Wednesday, April 22, 2020

Erdorgan di Mata Rakyat Turki

Recep Tayyip Erdorgan bukan nama asing dalam dunia politik antarabangsa. Beliau dikenali dan dihormati oleh dunia Islam dan dibenci dan dimusuhi oleh dunia Barat. Beliau dianggap sebagai hero dunia Islam kerana dianggap berusaha untuk menghidupkan semula imej Daulah Uthmaniyah dengan memberi bantuan kepada negara-negara umat Islam atau membela nasib umat Islam yang menjadi kaum minoriti dalam sesebuah negara yang bukan Islam.

Beliau dilahirkan pada 26 Februari 1954 di Istanbul dan merupakan Presiden Turki ke-12 dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Turki selama 12 tahun. Sebelum itu beliau pernah menjawat jawatan Datuk Bandar Istanbul dari tahun 1994 sehingga 1998. Pada tahun 2001, beliau telah menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang menyaksikan kemenangan demi kemenangan dikecapi sejak dari tahun 2002 sehingga ke hari ini.

Walaupun beliau dianggap sebagai singa dunia Islam oleh masyarakat Islam di luar Turki termasuk Malaysia sendiri, namun ianya berbeza dengan pandangan rakyat Turki sendiri terhadap beliau. Beliau disebut pengkhianat kerana melanggar tiga prinsip perlembagaan Turki iaitu Kemalisme, Sekularisme, dan Modenisme yang berkiblatkan Ataturk dalam membentuk sebuah negara Republik Turki. 

Beliau sebenarnya bertindak zalim terhadap musuh-musuh politiknya dan seorang penentang kebebasan dalam bersuara. Di samping itu, beliau juga sering menindas kaum Kurdi yang tinggal di Turki. 

Sebenarnya, kemenangan Parti AKP pada setiap kali pilihan raya Turki adalah tertumpu kepada di kawasan-kawasan yang didominasi oleh kota-kota yang kurang membangun dan bersifat konservatif dan tewas di kota-kota yang lebih maju khususnya yang terletak di perairan laut seperti Izmir dan Antalya. Sehingga kini, Izmir hanya diperintah oleh Parti CHP yang diasaskan oleh Ataturk dan rakyat Izmir berbangga dengannya. 

Di Turki sendiri rakyatnya kurang mendapat berita mengenai kepincangan dan rasuah yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Erdorgan. Orang-orang yang mendapat maklumat yang terhad kepada akhbar-akhbar tempatan, blog-blog atau laman internet tertentu pasti akan mengangkat Erdorgan setinggi langit. Para media yang mendedahkan kepincangan kerajaan akan disaman, diselar, dan tidak kurang daripada itu ‘spy’ akan dihantar bagi memerhatikan gerak-geri mereka sepertimana yang berlaku kepada wartawan-wartawan akhbat Todays Zaman, Ahmet Dönmez, Taraf Daily, dan Baransu. Kadang-kadang kerajaan Turki juga menutup laman Youtube, Twitter, dan Facebook bagi menghalang orang ramai mengetahui mengenai kepincangan kerajaan mereka. 

Di manakah kedudukan Erdorgan sebenarnya? Pelbagai berita yang disensasikan oleh pihak yang berbeza mengenai Erdorgan. Jika Erdorgan sudah berada di landasan yang betul, kita berharap beliau boleh mengemudi negara Turki pada masa sekarang dan juga pada masa hadapan.

Wallhua’alam. 

No comments: