Sunday, September 23, 2018

Asal-Usul Perkataan “Melayu”

Timbulnya perkataan “Melayu” berbagai-bagai pendapat orang mengatakan berkenaan nama sambutan Melayu itu, diantaranya :-

a. “Melayu” itu daripada dua perkataan : ‘Mela’ dan ‘Yu’. ‘Mela’ ertinya mula dan ‘Yu’ ertinya negeri, seperti yang terdapat pada nama Genggayu ertinya negeri yang bernasbah kepada Gengga, Lengkayu, Kelengkayu, dan sebagainya.
Di antara cerita-cerita tua, yang diceritakan oleh orang-orang tua Melayu dari mulut ke mulut, ada diantaranya yang menunjukkan bahawa di Alam Melayu ini dahulu kala ada satu benua besar dan berkemajuan bernama Benua “Mu” (kira-kira zaman Nabi Nuh a.s.) dan benua ini kemudiannya telah tenggelam akibat hujan badai ribut gempa dan letusan-letusan gunung berapi (sebagaimana tenggelamnya Krakatoa dalam tahun 1883 di Selat Sunda itu) dan dengan kejadian itu habislah binasa negeri itu dan orang-orangnya banyak yang mati tenggelam. Mereka yang terselamat telah melarikan diri ke tanah besar seperti Kemboja dan tak dapat melarikan diri mencari tempat berlindung di gunung-gunung dan di pulau-pulau yang timbul.
Dalam Sejarah Melayu ada karinah ini bahawa kadar yang disebutkan di permulaan cerita negara Melayu itu berasa di Bukit Siguntang Mahamiru. Ini menunjukkan bukanlah ia berasal di kuala sungai ataupun di tepi sungai.
Bekas kerajaan Minangkabau itupun terdiri di bukit-bukit dan lerengan gunung berapi di Pagar Royong. Dari atas bukit-bukit dan gunung-gunung itulah orang-orang Melayu turun ke pantai-pantai dan melanjutkan pembukaan negerinya lagi. Dan boleh jadi nama Melayu itu timbul dari yang dimaksudkan melarikan diri atau perlarian dari letusan badai dan benua tenggelam tersebut atau sisa benua ‘Mu’ itu. 
Dan daripada ini, dijangka perpindahan orang-orang itu yang mendukung bunyi bahasa Melayu itu bertempat di sekitar Kedah, Perlis, Perak, di Semenanjung dan di sekitar Sumatera Timur.
Jika berkebetulan Melayu menurut maksud di atas ini ialah negeri yang mula-mula sekali dalam dunia, atau di kawasan ini atau dimulakan lagi sesudah tenggelamnya dahulu itu.
b. “Melayu” atau “Melayur” adalah bererti tanah tinggi atau bukit atau kegunungan dan dalam bahasa Tamil pula “Malaya” itu bererti hujan. Jadinya pengertian yang pertama itu ialah kerana mula dijumpa negeri-negeri Melayu itu di atas bukit-bukit dan yang kedua pula kerana negeri yang banyak hujan (mungkin agaknya sebagai sebutan “Mal Aria”, “Mal” ertinya sakit, dan “aria” ertinya kawasan (kawasan penyakit) sekarang lalu nama penyakit “Malaria”).
Dalam bahasa sanskrit, ada terdapat perkataan “Malaya” ertinya nama pohon yang harum, gaharu kerangan bunga, penanggahan, pasukan yang berjalan berecer-ecer, kegunungan. Malaya dahulunya ialah negeri gaharu yang terkenal.
“Melayu” dalam bahasa Jawa : deras, lari.
c. “Melayu” daripada “Pemelayu” seperti Palembang daripada Lembang.
Ada lagi “Yu” bermakna telur. Jadi Melayu ertinya mula telur iaitu telur yang mula-mula yang dimaksudkan mula-mula benih bangsa di dunia atau di kawasan ini mula bernegara di zaman purba. Barangkali juga ada perkaitannya dengan falsafah Ibni Tufail dan ceritanya Hai bin Yaqzan. Dr. H. Otley Beyer telah mengesahkan, bahawa daerah Alam Melayu ini telah didiami oleh manusia semenjak 25,000 tahun yang lalu.
Di dalam kitab Jawa atau yang bernama Negara Kartagama itu tidak menyebutkan Melayu tetapi disebut Pemelayu berhubung dengan Sri Wijaya.
Pemelayu sebagai pemula negeri atau zaman pertama atau edaran (era) yang mula dan yang keduanya Palembang Sri Wijaya. Lembang sebagai lembangan perkembangan lanjutan Pemalu atau Pemelayu itu.
Bangsa Melayu lebih 100 juta sekarang maka edaran kebangkitan Melayu seluruhnya lagi sebagai kebangkitan ulangan sejarah adalah edaran yang pasti berulang. Kebangkitannya Rizal, Laurel, Quirino dari Filipina dan menyebut ketika masa lawatannya ke Indonesia. Manakala kebangkita Indonesia pasti pula berikutan Kalimantan dan Tanah Melayu sedang garisan besar kebudayaannya masih satu dan tetap satu.
d. Perkaitan dengan nama ‘Hai Malaya’ (Himalaya) sebagai leretan tanah tinggi dan gunung yang sangat tinggi dalam dunia manakala Malaya atau Melayu menunjukkan luran dan perlautan yang sangat dalam pula yang ada di daerah Midanao sebagai bekas hilang benua yang tenggelam itu. 
Wallhua’lam.
Sumber : Dr. Burhanuddin al-Helmy : Pemikiran dan Perjuangan.

No comments: