Monday, April 27, 2020

Riba’, Hutang, dan Emas

Realiti kehidupan hari ini, kita berlumba-lumba mengejar untuk membina harta yang mampu beli dunia dan seisinya. Dalam kita mengejar untuk membina harta, kita sebenarnya sibuk membuat hutang dengan bank. Apabila disebut pinjaman bank, maka ianya tidak boleh lari daripada riba’. Dosa riba’ adalah ibarat mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Sanggupkah kita ini ingin membeli dunia ini dengan mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya? 

Saya tertarik dengan orang-orang yang melabur dengan bidang hartanah. Ada yang berpuluh-puluh bahkan ratusan aset hartanah yang dimilikinya. Dalam tidak sedar, mereka sebenarnya membuat pinjaman bank sehingga ratusan juta untuk membina aset hartanah ini. Apakah kita perlu menjalankan urusan riba’ ini semata-mata untuk memiliki aset hartanah ini? 

Akan tetapi, al-Quran tidak melarang kita untuk berhutang untuk mendapatkan sesuatu. Akan tetapi, dalam hal berhutang al-Quran juga menetapkan tatacara kita untuk berhutang seperti perlu ada saksi dan sebagainya. 

Tetapi dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai emas. Emosi manusia ini adalah terikat dengan emas. Firman Allah s.w.t. dalam Surah at-Taubah ayat 34, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka huruf kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Di sini, Allah s.w.t. memberi amaran kepada sesiapa yang liat untuk membayar zakat emas mahupun perak. Akan tetapi, menyimpan emas itu tidak salah selagi mana kita membayar zakat sekiranya cukup haul dan nisab.

Dalam kehidupan ini, kita mempunyai dua cara untuk membina harta iaitu cara yang dimurkai Allah s.w.t. atau yang diredhai oleh-Nya. Pilihan terletak di tangan kita bagaimana kita untuk membina harta.

Wallahua’lam.

No comments: