Friday, April 24, 2020

Tip Membeli Emas Harga Murah Melalui GAP

Harga emas akan naik dari semasa ke semasa memandangkan emas merupakan komoditi yang bernilai sepanjang zaman. Kita tidak akan merasakan emas itu sebagai barang yang murah kerana ianya mempunyai ekuiti yang tersendiri. Apa yang lebih penting lagi ialah emas ini tidak boleh dicipta melainkan seorang hamba Allah yang dikenali sebagai Qarun telah diajar oleh Nabi Musa a.s. dengan ilmu untuk membuat emas. Hebat bukan?

Baiklah, saya ingin berkongsi tip mengenai cara untuk mendapatkan emas di bawah harga pasaran. Program ini dikenali sebagai Gold Accumulation Programme (GAP) di bawah Public Gold. Melalui program GAP ini, anda boleh membeli emas di bawah harga pasaran. Contohnya adalah seperti berikut:

Harga emas GAP: RM259 emas segram

Harga emas semasa: RM290 segram.

Jika kita melihat harga emas di atas pada hari ini (24 April 2020), harga emas GAP ini adalah lebih murah berbanding harga pasaran sebanyak RM31 bagi setiap gram. Oleh itu, ada baiknya anda membeli emas melalui akaun GAP ini. Jika anda membeli 10 gram emas, anda telah Berjaya menjimatkan wang anda sebanyak RM310. Hebat bukan?

Anda jangan bimbang. Akaun GAP ini boleh ditop up sekurang-kurangnya RM100 setiap kali transaksi. Selepas akaun anda ini mempunyai jumlah gram tertentu, anda boleh tebus akaun emas GAP ini di mana-mana kedai emas Public Gold. Ianya akan dikenakan kos premium bergantung kepada jenis bentuk emas fizikal yang ingin anda ambil. Biasanya adalah antara RM10-RM250 (bagi emas 1 kg). Anda jangan bimbang kerana program GAP ini adalah patuh shariah.

Sekiranya anda belum mempunyai akaun GAP, anda boleh berdaftar dengan https://www.publicgold.com.my/index.php/login secara online. Anda boleh masukkan nama saya sebagai intoducer (Wan KAMARUL ARIFFIN bin Wan Ahmad - PG00216364). WhatsApp saya (012-952 0701) untuk pertanyaan.

Sekian, terima kasih. 



Wednesday, April 22, 2020

Erdorgan di Mata Rakyat Turki

Recep Tayyip Erdorgan bukan nama asing dalam dunia politik antarabangsa. Beliau dikenali dan dihormati oleh dunia Islam dan dibenci dan dimusuhi oleh dunia Barat. Beliau dianggap sebagai hero dunia Islam kerana dianggap berusaha untuk menghidupkan semula imej Daulah Uthmaniyah dengan memberi bantuan kepada negara-negara umat Islam atau membela nasib umat Islam yang menjadi kaum minoriti dalam sesebuah negara yang bukan Islam.

Beliau dilahirkan pada 26 Februari 1954 di Istanbul dan merupakan Presiden Turki ke-12 dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Turki selama 12 tahun. Sebelum itu beliau pernah menjawat jawatan Datuk Bandar Istanbul dari tahun 1994 sehingga 1998. Pada tahun 2001, beliau telah menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang menyaksikan kemenangan demi kemenangan dikecapi sejak dari tahun 2002 sehingga ke hari ini.

Walaupun beliau dianggap sebagai singa dunia Islam oleh masyarakat Islam di luar Turki termasuk Malaysia sendiri, namun ianya berbeza dengan pandangan rakyat Turki sendiri terhadap beliau. Beliau disebut pengkhianat kerana melanggar tiga prinsip perlembagaan Turki iaitu Kemalisme, Sekularisme, dan Modenisme yang berkiblatkan Ataturk dalam membentuk sebuah negara Republik Turki. 

Beliau sebenarnya bertindak zalim terhadap musuh-musuh politiknya dan seorang penentang kebebasan dalam bersuara. Di samping itu, beliau juga sering menindas kaum Kurdi yang tinggal di Turki. 

Sebenarnya, kemenangan Parti AKP pada setiap kali pilihan raya Turki adalah tertumpu kepada di kawasan-kawasan yang didominasi oleh kota-kota yang kurang membangun dan bersifat konservatif dan tewas di kota-kota yang lebih maju khususnya yang terletak di perairan laut seperti Izmir dan Antalya. Sehingga kini, Izmir hanya diperintah oleh Parti CHP yang diasaskan oleh Ataturk dan rakyat Izmir berbangga dengannya. 

Di Turki sendiri rakyatnya kurang mendapat berita mengenai kepincangan dan rasuah yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Erdorgan. Orang-orang yang mendapat maklumat yang terhad kepada akhbar-akhbar tempatan, blog-blog atau laman internet tertentu pasti akan mengangkat Erdorgan setinggi langit. Para media yang mendedahkan kepincangan kerajaan akan disaman, diselar, dan tidak kurang daripada itu ‘spy’ akan dihantar bagi memerhatikan gerak-geri mereka sepertimana yang berlaku kepada wartawan-wartawan akhbat Todays Zaman, Ahmet Dönmez, Taraf Daily, dan Baransu. Kadang-kadang kerajaan Turki juga menutup laman Youtube, Twitter, dan Facebook bagi menghalang orang ramai mengetahui mengenai kepincangan kerajaan mereka. 

Di manakah kedudukan Erdorgan sebenarnya? Pelbagai berita yang disensasikan oleh pihak yang berbeza mengenai Erdorgan. Jika Erdorgan sudah berada di landasan yang betul, kita berharap beliau boleh mengemudi negara Turki pada masa sekarang dan juga pada masa hadapan.

Wallhua’alam. 

Monday, April 20, 2020

Penerbitan Jurnal oleh Golongan Wanita Sewaktu Perang Dunia Pertama (WWI)

Ketika Perang Dunia Pertama (WWI) meletus, ianya memberi kesan kepada golongan wanita yanng aktif menerbitkan jurnal yang tinggal di dalam Daulah Uthmaniyah. Di Mesir umpamanya penerbitan jurnal jatuh merundum kerana kenaikan harga bahan mentah. Penerbit jurnal yang terkenal iaitu Kadınlar Dünyası (Dunia Wanita) yang mempunyai 3,000 orang pelanggan terpaksa menggantung penerbitannya selama 4 tahun berturut-turut sewaktu peperangan meletus bukan sahaja disebabkan oleh kenaikan barang malah kolumnis-kolumnis jurnal ini juga terpaksa menyumbangkan usaha mereka dalam peperangan. 

Para kolumnis ini juga ada yang merupakan pengasas dan ahli persatuan Osmanlı Müdafaa-i Hukuk-u Nisvan Cemiyeti (Persatuan Ottoman untuk Melindungi Hak Kaum Wanita) berpendapat adalah lebih penting kepada mereka untuk menyumbang tenaga mereka kepada negara ketika peperangan meletus seperti menjadi jurawat dan sebagai daripada menulis artikel-artikel berkala ketika ini. Bagi golongan intelek wanita ketika ini, usaha menyelamatkan negara adalah lebih penting ketika ini. 

Ada golongan wanita yang melibatkan diri dalam pelbagai persatuan kebangsaan bagi menyumbang tenaga mereka kepada negara ketika perang antaranya iala Donanma Cemiyeti (Persatuan Angkatan Laut), Müdafaa-i Milliye Cemiyeti (Persatuan Pertahanan Kebangsaan), dan Hilal-i Ahmed Cemiyeti (Persatuan Bulan Sabit Merah) dan menyebabkan pertubuhan-pertubuhan kaum wanita tidak buat sementara waktu ketika perang. 

Sumber: Serpil Atamaz, “Call to the Rescue: World War I through the Eyes of Women” dlm. M. Hakan Yavuz dan Feroz Ahmad, War and Collapse: World War I and The Ottoman State, (Salt Lake City: The University of Utah Press).

Tuesday, April 7, 2020

Ulasan Buku: Forensik Kewangan


Minat saya terhadap ilmu kewangan sebenarnya ketika saya berumur 20-an. Apabila saya telah berusia 30-an minat terhadap ilmu kewangan semakin berkurangan. Ditambah pula dengan status kewangan saya yang semakin stabil (Ehem...Ehem..). Bukan apa. Apabila disebut mengenai ilmu kewangan, mana-mana buku pun akan membincangkan dan tidak lari daripada menyebut mengenai empat perkara Utama iaitu pendapatan, simpanan, perbelanjaan, dan hutang. Perkara-perkara ini membuatkan saya semakin jemu mengenai ilmu kewangan. 

Baiklah, berbalik kepada buku mengenai Forensik Kewangan. Buku ini sebenarnya dicadangkan oleh sahabat saya untuk membacanya. Dan telahan saya betul apabila membaca buku ini dan ianya tidak lari daripada empat perkara Utama yang saya sebutkan di atas. Penulis buku ini sebenarnya telah berkecimpung lama dalam ilmu kewangan dan sedikit sebanyak buku ini menyediakan kes-kes individu yang meminta nasihatnya untuk menyelesaikan masalah hutang dan seterusnya menstruktur semula kewangan. Kadang-kadang banyak nombor ringgit yang ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah hutang membuatkan saya pening untuk memahami contoh penyelesaian hutang yang diberikan. Dan saya hanya membelek sahaja helaian berikutnya jika terasa pening.

Saya tertarik dengan buku ini yang menyatakan bahawa siapa kawan kita pada hari ini sebenarnya menentukan berapakah jumlah harta kita pada masa hadapan. Bak kata hadis, berkawan dengan penjual minyak wangi dan pembuat bijih besi sebenarnya membentuk masa hadapan kita dari sudut kewangan. Begitu juga dengan apa buku yang kita baca hari ini sebenarnya membentuk kita pada masa hadapan.

Dalam kewangan, kita sebenarnya perlu memfokuskan kepada pembinaan harta dan bukannya simpanan. Apabila disebut harta, maka kita perlu faham bahawa sesuatu itu mempunyai nilai dan ekuiti. Dengan kata lain, nilainya meningkat dari semasa ke semasa. Harta ini terpulang kepada kita apakah matlamat kita hendak kumpul sebenarnya. Tidak kiralah hartanah, emas, dan sebagainya. 

Cara menyelesaikan masalah hutang dalam buku ini adalah menggunakan kaedah snowball. Saya pun tidak pernah mendengar perkataan snowball itu sendiri. Maksudnya ialah menggunakan duit lebihan kita untuk menambah bayaran hutang bulanan kita. Bukannya menyelesaikan masalah hutang dengan gali lubang tutup lubang. 

Pendek kata, anda boleh memiliki buku ini jika anda ingin menyelesaikan masalah kewangan anda. Sedikit sebanyak saya fikir ianya boleh membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah hutang yang bertimbun.

Wallhua'lam.

Monday, April 6, 2020

Ulasan Buku: Hari Itu Sudah Berlalu



Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan buku ini dari kulit hadapan hingga ke kulit belakang buku ini. Bukan senang orang sibuk seperti saya (perasan la tu) untuk menghabiskan bacaan sesebuah buku. Al-maklum sahajalah, bila sudah berkeluarga ditambah pula dengan kesibukan di tempat kerja menyebabkan keutamaan untuk membaca buku dalam kamus kehidupan sehari perlu kadang-kala diketepikan.

Memetik kata-kata ulama tersohor Syria iaitu Sheikh Abdul Fatah Abu Zunjah, “Barangsiapa yang tidak menghabiskan bacaan dari awal hingga akhir sesuatu kitab, maka dia tidak akan menjumpai rahsia kita tersebut.” Saya sengaja menghabiskan bacaan buku tulisan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin kerana saya sentiasa mengikuti tulisan beliau di blog beliau sebelum meninggal dunia. Buku Allahyarham Zainuddin Maidin yang bertajuk Hari Itu Sudah Berlalu merupakan koleksi himpunan tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia sebelum ini dan buku ini sebenarnya sudah lama diterbitkan iaitu sejak tahun 2011 lagi.

Memetik kata-kata Zam sendiri, “Wartawan adalah saksi sejarah.” merupakan resipi terpenting apabila saya mengikuti apa-apa tulisan Zam ini. Pengalaman beliau yang amat berharga apabila sentiasa berdamping dengan orang-orang kenamaan sebagai seorang wartawan memberikan beliau peluang tidak ternilai apabila menulis sesuatu perkara khususnya ketika Tanah Melayu mula-mula mencapai kemerdekaan pada tahun 1950-an. 

Di awal buku ini banyak mengisahkan mengenai Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Penceritaan buku ini pada awalnya adalah berkisar mengenai cabaran dan gelora politik Tanah Melayu di awal kemerdekaan. Antaranya ialah cabaran konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia ketika di awal penubuhan negara Malaysia. Di samping itu, Zam juga menceritakan sikap bersahaja Tunku Abdul Rahman apabila menemubual beliau untuk memastikan beliau sebagai orang yang penting apabila menemu-ramah beliau.

Gambaran yang dinyatakan oleh Zam bahawa Tunku pandai berjoget ialah, “Sesungguhnya Tunku sangat pandai menari. Tariannya berseni dan indah, lenggang tangan dan langkah kakinya dalam rentak perlahan dan rentak pantas beronggeng atau inang adalah luar biasa, yang sukar untuk dilihat seumpamanya sekarang ini.” Apa yang lebih menarik ialah ada seorang anggota parlimen PAS dari Parit Perak, Hashim Gera mahu mengikuti jejak Tunku berjoget dalam suatu majlis keraian anggota parlimen di parlimen pada awal tahun 70-an, beliau telah disingkirkan oleh PAS dari parti setelah gambarnya tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia

Antara yang menarik buku ini ialah Zam turut membuat kupasan mengenai sebuah buku yang bertajuk Man In White: The Untold Story of Singapore’s Ruling Political Party (Lelaki Berpakaian Putih: Kisah Pemerintah Singapura yang Tidak Pernah Diceritakan). Buku ini sebenarnya menceritakan pementasan semula drama politik Singapura pada awal kebangkitan antikolonialis British. Buku ini ditulis oleh tiga orang wartawan The Straits Times iaitu Sonny Yap, Richard Lim, dan Leong Weng Kam. Ketiga-tiga mereka dibantu oleh empat orang penyelidik yang mewawancara lebih 300 orang termasuk pejuang-pejuang kiri seperti A. Samad Ismail, Said Zahari, Dominic Putucheary, dan S. Woodhull. 


Zam Ketika Berada di London pada Tahun 1970-an.


Dalam buku ini terdapat sebuah bab yang bertajuk “Malay Heroes Who Changed History” yang menyebut beberapa orang Melayu yang sekiranya mereka meninggalkan PAP seperti dilakukan oleh 13 anggota Dewan Undangan Singapura dari PAP (12 Cina dan seorang India) pada tahun 1961 dengan menyertai Barisan Sosialis, maka tidak wujud Singapura seperti hari ini. Sekiranya mereka menang atau dibeli oleh UMNO, besar kemungkinan Singapura akan menjadi negeri yang ketinggalan dalam Malaysia. Antara wira Melayu yang disebut dalam buku ini ialah Rahmat Kenap, Yaacob Mohamed, Buang Omar Junid, Mahmud Awang, dan Mohamed Ariff Suradi. 

Setelah peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 meletus di Tanah Melayu, berbagai-bagai cadangan yang diutarakan kepada Tunku bagi menyelesaikan kemelut yang timbul. Terdapat seorang pemimpin PAS yang mencadangkan kepada Tunku supaya kerajaan mengambil semua kedai orang Cina kerana inilah masanya. Namun, cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh Tunku atas alasan apakah kita ingin mengambil hasil usaha orang lain  yang berusaha keras di samping sikap orang Melayu sendiri yang tidak pandai berniaga. Sebahagian besar orang Melayu ketika itu mahukan tentera mengambil kesempatan daripada peristiwa 13 Mei untuk mengambil alih kuasa dan merampas semua harta orang asing untuk menjamin kuasa Melayu tetapi pemikiran ini bukan sahaja tidak ada dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO malah kalangan angkatan tentera sendiri. 

Zam juga menceritakan mengenai hubungan peribadi beliau dengan seniman agung Allahyarham P. Ramlee. Sebenarnya, selepas 10 tahun selepas kematian P. Ramlee, perbincangan mengenai cara atau kaedah masih diperbincangkan dan diperdebatkan di media massa sama ada oleh pemimpin politik, budayawan, dan sasterawan. Malah pelbagai jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membina kenangan abadi kepada seniman agung P. Ramlee. Akhirnya, usaha untuk memperingati seniman agung ini akhirnya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu (Tun) Dr. Mahathir. Kaedahnya ialah menukar nama sebuah jalan utama di kawasan perdagangan mahal di ibu kota iaitu Jalan Parry kepada Jalan P. Ramlee. Perkara diumumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elyas Omar pada 6 Julai 1983. 

Zam juga menceritakan mengenai pengalamannya ketika berada di Kota London pada tahun 1970-an. Ketika itu, Zam dapat melihat kebanjiran orang India ke London pada awal tahun 70-an yang dihalau oleh Presiden Idi Amin dari Uganda kerana mereka dianggap sebagai golongan peniaga yang memeras dan menindas rakyat tempatan di negara Afrika itu. Kerajaan British terpaksa menerima mereka kerana British bertanggungjawab membawa mereka masuk ke Uganda semasa zaman penjajahannya. 

Komuniti India yang berhijrah ke London menjalankan pelbagai perniagaan tetapi mereka kurang menghormati atau mengikuti tradisi orang Inggeris. Mereka tidak menutup kedai pada hari minggu atau pada setiap pukul 5 petang seperti kedai-kedai orang Inggeris tetapi membukanya hingga larut malam, malah sekalipun telah menutup pintu kedai mereka, mereka akan membukanya jika diketuk oleh pelanggan. Berlainan orang Afrika yang berhijrah ke kota London. Mereka tidak menunjukkan sifat keusahawanan malah mereka lebih suka membuang masa, berpeleseran, bersuka ria, minum arak hingga mabuk, berjudi dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sebenarnya, orang-orang asing yang berhijrah ke London ini bukanlah pelajar tulen yang mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian swasta di London. Mereka sebenarnya ingin mendapatkan peluang pekerjaan di London kerana peluang pekerjaan banyak di sini. Mereka hanya menghadiri kelas kurang dari seminggu dan kemudian hilang pergi bekerja di tempat lain. Sekolah-sekolah swasta tidak begitu mengambil berat tentang ketidakhadiran pelajar mereka asalkan yuran dibayar. 

Keterujaan Zam untuk ke Kota London selepas menamatkan kursus di Berlin Institute of Journalism selama tiga bulan dari Januari hingga Mac 1969 adalah tidak seperti ketika beliau melawat Rom, Amsterdam, Brussel, Denmark, dan Paris sebelum ke London. Menurut Zam, “Mungkin ini perasaan anak tanah jajahan British yang sejak kecil sudah mendengar cerita negara tuannya. Perasaan ini mungkin tidak ada lagi pada generasi baharu kerana pendedahan mereka yang lebih luas kepada dunia luar sebagai anak merdeka.” 

Sambung beliau lagi, “Anak merdeka juga sudah mengetahui dan merasakan bahawa Kuala Lumpur lebih hebat dari Kota London dari segi pemodenan, jalan raya, pusat membeli-belah dan sebagainya tetapi saya datang dari Malaysia yang ketika itu masih jauh ketinggalan daripada kota-kota maju di dunia malah masih merasakan negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan negara Asia lainnya seperti India, Sri Lanka dan Hong Kong adalah lebih baik dari Malaysia.”

Di samping itu, Zam juga menceritakan pengalamannya ketika melawat negara-negara Komunis apabila mengikut Perdana Menteri ketika melakukan lawatan. Antara tahun 1977 hingga tahun 1989, sebagai wartawan beliau telah melawat Burna, Republik Rakyat China, Yugoslavia, Romania, Iraq, dan Libya. Apabila beliau mengikuti Perdana Menteri Tun Hussein ke Republik Rakyat China pada Mei 1979, rombongan belia telah dibawa melawat ke rumah ibadat orang Cina di mana kelihatan orang bersembahyang dengan membakar gaharu tetapi beliau kemudian mendapat tahu bahawa itu hanyalah suatu lakonan untuk menangkis propaganda tidak ada kebebasan agama di negara komunis. Anak-anak muda ditugaskan untuk mengutuk orang tua-tua atau ibu bapa mereka bersembahyang. Kebanyakannya bersembahyang secara sulit.


Zam Ketika Berada di Belgrade Sewaktu Mengikuti Persidangan NAM, 1989.

Ketika beliau bersama rombongan kerajaan Malaysia ke Libya, rombongan Malaysia yang lapar setelah kembali daripada mengikuti program lawatan Dr. Mahathir telah menyerbu ke ruang kopi untuk minum dan makan tetapi mereka kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar ke blik masing-masing, tetapi setelah menunggu sekian lama tidak juga datang. Rombongan ini kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar pada waktu makan. Berlainan dengan sosialisme Arab di Iraq adalah lebih baik daripada negara-negara lain sekalipun Presiden Saddam Hussein menjalankan pemerintahan kuku besi. Rakyatnya kelihatan cukup makan dan pakai, dan mereka bebas untuk membeli-belah di kedai-kedai yang barang-barang keperluannya melimpah. Mereka juga memenuhi kedai-kedai makan yang suasananya kelihatan meriah. 

Menurut Zam, pegawai-pegawai rendah di negara komunis adalah ibarat robot yang mengikut sahaja arahan yang telah diprogramkan. Mereka akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk makan dan minum bersama-sama dengan para tetamu negara kerana itulah kesempatan bagi mereka untuk menikmati minuman keras dan makanan yang baik.

Tambah Zam lagi, keadaan rakyat yang tertindas di negara-negara Eropah Timur adalah lebih teruk dari negara China. Yang paling dahsyat dan menyedihkan ialah di Romania yang boleh menimbulkan rasa benci kepada Presidennya, Nicolae Ceusescu dan dasar keras negaranya. Berada di rumah kediamannya yang mewah dan penuh dengan ukiran yang mahal adalah berlainan sama sekali dengan kehidupan rakyat jelatanya yang tinggal di bandar Bucharest. Mereka berbaris panjang untuk mendapatkan sebiji roti walhal roti pun belum pasti ada. Jika seorang berbaris maka semuanya akan turut berbaris.


Zam menyatakan apabila beliau bertegur sapa dengan orang di jalanan, mereka akan lari atau mengelakkan diri daripada rombongan beliau. Beliau kemudian mendapat tahu kemudiannya sesiapa yang dilihat berkomunikasi dengan orang asing akan ditahan dan disoal siasat oleh polis. Pada malam ketibaan beliau di Bucharest yang suram, rombongan beliau telah dihidangkan dengan stik lembu dan air lemonade yang tutup botolnya berkarat. Daging melengkung di atas pinggan dan amat keras kerana telah berbulan-bulan berada dalam peti sejuk untuk hidangan kepada tetamu.

Apabila rombongan Zam memberikan tip dengan USD kepada operator teleprinter yang menghantar berita mereka ke Malaysia, dia tidak mahu menerimanya sebaliknya meminta rokok daripada mereka tetapi setiap batang rokok yang diberi disimpan dan tidak dihisap. Apabila ditanya mereka menyatakan bahawa 10 batang rokok dia boleh jadikan bayaran untuk menemui doktor. Memiliki wang asing adalah salah dan akan ditangkap. 

Ini adalah sebahagian daripada penceritaan saya apabila membaca buku Zainuddin Maidin yang bertajuk “Hari itu Sudah Berlalu” dan beliau sendiri pun telah berlalu pergi buat selama-lamanya. Ini adalah sebahagian perkongsian yang saya menarik untuk ditulis di sini. Lenggok bahasa yang lain daripada yang lain serta kaya dengan pengalamannya sebagai wartawan tidak membuatkan saya bosan untuk menyelak helaian demi helaian apabila membaca buku beliau ini. 

Wallhua’lam.

Wednesday, March 4, 2020

Analisis Ucaptama Tan Sri Muhyiddin Yassin

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Wahai saudaraku rakyat Malaysia yang dihormati,
Hampir seminggu negara kita menghadapi kemelut politik yang membimbangkan. Kemelut ini berlaku apabila mantan Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Ini menyebabkan jawatan Perdana Menteri kosong dan perlu diisi.
Menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Selaras dengan peruntukan ini, Duli Maha Mulia Tuanku telah berkenan melantik saya sebagai Perdana Menteri. Ini adalah kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Negara yang menjalankan fungsi baginda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihanraya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.
Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul. Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar.
Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya hormati,
Saya tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa. Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan.
Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020.
Oleh yang demikian, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.
Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.
Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?
Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya umum perlu diadakan.
Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan la’ih dengan kemelut politik yang berlaku.
Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan.
Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti. Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020.
Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri. Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat.
Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.
Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.
Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usahausaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.
Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.
Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya.
Dalam menghadapi wabak corona virus pada masa ini, sama-samalah kita jaga kesihatan. Saya juga sedar saudara dan saudari juga mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak. Bidang pendidikan amat dekat dengan jiwa saya.
Dengan pengalaman selama 6 tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara. Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju. Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. InsyaAllah ianya akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.
Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua.
Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya.
Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Sama ada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini.
Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.
Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara.
Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang insyaAllah akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara dan saudari yang telah menghadapi kemelut yang melanda negara dengan sabar dan tenang.
Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita.
Bersatu teguh, bercerai roboh.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Ulasan

Daripada ucaptama Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas, dapat kita perhatikan bahawa Tun Dr. Mahathir tidak mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli parlimen dan perkara ini diakui oleh Istana Negara. Oleh itu, temubual setiap ahli parlimen dibuat oleh YDPA untuk memilih Perdana Menteri yang baharu. Kita percaya bahawa Muhyiddin berada di persimpangan – memilih supaya PRU diadakan semula ataupun menerima jawatan Perdana Menteri. Dalam Islam sekalipun, seseorang itu sendiri boleh melantik dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin jika dia berasakan dirinya layak. Lagipun kita tidak pernah mendengar Muhyiddin tergila-gilakan jawatan untuk menjadi Perdana Menteri. Sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Mohd. Najib sekalipun, beliau berani melawan bossnya sendiri kerana isu 1MDB. Begitu juga dengan Pak Lah di mana beliau menunjukkan jalan keluar kepada Pak Lah supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri setelah mengalami kekalahan teruk dalam PRU-12 pada tahun 2008.

Diharapkan dengan kerajaan Melayu Bumiputera yang baharu ditubuhkan ini, ianya dapat melonjakkan semula ekonomi negara yang berantakan pasca PRU-14 yang lalu kerana ketidakyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia. Dengan pengalamannya sebagai Menteri Pendidikan, saya yakin Tan Sri Muhyiddin tidak lagi akan melaksanakan PPSMI sepertimana yang disebut oleh Dr. Mahathir ketika memangku jawatan Menteri Pendidikan. Mungkin aura Muhyiddin tidak boleh menandingi aura Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri. Semoga Tan Sri Muhyiddin dapat memimpin negara dan rakyat negara ini dengan lebih baik untuk masa akan datang.

Wallhua’lam.

Tuesday, March 3, 2020

Tun Dr. Mahathir yang Kecundang dalam Arena Politik

Akhirnya, Tun Dr. Mahathir Mohammad kecundang dalam arena politik setelah tersungkur kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020. Acara angkat sumpah yang berlangsung di hadapan YDPA di Istana Negara mengambil masa kurang daripada 15 minit. 

‘Langkah Sheraton’ yang dikatakan gagal sebelum ini sebenarnya telah berjaya dengan lahirnya Perikatan Nasional iaitu sebuah pakatan yang didominasi oleh UMNO dan PAS. Apa yang lebih penting lagi, kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh dengan sendirinya. Mungkin dimaki-hamun dan disumpah-seranah oleh rakyat setiap hari kerana jelik dengan tindakan menteri-menteri kabinet mereka.  

Berikutan itu, Tun Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas meletak jawatan pada 24 Februari 2020 yang lepas. Ada yang mengatakan bahawa ini hanya lakonan Dr. Mahathir semata-mata untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk naik menjadi Perdana Menteri. Jika ini hanya lakonan, bagaimana pula Dr. Mahathir boleh mengumpul SD para ahli parlimen seramai 114 orang yang memberi sokongan kepadanya sehari sebelum Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah? Tambahan pula pihak istana tidak mahu berjumpa beliau lagi.

Begitu juga sewaktu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan pada hari 23 Februari 2020, semua ahli PKR yang dikatakan kurang ajar bertubi-tubi menekan Dr. Mahathir untuk meletak jawatan. Dengan itu, beliau meletak jawatan tanpa menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya. Adakah ini juga dikatakan sebagai lakonan Dr. Mahathir?

Di pihak istana pula, YDPA hanya mengambil kira ketika sesi temu bual semua ahli parlimen (kecuali dua orang yang berada di luar negara) siapakah Perdana Menteri yang dipilih. Nasib menyebelahi Muhyiddin kerana ramai ahli parlimen yang menyokong beliau. Tiada guna lagi selepas itu, ramai pula ahli parlimen yang beralih arah menyokong Dr. Mahathir selepas itu. Pemeriksa hanya mengambil kira markah peperiksaan yang dijawab di dalam dewan peperiksaan dengan waktu yang ditetapkan dan bukannya jawapan yang dijawab di luar dewan peperiksaan dan luar waktu peperiksaan. Nasib sudah menjadi bubur. Jika dakwaan Raja Petra Kamaruddin adalah benar, maka ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin ketika di Istana Negara adalah seramai 130 orang. 

Dalam pada itu, Astro Awani mengalu-alukan kedatangan Tun Dr. Mahathir untuk kembali ke kawasan parlimennya ke Langkawi. Begitu juga dengan dua orang Adunnya yang mengalu-alukan kedatangan Dr. Mahathir ke kawasan parlimennya kerana banyak ruang masa yang boleh diperuntukkan setelah tidak jadi lagi menjadi Perdana Menteri. 

Saya pasti ramai ahli-ahli dalam Parti Bersatu yang menyokong Dr. Mahathir kini beralih arah kepada Muhyiddin kerana Muhyiddin sekarang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia yang penuh berkuasa sekarang. Mahu tidak mahu kepimpinan Bersatu di peringkat negeri akan berkiblatkan sokongan kepada Muhyiddin. Mungkin mustahil untuk Dr. Mahathir untuk menunggu PRU-15 untuk menjatuhkan Muhyiddin semula.

Wallhua’lam.