengambil masa 30 tahun untuk menyimpan wang di dalam simpanan KWSP mereka. Kenapa ini berlaku? Ya, ini kerana mereka gagal memberi nilai yang tinggi terhadap simpanan mereka. Kebanyakan pesara menghabiskan duit simpanan mereka dengan melancong, membeli kereta idaman di hari tua dan sebagainya.

Ingatlah, disiplin kewangan amat penting dalam kehidupan kita. Tidak kira kita ini pekerja bawahan, pegawai, hatta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sekali pun. Wang yang kita terima adalah cukup untuk menampung kehidupan kita. Bezanya adalah sejauh mana kemampuan kita untuk mengurus kewangan kita. Adakah kita membazirkan wang kita dengan berbelanja terhadap perkara-perkara tidak perlu? Buat cash-flow perbelanjaan kita setiap bulan untuk mengawal perbelanjaan kita. Tanpa pinjaman bank untuk melabur sekalipun, simpanan kita akan bertambah dari semasa ke semasa dengan mengawal perbelanjaan kita. Biar sedikit, Asal Diberkati. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.
 

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: