Wednesday, November 30, 2011

Minyak Enjin Motorsikal Tiruan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sebelum saya ada menulis artikel mengenai Minyak Enjin dan Oil Filter Tiruan dan Bateri Kereta Tiruan untuk pengetahuan kita semua supaya kita mengguna pakai barangan yang berkualiti untuk kenderaan kita. Ia bukan sahaja dapat menjaga keselamatan kita ketika di atas jalan raya tetapi juga untuk menjimatkan perbelanjaan untuk kenderaan kita.

Penggunaan Minyak Enjin Murahan akan mudah merosakkan Coil Motorsikal

Baiklah, pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai 'Minyak Enjin Motorsikal Tiruan'. Sebenarnya, bukannya saya ingin mengatakan bahawa sesuatu minyak enjin motorsikal itu tiruan ataupun tidak. Tetapi saya ingin maksudkan mengenai minyak enjin motorsikal yang berkualiti. Minyak motorsikal yang berkualiti penting kerana ia menjaga spare-part dalaman enjin motor. Sekiranya anda menggunakan minyak enjin motor yang murah, ia adalah cair dan akan mudah merosakkan coil yang berfungsi menjaga aliran elektrik motor anda. Minyak enjin ini (tidak berkualiti) dijual dalam harga RM11. Adalah mudah bagi anda sekiranya anda mengguna pakai minyak enjin motor yang berharga RM15 ke atas supaya bahagian enjin anda tidak mudah rosak.

Minyak Shell merupakan minyak enjin motorsikal yang berkualiti

Oleh itu, gunakanlah barang yang berkualiti untuk kenderaan anda supaya ia adalah tahan lama dan dapat menjimatkan kos penyelenggaraan kenderaan anda.

Sekian, terima kasih. 

Sunday, November 27, 2011

Jaga-jaga Membeli-belah Pada Hari Sabtu

Jaga-jaga pada hari Sabtu. Ya, anda perlu berjaga-jaga pada hari Sabtu semasa ke pasaraya kerana anda perlu membayar 20 sen untuk beg plastik. Sesetengah orang sekarang tidak akan berbelanja di pasaraya pada hari Sabtu kerana perlu membayar 20 sen untuk beg plastik. Sesetengahnya pula mereka membawa beg plastik sendiri supaya tidak dikenakan caj untuk beg plastik. Sesetengahnya pula tidak kisah membayar 20 sen untuk beg plastik.

Sebenarnya, usaha ini dibuat untuk mengurangkan penggunaan beg plasktik dalam usaha pemeliharaan alam sekitar. Duit beg plastik yang dibayar oleh pembeli di kedai atau pasaraya akan disalurkan kepada tabung kebajikan. Ia bergantung kepada pasaraya-pasaraya yang mengambil bahagian dalam kempen ini seperti Jusco, The Store, Ikea dan sebagainya.

Saya semalam ke Pasaraya Mydin membeli barang. Apabila ditanya oleh juruwang sama ada ingin beg plastik ataupun tidak saya mengatakan tidak mahu walaupun hanya kena bayar 20 sen. Saya terpengaruh dengan gaya Tun Daim Zainuddin kerana beliau memberi nilai yang tinggi kepada wang walaupun ia hanya bernilai 5 sen. Semoga saya dapat terapkan gaya pemikiran Tun Daim ke atas diri saya. Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin

Thursday, November 24, 2011

Peruntukkan 'Double' Untuk Kereta Anda

Adakah anda membeli kereta anda secara tunai atau 'cash'. Sekiranya anda membeli secara tunai, tahniah, anda sebenarnya membeli kereta mengikut kemampuan anda. Tetapi, mustahil pada hari ini seseorang itu membeli kereta secara tunai dan terpaksa berhutang untuk memiliki kereta baru. Sebaik-baik hutang untuk membayar kereta anda adalah dalam tempoh 3-5 tahun. Sekiranya, anda mengambil pinjaman melebihi tempoh tersebut, anda sebenarnya memiliki kereta lebih daripada kemampuan anda.Tetapi, tidak mengapa seandainya anda telah mengambil pinjaman lebih daripada tempoh tersebut. Gunakan sahaja kereta anda.

Tetapi, anda perlu peruntukan 'double' untuk kereta anda. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Ini adalah kerana terdapat hidden cost yang perlu anda bayar untuk sesebuah kereta anda iaitu:

a. Maintenance kereta.
b. Petrol.
c. Tol.
d. Bayar parking
e. Bayar saman.
f. Bayar car wash.

Ramai tidak setuju dengan saya sekiranya saya mengatakan kita sebebarnya perlu memperuntukan 'double' untuk kereta kita setiap bulan. Sekiranya bayaran bulanan kereta kita kepada pihak bank adalah sebanyak RM700 sebulan, peruntukkan RM1,400 untuk kereta bagi hidden costs yang saya sebutkan di atas. Sekiranya, berlaku kecemasan untuk kereta anda seperti kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu bimbang untuk menghadapi masalah tersebut. Apakah akan terjadi sekiranya kita tidak memperuntukkan 'double' untuk kereta kita? Sudah tentu anda terpaksa menggunakan talian hayat duit iaitu kad kredit. Benar bukan?

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin

Monday, November 21, 2011

Kata Hikmah Wan Kamarul



" Sekiranya kita mengira setiap sen perbelanjaan kita setiap bulan, ia sebenarnya adalah lebih daripada pendapatan yang kita terima. Inilah cara Allah memberi rezeki kepada hambaNya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Pemberi Rezeki.." 
Wan Kamarul

Sunday, November 20, 2011

Melaburlah di dalam ASNB


"Jika kamu seorang pemegang Ijazah tetapi tidak tahu mengenai ASNB, bagaimana keadaan orang melayu di luar sana?"

Itulah kata-kata rakan pejabat saya yang dilontarkan kepada saya. Ya, saya baru tahun lepas mengetahui mengenai Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Sebenarnya, ASNB adalah salah satu usaha kerajaan untuk membantu penyertaan bumiputera dalam ekonomi di bawah seliaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB). Ramai golongan bumiputera yang tidak mengetahui manfaat ASNB ini yang menyebabkan matlamat kerajaan untuk memastikan ekuiti pemilikan orang melayu di dalam ekonomi sebanyak 30% gagal pada akhir tahun 1990.



Jangan lepaskan peluang melabur dalam ASNB

Mengapa ASNB?

Ya, ASNB adalah pelaburan yang paling selamat dan menguntungkan dengan dividen tahunan adalah sebanyak 6-7% setahun. Ia mungkin lebih kerana bergantung jenis akaun pelaburan saham itu sendiri seperti Amanah Saham Nasional (ASN) yang mungkin lebih daripada 7% setahun. Cuba anda beritahu kepada saya, apakah pelaburan yang paling kurang risiko dan menguntungkan di Malaysia selain syarikat Koperasi anda? Sudah tentu ASNB bukan? Amat malang sekali sekiranya anda tidak melabur di dalam ASNB.

ASNB ini hanya terbuka kepada kaum bumiputera sahaja dan tidak dibuka kepada kaum lain khususnya bangsa cina. Tetapi, apakah cara orang cina untuk melabur di dalam ASNB ini? Diceritakan kepada saya yang berusia 60-an telah berkahwin dengan orang asli berusia 20-an semata-mata kerana ingin memperolehi peluang untuk melabur di dalam ASNB.Apa yang lebih menarik lagi, pasangan tersebut masih memperolehi zuriat walaupun si suami telah berusia 60-an. Itulah cara orang cina ingin melabur di dalam ASNB iaitu melalui perkahwinan dengan golongan bumiputera. Alangkah besar manfaatnya melabur di dalam ASNB ini!

Bagaimana kita ingin melabur di dalam ASNB ini? 

Terdapat dua cara sekiranya anda ingin melabur di dalam ASNB ini, iaitu secara tunai dan juga secara pinjaman bank. Untuk secara tunai, anda boleh membuat potongan gaji ataupun bank-in duit anda di kaunter-kaunter bank terpilih. Saya hanya membuat potongan gaji sahaja kerana saya tidak suka berhutang. Untuk kaedah kedua pula, anda boleh membuat pinjaman peribadi (personal loan) dengan bank-bank terpilih dengan syarat dividen tahunan anda lebih daripada jumlah yang dibayar kepada bank untuk tempoh setahun.

Terdapat juga bank-bank yang menawarkan pinjaman dalam bentuk geran contohnya RHB Bank yang menyediakan pinjaman kepada pelabur. Contohnya, anda membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dengan pihak bank untuk melabur di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Pihak bank akan memberi anda geran tanda anda membuat pelaburan sebanyak RM100,000 di dalam ASB. Apa yang menarik, anda boleh menarik balik geran tersebut sekiranya anda tidak mahu melabur di dalam ASB lagi. Tetapi dengan syarat anda sekurang-kurangnya membayar pinjaman tersebut selama 3 tahun. Selepas tempoh 3 tahun, anda boleh memberi balik geran tersebut kepada pihak bank sekiranya anda tidak mahu lagi menggunapakai duit bank untuk melabur.Anda boleh menikmati dividen sekurang-kurangnya berjumlah RM21,000 untuk tempoh 3 tahun melalui cara pelaburan ini. Menarik bukan?

Apakah hukum pelaburan ASNB?

Tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah Mufti yang mengeluarkan fatwa yang mengatakan bahawa pelaburan di dalam ASNB adalah Haram. Namun Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa hukum melabur di dalam ASNB adalah HARUS. Mengapa? Ini adalah kerana dana-dana pelaburan di bawah kawalan PNB ini dilaburkan di dalam syarikat-syarikat strategik negara walaupun ada antara syarikat-syarikat ini tidak mematuhi Syariah. Sekiranya, difatwakan Haram, dibimbangi bahawa  orang Islam di negara ini tidak mempunyai kepentingan ataupun aset dalam syarikat-syarikat strategik negara dan ia akan dikuasai oleh orang bukan Islam. Oleh itu, fatwa HARUS dikeluarkan atas dasar darurat kepada Umat Islam di negara ini. (Sila layari Youtube untuk mendengar penjelasan Dr. Asri Zainul Abidin lebih lanjut).

Oleh itu, melaburlah di dalam ASNB bermula sekarang sekiranya anda masih tidak membuat pelaburan di dalam akaun ini. Ini merupakan tempat pelaburan yang paling selamat. Apa yang lebih penting, kita dapat bersama-sama mengangkat martabat ekonomi bangsa Melayu di persada tanah air ini.Mudah-mudahan.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad




Wednesday, November 16, 2011

Apakah Hak Istimewa Melayu dalam Perlembagaan Kekal?

Saya masih ingat lagi ketika saya menghadiri kursus yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ketika menuntut di Kolej MARA Kulim(KMK) pada tahun 2003. Sewaktu berbincang dalam kumpulan, seorang fasilitator bertanya kepada peserta bertanya kepada kami semua, "Apakah Orang Melayu ada sekarang?" Semua peserta menjawab tanah, UiTM, politik dan sebagainya dan seorang rakan saya menjawab," Orang Melayu mempunyai Hak Istimewa." Jawab fasilitator,"Tepat sekali."

Ya, orang melayu mempunyai hak istimewa sahaja sekarang. Cuba bayangkan apakah yang terjadi sekiranya orang melayu tidak mempunyai Hak Istimewa? Sudah tentu orang melayu sudah melukut di tepi gantang sekarang akibat tindakan agresif bangsa lain terutamanya orang cina dalam menguasai di Tanah Melayu. Hak Istimewa ini termaktub dalam perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 153. Dewasa kini, orang cina sering mempertikaikan Hak Istimewa orang melayu di dalam perlembagaan. Namun perkara ini ditentang hebat oleh PERKASA yang lantang membela nasib orang melayu. 

Apa yang pasti, kerusi Perdana Menteri tidak tertakluk kepada orang Melayu sahaja. Bangsa lain boleh menduduki menyandang Perdana Menteri sama ada dia seorang cina, india dan sebagainya. Sewaktu pergi kursus BTN, ada seorang cina menyatakan bahawa orang cina akan memastikan bahawa bangsa mereka boleh menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti. Tunggu dan lihat sahaja.

Saya mula terfikir adakah Hak Istimewa Melayu kekal dalam Perlembagaan Persekutuan?

Saya secara peribadi ia tidak akan kekal selama-lamanya. Ini adalah kerana Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda di Parlimen. Cara Perlembagaan dipinda adalah melalui langkah-langkah berikut:

  1. Mendapat pungutan suara majoriti biasa dari tiap-tiap buah Majlis Parlimen.
  2. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tiap Majlis Parlimen.
  3. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tiap Majlis Parlimen dan mendapat keizinan daripada Majlis Raja-raja.
  4. Perkara yang menyentuh Sabah dan Sarawak memerlukan pungutan suara dua pertiga Parlimen dan Persetujuan Yang Dipertua Negeri.
Jelas sekali daripada langkah-langkah di atas, Hak Istimewa orang melayu boleh dipinda jika mendapat majoriti lebih dua pertiga.Sejak tahun 2008, bilangan kerusi Parlimen Barisan Nasional tidak mendapat dua pertiga dan barisan pembangkang berjaya menambah kerusi mereka di Parlimen. Apa yang pasti kerusi pakatan pembangkang didominasi oleh Parti DAP iaitu parti serpihan Parti PAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Apakah yang dibuat oleh DAP apabila parti ini sekiranya mereka memperolehi dua pertiga kerusi parlimen? Fikir-kirkanlah.

Sekian,terima kasih.



Hukum Pelaburan Emas

Tidak dinafikan pada masa sekarang ramai orang mula membuat pelaburan emas kerana nilainya adalah stabil dan kalis kepada inflasi. Apabila harga barang naik daripada semasa ke semasa, harga emas emas juga akan mengalami kenaikan. Walaupun ia nilai emas boleh jatuh, ia tidak akan jatuh sehingga tiada nilai. Ramai juga yang menghabiskan wang mereka di dalam akaun pelaburan sedia ada untuk membuat pelaburan emas kerana terdapat teori yang mengatakan wang kertas (fiat money) akan tiada nilai pada masa hadapan.

Ramai sekarang ingin membuat dan membuka akaun pelaburan emas. Ini bererti seseorang itu bersetuju membeli emas apabila harganya jatuh, simpan seketika atau lama dan menjualnya apabila harga emas meningkat. Akan tetapi, bank-bank yang membuka akaun pelaburan emas kepada orang ramai masih tidak mempunyai emas fizikal semasa transaksi jual beli emas dibuat dengan pelanggan. Ia hanya dibuat atas dasar harga emas semasa ketika urusan jual beli tersebut dibuat.

Bagaimana dengan hukum pelaburan tersebut?

Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi berasingan, urus niaga pembukaan akaun tersebut telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabilanya tiadanya elemen 'taqabul fil majlis' iaitu serah terima dalam satu masa. Sebarang penangguhan membawa kepada Riba al-Nasi'ah.

Haram dan Batal.

Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima serta merta ketika membuka pelaburan emas itu.
Contohnya, pelanggan membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulakan akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau "concluded". Serta tiada sebarang jenis bukti tertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima hak "tasarruf" iaitu hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang dibelinya sama ada untuk menjualnya bila-bila masa yang dikehendakinya.

Halal dan Sah.

Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual. Bank memberi bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas yang telah dibeli, yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Sijil itu ibarat sebuah kad debit atau cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil hak milik emas sebagai tanda pembelian dan permbukaan akaun sudah sempurna adalah SAH dan HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal. Sekiranya, sijil atau bukti pembelian tidak boleh ditukar dengan emas fizikal, transaksi tersebut adalah bermasalah dari hukum Islam.

Kesimpulannya, dalam membuat pelaburan emas, kita perlu memastikan pelaburan emas yang disediakan oleh pihak bank adalah memenuhi kehendak Hukum Islam. Semoga keuntungan pelaburan emas yang diperolehi itu memberi keberkatan kepada kita. Insya Allah.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Zaharuddin Abd. Rahman, 2010, Riba dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn. Bhd.

Sunday, November 13, 2011

Tanda Rezeki Diberkati

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sudah menjadi kewajipan kepada setiap hamba Allah s.w.t. di muka bumi ini untuk menjadi rezeki yang halal. Tanggungjawab mencari rezeki yang halal adalah kewajipan yang kedua selepas menunaikan ibadat fardhu kepada setiap mukmin. Ini  tentera di dalam hadis Rasullullah s.a.w. iaitu: 

"Sesungguhnya bekerja mencari yang halal itu merupakan kewajipan setelah ibada fardhu." Riwayat Baihaqi

Apa yang lebih penting, kita perlu memastikan rezeki yang kita perolehi itu memperolehi keberkatan. Tidak kira seseorang itu mempunyai pendapatan kecil ataupun besar, ia perlu memastikan bahawa rezekinya itu memperolehi keberkatan.

Apakah yang dimaksudkan rezeki sebenarnya?

Menurut Prof. Dr. M. Mutawalli  asy-Sya'rawi, apa yang dinamakan rezeki ialah apa yang dapat dimanfaatkan manusia, halal, ataupun haram, baik mahupun buruk. Semua yang tidak anda manfaatkan, meskipun anda memilikinya, ia bukan rezeki anda. Kita sebagai umat Islam perlu sentiasa mencari jalan rezeki dan memilih rezeki halal dan baik sahaja. Segala bentuk rezeki yang haram dan buruk, kita perlu berani dan tegas untuk menolaknya.

Menurut beliau lagi, rezeki itu terbahagi kepada 2 iaitu harta dan bukan harta selagi mana ia masih memberi manfaat kepada kita. Dalam perkara ini ada manfaat fizikal dan manfaat nilai. Manfaat fizikal boleh berupa manfaat dari benda atau wang yang kita miliki. Sedangkan  manfaat nilai boleh berupa manfaat dari iman, kesihatan, bakat, atau juga kesempatan yang kita miliki.

Apakah tanda-tanda rezeki itu mendapat keberkatan dari-Nya?

Sebagaimana yang saya sebut ini, apa yang penting ialah kita perlu memastikan rezeki kita mendapat keberkatan.Terdapat tanda-tanda sekiranya rezeki yang kita perolehi itu adalah berkat. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang mententeramkan jiwa, yang menjadikan kita bahagia, yang semakin meningkatkan rasa syukur, dan yang menjadikan kita semakin suka dan giat dalam beribadah.

Perumpamaannya ialah si A dan si B. kedua-duanya mempunyai pendapatan yang sama iaitu RM700 sebulan. Akan tetapi, si A lebih merasa bahagia dengan adanya wang itu. Dia amat bersyukur dengan rezeki itu. Sebaliknya, berlawanan pula dengan si B. Dia merasakan masih amat kurang dengan wang itu sehinggakan dia tidak merasa bahagia dengan wang itu. Ini bermakna si A ternyata lebih merasakan nikmat jika dibandingkan dengan si B meski pun dia mempunyai pendapatan yang sama setiap bulan. Itulah dinamakan keberkata rezeki.

Bagaimana dengan rezeki kita perolehi? Tepuk dada, tanya hati.

Pasktikan rezeki yang kita perolehi setiap bulan atau setiap hari bagi mereka yang bekerja sendiri mendapat keberkatan. Bukannya ribuan ringgit yang ingin dicari. Tetapi keberkatan rezeki yang dicari.Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

Sumber.

1. Akhmad Muhaimin Azzet, 2011, KS? Siapa Takut! al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd.


Friday, November 11, 2011

Mengata Belakang

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Pada kali ini, saya ingin membincangkan mengenai adat orang melayu iaitu 'mengata belakang'. Sememangnya budaya ini memang sebati dalam diri kita jika kita ini digelar sebagai orang melayu dan berdarah melayu. Budaya mengata belakang ini sememangnya terjadi antara kita semua sekiranya kita tidak senang atau tidak berpuas hati dengan seseorang. Sebaliknya, jika untuk memuji seseorang, orang melayu akan memuji di hadapan seseorang dan tidak memuji di belakang.

Adakah perkara ini dituntut oleh Islam?

Sebenarnya sekiranya kita merujuk kembali kepada tuntutan Islam, Islam melarang umatnya mengata orang di belakang. Islam menuntut supaya umatnya untuk mengkritik seseorang, ia perlulah dibuat secara pertemuan empat mata dan bukannya mengata di belakang. Oleh sebab orang melayu itu lemah-lembut dan terlalu menjaga hati dan air muka seseorang, mengkritik seseorang di belakang menjadi budaya melayu. Menurut Tun Dr. Mahathir, orang melayu terlalu berlemah-lembut sehinggakan penjajah hanya menggunakan tipu muslihat melalui perjanjian untuk menjajah tanah melayu contohnya Perjanjian Pangkor dan sebagainya.

Begitu juga untuk memuji seseorang, Islam menuntut umatnya untuk memuji seseorang di belakang dan bukannya memuji secara berdepan. Sikap ini yang menjadikan orang melayu mempunyai sikap 'mengampu' untuk mendapatkan sesuatu daripada pemimpin mereka. Sekiranya kita melihat bangsa Jepun, mereka akan mengambil tempat parkir bossnya sekiranya boss mereka datang lewat ke pejabat. Bangsa Jepun sebenarnya meniru tuntutan ajaran Islam dan berlainan dengan kita sebagai bangsa Melayu yang sangat takut mengkritik bossnya sendiri.

Inilah budaya 'terbalik' antara tuntutan Islam dan budaya melayu. Islam menuntut umatnya untuk mengkritik seseorang adalah secara 'berdepan' manakala untuk memuji seseorang adalah 'di belakang' seseorang. Wallhua'lam.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, November 9, 2011

Petua Murah rezeki: Solat Awal Waktu

Dalam pengurusan kewangan kita, kita perlulah seimbang di antara jasmani dan rohani. Dalam aspek rohani, perkara yang paling penting sekali ialah kita perlu solat awal waktu kerana ia merupakan kunci mendapat kemurahan rezeki. Solat awal waktu juga merupakan sikap bagi orang-orang yang bertaqwa. Diceritakan kepada saya, ada seorang usahawan melayu yang berjaya yang tidak pernah meninggalkan solat berjemaah setiap hari dan setiap waktu solat. Itulah kuasa disiplin solat. Hebat bukan?

Imam Hassan al-Banna juga berpesan," Apabila mendengar azan, dirikanlah solat walau bagaimana keadaan sekali pun." Semoga kita dapat memperbaiki solat kita pada awal waktu dan sentiasa solat berjemaah untuk mendapat kemurahan rezeki. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, November 8, 2011

Berikan Nilai yang Tinggi Terhadap 5 Sen

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Saya masih ingat ketika menyertai Program yang dikenali sebagai Kem Pengenalan Usrah (KPU) yang dianjurkan oleh senior sewaktu di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Senior ketika itu amat cerewet kerana meminta kami semua (junior) tingkatan 4 menjaga 2 biji kacang tanah sepanjang program itu berjalan iaitu selama 3 hari 2 malam. Analoginya amat mudah iaitu sekiranya kami tidak pandai menjaga 2 biji kacang tersebut, bagaimana kami boleh menjaga Daulah Islamiah (Negara Islam).

Di sini, saya bukannya ingin meminta anda menjaga 2 biji kacang ataupun meminta anda menanam pokok kacang di rumah anda. Saya ingin meminta anda memberi nilai yang sangat tinggi kepada nilai wang walaupun 5 sen. Sekiranya anda tidak pandai menjaga nilai wang 5 sen, bagaimana anda boleh menjaga nilai wang lebih besar iaitu wang pendapatan yang kita terima setiap bulan? Sudah tentu, anda kurang berhemah dalam perbelanjaan wang bulanan anda yang diterima setiap bulan bukan?

Ambil contoh mudah, ramai orang yang menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam masa 5 tahun sahaja walhal mereka mengambil masa 30 tahun untuk menyimpan wang di dalam simpanan KWSP mereka. Kenapa ini berlaku? Ya, ini kerana mereka gagal memberi nilai yang tinggi terhadap simpanan mereka. Kebanyakan pesara menghabiskan duit simpanan mereka dengan melancong, membeli kereta idaman di hari tua dan sebagainya.

Ingatlah, disiplin kewangan amat penting dalam kehidupan kita. Tidak kira kita ini pekerja bawahan, pegawai, hatta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sekali pun. Wang yang kita terima adalah cukup untuk menampung kehidupan kita. Bezanya adalah sejauh mana kemampuan kita untuk mengurus kewangan kita. Adakah kita membazirkan wang kita dengan berbelanja terhadap perkara-perkara tidak perlu? Buat cash-flow perbelanjaan kita setiap bulan untuk mengawal perbelanjaan kita. Tanpa pinjaman bank untuk melabur sekalipun, simpanan kita akan bertambah dari semasa ke semasa dengan mengawal perbelanjaan kita. Biar sedikit, Asal Diberkati. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.
 

http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, November 7, 2011

Keberkatan Masa


Jika anda seorang raja, anda mempunyai masa 24 jam sehari.

Jika anda seorang Perdana Menteri, anda mempunyai masa 24 jam sehari.

Jika anda seorang Boss @ Majikan, anda mempunyai .masa 24 jam sehari.

Jika anda seorang Pekerja, anda mempunyai masa 24 jam sehari.

Jika anda seorang Pelajar, anda tetap mempunyai masa 24 jam sehari.

Tidak kira sama ada anda seorang raja, majikan, pekerja atau seorang pelajar. Anda tetap mempunyai masa 24 jam sehari. Anda haru ingat bahawa masa tidak dapat disimpan. Masa tidak boleh disimpan seperti mana anda menyimpan wang. Masa tidak dapat simpan seperti mana anda menyimpan emas di kaunter-kaunter bank terpilih. Tidak kira siapa anda, masa tidak dapat disimpan. Ia tetap berlalu jua.

Bagaimanakah kita memanfaatkan masa dalam kehidupan kita seharian? Adakah kita mengisi masa lapang kita dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti berikut:

a. Menghabiskan masa lapang dengan melepak di Kota Raya.

b. Menghabiskan masa anda dengan menonton movie-movie di panggung wayang atau di hadapan laktop.

c. Menghabiskan masa anda dengan dating bersama girlfriend atau boyfriend anda walaupun anda tidak boleh menjamin dia adalah pasangan anda yang kekal sama ada di dunia atau di akhirat.

d. Menghabiskan masa anda dengan sembang kosong dengan rakan-rakan anda.

e. Menghabiskan masa anda dengan perkara tidak berfaedah dengan laman sosial seperti facebook, twitter, tagged dan sebagainya.

Adakah anda memanfaatkan masa anda dengan perkara-perkara berikut:

a. Memanfaatkan masa anda dengan bacaan buku-buku ilmiah yang boleh menambah ilmu anda.

b. Memanfaatkan masa dengan menyiapkan kerja-kerja pejabat yang tertangguh disebabkan oleh perkara-perkara lain seperti mesyuarat atau perkara-perkara urgent yang lain.

c. Memanfaatkan masa anda dengan menghadiri kelas di hujung minggu kerana anda melanjutkan pelajaran untuk peringkat seterusnya.

d. Memanfaatkan masa anda untuk menjana pendapatan tambahan anda seperti berniaga dan sebagainya.

e. Memanfaatkan masa anda dengan melakukan aktiviti ibadah yang lain seperti membaca al-Quran, melaksanakan solat-solat sunat dan sebagainya.

Jika kita menganalisa daripada aktiviti-aktiviti di atas, anda tergolong di dalam kumpulan mana? Adakah anda memanfaatkan masa anda dengan perkara-perkara yang berfaedah? Adakah anda menghabiskan masa    anda dengan perkara-perkara tidak berfaedah?

Sekiranya anda banyak memanfaatkan masa anda dengan perkara-perkara yang berfaedah, tahniah kepada anda kerana anda tergolong dalam orang yang mendapat keberkatan masa. Orang yang mendapat keberkatan masa ialah orang yang pandai memanfaatkan masa lapangnya dengan perkara-perkara yang berfaedah yang membawa kebaikan sama ada di dunia dan di akhirat.

Malang sekali sekiranya anda tidak tergolong dalam kumpulan orang yang tidak mendapat keberkatan masa kerana menghabiskan masa anda dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat. Oleh itu, berubahlah mulai saat sekarang. Muhasabah diri anda untuk memperbaiki diri anda. Bak kata Imam Hassan al-Banna ," Ingatlah, kewajipan anda adalah lebih banyak daripada waktu yang ada."

Wallhua'lam.

Sekian, terima kasih.


Friday, November 4, 2011

Mengawal Perbelanjaan Bulanan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa dilimpahi kurniaan Allah s.w.t. setiap masa selagi kita diberi peluang untuk bernafas untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai apa yang saya tonton Selamat Pagi Malaysia (SPM) di mana rancangan ini menjemput tetamu dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Apa yang saya dapat petik daripada rancangan tersebut ialah:




Logo AKPK

i. Pastikan hutang kita tidak melebihi 40% pada sesuatu masa. 

Ramai orang melakukan kesilapan di mana mereka tidak memikirkan kesan akibat mengambil hutang. Bayangkan apabila anda membuat hutang semaksimum mungkin? Bagaimana dengan perbelanjaan anda yang lain seperti bil-bil, servis kereta, tol, sewa rumah dan sebagainya? Ramai orang sudah terhantuk baru terngadah mengenai perkara ini. Bank memang memberi janji manis kepada anda untuk memberi hutang tetapi bank tiada belas kasihan untuk meminta bayaran balik daripada anda. Sampai masa bayar, jika tidak kita boleh jumpa di mahkamah. Sekiranya gaji bersih RM3,000, pastikan kita tidak berhutang lebih daripada RM1,200. Mudah sahaja bukan?

ii. Tetapkan jenis-jenis perbelanjaan kita setiap bulan.
Perbelanjaan bulanan kita pada setiap bulan terbahagi kepada 3 jenis iaitu perbelanjaan tetap, berubah-rubah dan budi bicara.Perbelanjaan tetap kita merupakan perbelanjaan hutang kita yang WAJIB bayar secara TETAP setiap bulan seperti hutang rumah, kereta, pendidikan dan sebagainya. Perbelanjaan berubah-rubah pula adalah perbelanjaan yang berubah setiap bulan tetapi tetap digunakan setiap bulan seperti bil-bil, makanan,  dan pakaian.  Perbelanjaan budi bicara adalah perbelanjaan yang memenuhi keseronokan kita seperti handphone baru, aksesori kereta kereta, melancong dan sebagainya. Ukurlah baju badan sendiri. Kelak tidak merana sepanjang masa.

iii. Bagaimana apabila hutang sudah membelit pinggang?
Apabila anda sudah tiada ruang untuk bernafas lagi, apa yang anda boleh buat? Menerima telefon ugutan daripada bank, menerima surat saman, kena naik mahkamah dan sebagainya. Apa yang anda perlu buat sekarang? Tak lain dan tak bukan ialah anda perlu mendapat perlindungan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di mana ia merupakan anak emas kepada Bank Negara.

Apa yang menarik anda boleh mengurangkan kadar bayaran pinjaman anda kepada 25% sekiranya anda mendapat perlindungan daripada agensi ini. Contohnya, sekiranya anda perlu membayar RM1,000 pinjaman setiap bulan, anda boleh membayar RM250 untuk mengurangkan beban bayaran hutang anda. Tetapi ini memerlukan 1 syarat - Anda perlu mempunyai cashflow atau aliran tunai anda yang diterima setiap bulan. Pihak AKPK akan membantu menstruktur hutang-hutang anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang cashflow, pihak ini tidak boleh membantu anda. Ini kerana pihak ini menolong anda menyusun balik hutang anda dan bukan untuk menderma kepada anda untuk memastikan anda dapat membayar balik hutang anda kepada pihak bank.

Setakat ini sahaja dahulu yang dapat kita kongsikan bersama. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna lagi. Tingkatkan ilmu kewangan anda setiap masa. Pastikan pengurusan kewangan anda sentiasa seimbang di antara jasmani dan rohani. Hidup akan tenang dan sentiasa dilimpahi rahmat dari-Nya.

Sekian, terima kasih.