Monday, April 6, 2020

Ulasan Buku: Hari Itu Sudah Berlalu



Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan buku ini dari kulit hadapan hingga ke kulit belakang buku ini. Bukan senang orang sibuk seperti saya (perasan la tu) untuk menghabiskan bacaan sesebuah buku. Al-maklum sahajalah, bila sudah berkeluarga ditambah pula dengan kesibukan di tempat kerja menyebabkan keutamaan untuk membaca buku dalam kamus kehidupan sehari perlu kadang-kala diketepikan.

Memetik kata-kata ulama tersohor Syria iaitu Sheikh Abdul Fatah Abu Zunjah, “Barangsiapa yang tidak menghabiskan bacaan dari awal hingga akhir sesuatu kitab, maka dia tidak akan menjumpai rahsia kita tersebut.” Saya sengaja menghabiskan bacaan buku tulisan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin kerana saya sentiasa mengikuti tulisan beliau di blog beliau sebelum meninggal dunia. Buku Allahyarham Zainuddin Maidin yang bertajuk Hari Itu Sudah Berlalu merupakan koleksi himpunan tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia sebelum ini dan buku ini sebenarnya sudah lama diterbitkan iaitu sejak tahun 2011 lagi.

Memetik kata-kata Zam sendiri, “Wartawan adalah saksi sejarah.” merupakan resipi terpenting apabila saya mengikuti apa-apa tulisan Zam ini. Pengalaman beliau yang amat berharga apabila sentiasa berdamping dengan orang-orang kenamaan sebagai seorang wartawan memberikan beliau peluang tidak ternilai apabila menulis sesuatu perkara khususnya ketika Tanah Melayu mula-mula mencapai kemerdekaan pada tahun 1950-an. 

Di awal buku ini banyak mengisahkan mengenai Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Penceritaan buku ini pada awalnya adalah berkisar mengenai cabaran dan gelora politik Tanah Melayu di awal kemerdekaan. Antaranya ialah cabaran konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia ketika di awal penubuhan negara Malaysia. Di samping itu, Zam juga menceritakan sikap bersahaja Tunku Abdul Rahman apabila menemubual beliau untuk memastikan beliau sebagai orang yang penting apabila menemu-ramah beliau.

Gambaran yang dinyatakan oleh Zam bahawa Tunku pandai berjoget ialah, “Sesungguhnya Tunku sangat pandai menari. Tariannya berseni dan indah, lenggang tangan dan langkah kakinya dalam rentak perlahan dan rentak pantas beronggeng atau inang adalah luar biasa, yang sukar untuk dilihat seumpamanya sekarang ini.” Apa yang lebih menarik ialah ada seorang anggota parlimen PAS dari Parit Perak, Hashim Gera mahu mengikuti jejak Tunku berjoget dalam suatu majlis keraian anggota parlimen di parlimen pada awal tahun 70-an, beliau telah disingkirkan oleh PAS dari parti setelah gambarnya tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia

Antara yang menarik buku ini ialah Zam turut membuat kupasan mengenai sebuah buku yang bertajuk Man In White: The Untold Story of Singapore’s Ruling Political Party (Lelaki Berpakaian Putih: Kisah Pemerintah Singapura yang Tidak Pernah Diceritakan). Buku ini sebenarnya menceritakan pementasan semula drama politik Singapura pada awal kebangkitan antikolonialis British. Buku ini ditulis oleh tiga orang wartawan The Straits Times iaitu Sonny Yap, Richard Lim, dan Leong Weng Kam. Ketiga-tiga mereka dibantu oleh empat orang penyelidik yang mewawancara lebih 300 orang termasuk pejuang-pejuang kiri seperti A. Samad Ismail, Said Zahari, Dominic Putucheary, dan S. Woodhull. 


Zam Ketika Berada di London pada Tahun 1970-an.


Dalam buku ini terdapat sebuah bab yang bertajuk “Malay Heroes Who Changed History” yang menyebut beberapa orang Melayu yang sekiranya mereka meninggalkan PAP seperti dilakukan oleh 13 anggota Dewan Undangan Singapura dari PAP (12 Cina dan seorang India) pada tahun 1961 dengan menyertai Barisan Sosialis, maka tidak wujud Singapura seperti hari ini. Sekiranya mereka menang atau dibeli oleh UMNO, besar kemungkinan Singapura akan menjadi negeri yang ketinggalan dalam Malaysia. Antara wira Melayu yang disebut dalam buku ini ialah Rahmat Kenap, Yaacob Mohamed, Buang Omar Junid, Mahmud Awang, dan Mohamed Ariff Suradi. 

Setelah peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 meletus di Tanah Melayu, berbagai-bagai cadangan yang diutarakan kepada Tunku bagi menyelesaikan kemelut yang timbul. Terdapat seorang pemimpin PAS yang mencadangkan kepada Tunku supaya kerajaan mengambil semua kedai orang Cina kerana inilah masanya. Namun, cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh Tunku atas alasan apakah kita ingin mengambil hasil usaha orang lain  yang berusaha keras di samping sikap orang Melayu sendiri yang tidak pandai berniaga. Sebahagian besar orang Melayu ketika itu mahukan tentera mengambil kesempatan daripada peristiwa 13 Mei untuk mengambil alih kuasa dan merampas semua harta orang asing untuk menjamin kuasa Melayu tetapi pemikiran ini bukan sahaja tidak ada dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO malah kalangan angkatan tentera sendiri. 

Zam juga menceritakan mengenai hubungan peribadi beliau dengan seniman agung Allahyarham P. Ramlee. Sebenarnya, selepas 10 tahun selepas kematian P. Ramlee, perbincangan mengenai cara atau kaedah masih diperbincangkan dan diperdebatkan di media massa sama ada oleh pemimpin politik, budayawan, dan sasterawan. Malah pelbagai jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membina kenangan abadi kepada seniman agung P. Ramlee. Akhirnya, usaha untuk memperingati seniman agung ini akhirnya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu (Tun) Dr. Mahathir. Kaedahnya ialah menukar nama sebuah jalan utama di kawasan perdagangan mahal di ibu kota iaitu Jalan Parry kepada Jalan P. Ramlee. Perkara diumumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elyas Omar pada 6 Julai 1983. 

Zam juga menceritakan mengenai pengalamannya ketika berada di Kota London pada tahun 1970-an. Ketika itu, Zam dapat melihat kebanjiran orang India ke London pada awal tahun 70-an yang dihalau oleh Presiden Idi Amin dari Uganda kerana mereka dianggap sebagai golongan peniaga yang memeras dan menindas rakyat tempatan di negara Afrika itu. Kerajaan British terpaksa menerima mereka kerana British bertanggungjawab membawa mereka masuk ke Uganda semasa zaman penjajahannya. 

Komuniti India yang berhijrah ke London menjalankan pelbagai perniagaan tetapi mereka kurang menghormati atau mengikuti tradisi orang Inggeris. Mereka tidak menutup kedai pada hari minggu atau pada setiap pukul 5 petang seperti kedai-kedai orang Inggeris tetapi membukanya hingga larut malam, malah sekalipun telah menutup pintu kedai mereka, mereka akan membukanya jika diketuk oleh pelanggan. Berlainan orang Afrika yang berhijrah ke kota London. Mereka tidak menunjukkan sifat keusahawanan malah mereka lebih suka membuang masa, berpeleseran, bersuka ria, minum arak hingga mabuk, berjudi dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sebenarnya, orang-orang asing yang berhijrah ke London ini bukanlah pelajar tulen yang mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian swasta di London. Mereka sebenarnya ingin mendapatkan peluang pekerjaan di London kerana peluang pekerjaan banyak di sini. Mereka hanya menghadiri kelas kurang dari seminggu dan kemudian hilang pergi bekerja di tempat lain. Sekolah-sekolah swasta tidak begitu mengambil berat tentang ketidakhadiran pelajar mereka asalkan yuran dibayar. 

Keterujaan Zam untuk ke Kota London selepas menamatkan kursus di Berlin Institute of Journalism selama tiga bulan dari Januari hingga Mac 1969 adalah tidak seperti ketika beliau melawat Rom, Amsterdam, Brussel, Denmark, dan Paris sebelum ke London. Menurut Zam, “Mungkin ini perasaan anak tanah jajahan British yang sejak kecil sudah mendengar cerita negara tuannya. Perasaan ini mungkin tidak ada lagi pada generasi baharu kerana pendedahan mereka yang lebih luas kepada dunia luar sebagai anak merdeka.” 

Sambung beliau lagi, “Anak merdeka juga sudah mengetahui dan merasakan bahawa Kuala Lumpur lebih hebat dari Kota London dari segi pemodenan, jalan raya, pusat membeli-belah dan sebagainya tetapi saya datang dari Malaysia yang ketika itu masih jauh ketinggalan daripada kota-kota maju di dunia malah masih merasakan negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan negara Asia lainnya seperti India, Sri Lanka dan Hong Kong adalah lebih baik dari Malaysia.”

Di samping itu, Zam juga menceritakan pengalamannya ketika melawat negara-negara Komunis apabila mengikut Perdana Menteri ketika melakukan lawatan. Antara tahun 1977 hingga tahun 1989, sebagai wartawan beliau telah melawat Burna, Republik Rakyat China, Yugoslavia, Romania, Iraq, dan Libya. Apabila beliau mengikuti Perdana Menteri Tun Hussein ke Republik Rakyat China pada Mei 1979, rombongan belia telah dibawa melawat ke rumah ibadat orang Cina di mana kelihatan orang bersembahyang dengan membakar gaharu tetapi beliau kemudian mendapat tahu bahawa itu hanyalah suatu lakonan untuk menangkis propaganda tidak ada kebebasan agama di negara komunis. Anak-anak muda ditugaskan untuk mengutuk orang tua-tua atau ibu bapa mereka bersembahyang. Kebanyakannya bersembahyang secara sulit.


Zam Ketika Berada di Belgrade Sewaktu Mengikuti Persidangan NAM, 1989.

Ketika beliau bersama rombongan kerajaan Malaysia ke Libya, rombongan Malaysia yang lapar setelah kembali daripada mengikuti program lawatan Dr. Mahathir telah menyerbu ke ruang kopi untuk minum dan makan tetapi mereka kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar ke blik masing-masing, tetapi setelah menunggu sekian lama tidak juga datang. Rombongan ini kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar pada waktu makan. Berlainan dengan sosialisme Arab di Iraq adalah lebih baik daripada negara-negara lain sekalipun Presiden Saddam Hussein menjalankan pemerintahan kuku besi. Rakyatnya kelihatan cukup makan dan pakai, dan mereka bebas untuk membeli-belah di kedai-kedai yang barang-barang keperluannya melimpah. Mereka juga memenuhi kedai-kedai makan yang suasananya kelihatan meriah. 

Menurut Zam, pegawai-pegawai rendah di negara komunis adalah ibarat robot yang mengikut sahaja arahan yang telah diprogramkan. Mereka akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk makan dan minum bersama-sama dengan para tetamu negara kerana itulah kesempatan bagi mereka untuk menikmati minuman keras dan makanan yang baik.

Tambah Zam lagi, keadaan rakyat yang tertindas di negara-negara Eropah Timur adalah lebih teruk dari negara China. Yang paling dahsyat dan menyedihkan ialah di Romania yang boleh menimbulkan rasa benci kepada Presidennya, Nicolae Ceusescu dan dasar keras negaranya. Berada di rumah kediamannya yang mewah dan penuh dengan ukiran yang mahal adalah berlainan sama sekali dengan kehidupan rakyat jelatanya yang tinggal di bandar Bucharest. Mereka berbaris panjang untuk mendapatkan sebiji roti walhal roti pun belum pasti ada. Jika seorang berbaris maka semuanya akan turut berbaris.


Zam menyatakan apabila beliau bertegur sapa dengan orang di jalanan, mereka akan lari atau mengelakkan diri daripada rombongan beliau. Beliau kemudian mendapat tahu kemudiannya sesiapa yang dilihat berkomunikasi dengan orang asing akan ditahan dan disoal siasat oleh polis. Pada malam ketibaan beliau di Bucharest yang suram, rombongan beliau telah dihidangkan dengan stik lembu dan air lemonade yang tutup botolnya berkarat. Daging melengkung di atas pinggan dan amat keras kerana telah berbulan-bulan berada dalam peti sejuk untuk hidangan kepada tetamu.

Apabila rombongan Zam memberikan tip dengan USD kepada operator teleprinter yang menghantar berita mereka ke Malaysia, dia tidak mahu menerimanya sebaliknya meminta rokok daripada mereka tetapi setiap batang rokok yang diberi disimpan dan tidak dihisap. Apabila ditanya mereka menyatakan bahawa 10 batang rokok dia boleh jadikan bayaran untuk menemui doktor. Memiliki wang asing adalah salah dan akan ditangkap. 

Ini adalah sebahagian daripada penceritaan saya apabila membaca buku Zainuddin Maidin yang bertajuk “Hari itu Sudah Berlalu” dan beliau sendiri pun telah berlalu pergi buat selama-lamanya. Ini adalah sebahagian perkongsian yang saya menarik untuk ditulis di sini. Lenggok bahasa yang lain daripada yang lain serta kaya dengan pengalamannya sebagai wartawan tidak membuatkan saya bosan untuk menyelak helaian demi helaian apabila membaca buku beliau ini. 

Wallhua’lam.

No comments: