Tuesday, April 7, 2020

Ulasan Buku: Forensik Kewangan


Minat saya terhadap ilmu kewangan sebenarnya ketika saya berumur 20-an. Apabila saya telah berusia 30-an minat terhadap ilmu kewangan semakin berkurangan. Ditambah pula dengan status kewangan saya yang semakin stabil (Ehem...Ehem..). Bukan apa. Apabila disebut mengenai ilmu kewangan, mana-mana buku pun akan membincangkan dan tidak lari daripada menyebut mengenai empat perkara Utama iaitu pendapatan, simpanan, perbelanjaan, dan hutang. Perkara-perkara ini membuatkan saya semakin jemu mengenai ilmu kewangan. 

Baiklah, berbalik kepada buku mengenai Forensik Kewangan. Buku ini sebenarnya dicadangkan oleh sahabat saya untuk membacanya. Dan telahan saya betul apabila membaca buku ini dan ianya tidak lari daripada empat perkara Utama yang saya sebutkan di atas. Penulis buku ini sebenarnya telah berkecimpung lama dalam ilmu kewangan dan sedikit sebanyak buku ini menyediakan kes-kes individu yang meminta nasihatnya untuk menyelesaikan masalah hutang dan seterusnya menstruktur semula kewangan. Kadang-kadang banyak nombor ringgit yang ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah hutang membuatkan saya pening untuk memahami contoh penyelesaian hutang yang diberikan. Dan saya hanya membelek sahaja helaian berikutnya jika terasa pening.

Saya tertarik dengan buku ini yang menyatakan bahawa siapa kawan kita pada hari ini sebenarnya menentukan berapakah jumlah harta kita pada masa hadapan. Bak kata hadis, berkawan dengan penjual minyak wangi dan pembuat bijih besi sebenarnya membentuk masa hadapan kita dari sudut kewangan. Begitu juga dengan apa buku yang kita baca hari ini sebenarnya membentuk kita pada masa hadapan.

Dalam kewangan, kita sebenarnya perlu memfokuskan kepada pembinaan harta dan bukannya simpanan. Apabila disebut harta, maka kita perlu faham bahawa sesuatu itu mempunyai nilai dan ekuiti. Dengan kata lain, nilainya meningkat dari semasa ke semasa. Harta ini terpulang kepada kita apakah matlamat kita hendak kumpul sebenarnya. Tidak kiralah hartanah, emas, dan sebagainya. 

Cara menyelesaikan masalah hutang dalam buku ini adalah menggunakan kaedah snowball. Saya pun tidak pernah mendengar perkataan snowball itu sendiri. Maksudnya ialah menggunakan duit lebihan kita untuk menambah bayaran hutang bulanan kita. Bukannya menyelesaikan masalah hutang dengan gali lubang tutup lubang. 

Pendek kata, anda boleh memiliki buku ini jika anda ingin menyelesaikan masalah kewangan anda. Sedikit sebanyak saya fikir ianya boleh membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah hutang yang bertimbun.

Wallhua'lam.

No comments: