Wednesday, November 16, 2011

Hukum Pelaburan Emas

Tidak dinafikan pada masa sekarang ramai orang mula membuat pelaburan emas kerana nilainya adalah stabil dan kalis kepada inflasi. Apabila harga barang naik daripada semasa ke semasa, harga emas emas juga akan mengalami kenaikan. Walaupun ia nilai emas boleh jatuh, ia tidak akan jatuh sehingga tiada nilai. Ramai juga yang menghabiskan wang mereka di dalam akaun pelaburan sedia ada untuk membuat pelaburan emas kerana terdapat teori yang mengatakan wang kertas (fiat money) akan tiada nilai pada masa hadapan.

Ramai sekarang ingin membuat dan membuka akaun pelaburan emas. Ini bererti seseorang itu bersetuju membeli emas apabila harganya jatuh, simpan seketika atau lama dan menjualnya apabila harga emas meningkat. Akan tetapi, bank-bank yang membuka akaun pelaburan emas kepada orang ramai masih tidak mempunyai emas fizikal semasa transaksi jual beli emas dibuat dengan pelanggan. Ia hanya dibuat atas dasar harga emas semasa ketika urusan jual beli tersebut dibuat.

Bagaimana dengan hukum pelaburan tersebut?

Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi berasingan, urus niaga pembukaan akaun tersebut telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabilanya tiadanya elemen 'taqabul fil majlis' iaitu serah terima dalam satu masa. Sebarang penangguhan membawa kepada Riba al-Nasi'ah.

Haram dan Batal.

Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima serta merta ketika membuka pelaburan emas itu.
Contohnya, pelanggan membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulakan akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau "concluded". Serta tiada sebarang jenis bukti tertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima hak "tasarruf" iaitu hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang dibelinya sama ada untuk menjualnya bila-bila masa yang dikehendakinya.

Halal dan Sah.

Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual. Bank memberi bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas yang telah dibeli, yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Sijil itu ibarat sebuah kad debit atau cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil hak milik emas sebagai tanda pembelian dan permbukaan akaun sudah sempurna adalah SAH dan HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal. Sekiranya, sijil atau bukti pembelian tidak boleh ditukar dengan emas fizikal, transaksi tersebut adalah bermasalah dari hukum Islam.

Kesimpulannya, dalam membuat pelaburan emas, kita perlu memastikan pelaburan emas yang disediakan oleh pihak bank adalah memenuhi kehendak Hukum Islam. Semoga keuntungan pelaburan emas yang diperolehi itu memberi keberkatan kepada kita. Insya Allah.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Zaharuddin Abd. Rahman, 2010, Riba dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn. Bhd.

No comments: