Tuesday, September 18, 2018

Mudahnya Menjemput Rezeki 2 (MMR 2)

Sememangnya tidak boleh nafikan bahawa impak buku Mudahnya Menjemput Rezeki 1 lebih hebat daripada buku Mudahnya Menjemput Rezeki 2.

Apabila membaca buku MMR 2 sudah tentu kita sudah tahu bahawa apa yang ingin dibawa penulis ialah sambungan daripada MMR 1 iaitu konsep menjemput rezeki adalah lebih mudah daripada mencari rezeki. Pendek kata, buku MMR 2 ini adalah untuk menambahkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. sebagai pemberi rezeki. 
Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Hariyanto yang pernah datang memberi ceramah di pejabat saya di mana beliau mengatakan bahawa sebenarnya tiada konsep menjemput rezeki kerana setiap rezeki manusia telah ditentukan oleh Allah s.w.t. itu sendiri. Beliau memberi contoh kisah pelajar cemerlang yang mendapat straight A dalam peperiksaan SPM suatu ketika dahulu di Kelantan yang datang daripada keluarga nelayan yang daif. Apa yang terjadi kepada keluarga pelajar tersebut selepas kisah keluarganya diuar-uarkan di media massa? Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Akhirnya, keluarga pelajar tersebut mendapat banglo bernilai RM1 juta hasil sumbangan orang ramai. 
Sejauh manakah kebenaran kata-kata tiada konsep menjemput rezeki sedangkan setiap orang telah ditentukan rezekinya oleh Allah s.w.t.?
Buku MMR 2 ini telah saya beli pada tahun lepas tetapi habis dibaca pada tahun ini kerana kesuntukan masa dan perlu menghabiskan pembacaan buku-buku lain dahulu. Apa yang ditekankan oleh penulisnya pada kali ini setiap rezeki itu adalah datang daripada Allah s.w.t. Oleh itu, mohonlah bantuan Allah s.w.t. walaupun kita mempunyai wang yang banyak sekalipun untuk membeli sesuatu. 
Beliau memberi contoh jemaah dari India (mungkin jemaah Tabligh) yang datang ke Malaysia. Apabila ditanya bagaimana mereka boleh meninggalkan pekerjaan dan perniagaan mereka, mereka menjawab, “Mintalah kepada Allah s.w.t.” Dalam kembara musafir beliau sendiri, beliau mendapat teh tarik dalam cawan kertas secara percuma setelah mengamalkan konsep ‘Mintalah kepada Allah s.w.t.’ walaupun beliau mempunyai wang untuk membeli air berkenaan. 
Pokoknya, kita haruslah meletakkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t. dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara kerana bagi Allah s.w.t. itu semua adalah mudah belaka. 
Penulis juga menekankan bahawa tiada konsep kebetulan dalam hidup kerana apa yang terjadi adalah disebabkan tindakan kita sendiri.
Dalam pada itu, saya ada menonton ceramah Mudahnya Menjemput Rezeki yang dikendalikan oleh Ustaz Fathuri Salehuddin sendiri di sebuah masjid di Shah Alam. Beliau membuat eksperimen sendiri untuk menunjukkan tiada konsep kebetulan dalam hidup ini. Apa yang beliau lakukan? Mudah sahaja, beliau hanya menghadiahkan 3 buah buku MMR kepada 3 peserta secara rawak. 
Selepas itu, beliau memanggil ketiga-tiga peserta yang menerima buku ini untuk datang ke hadapan dan menyatakan apakah amalan yang dilakukan sebelum mereka datang ke ceramah beliau (diadakan pada waktu pagi) tanpa rasa perlu riak dan menjawab seikhlas mungkin. Ketiga-tiganya adalah wanita dengan memberi jawapan berikut :
Wanita pertama : Beliau menyatakan pada malam sebelum datang ke kuliah ini, anaknya tidak mahu diganggu kerana ingin mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Malangnya, ada sahabat wanita ini yang ingin bertandang ke rumah beliau. Oleh kerana ingin menjaga hati sahabatnya, wanita ini tetap menjemput sahabatnya ini datang ke rumah.
Wanita kedua : Beliau menyatakan pada malam sebelum datang kuliah ini, cucu beliau pada awalnya tidak mahu menunaikan solat Isyak. Namun, wanita ini berjanji untuk menemani cucunya tidur sekiranya cucunya menunaikan solat Isyak. Akhirnya, wanita ini menunaikan janjinya apabila cucu beliau menunaikan solat Isyak.
Wanita ketiga : Beliau menyatakan beliau datang dari jauh semata-mata untuk mendengar kuliah MMR ini.
Nah! Lihat peristiwa ini. Tiada istilah kebetulan dalam hidup. Apa yang berlaku kepada diri kita sendiri adalah disebabkan tindakan kita sendiri. Sesungguhnya pembalasan Allah s.w.t. itu amatlah cepat walaupun sekecil-kecilnya tindakan kita ini. Pembalasan Allah s.w.t. tidak cepat ataupun tidak lambat walaupun sesaat.
Pendek kata, apabila kita bersusah-susah melaksanakan perkara Allah s.w.t. suka, maka Allah s.w.t. akan mempermudahkan urusan untuk mendapatkan apa yang kita suka.
Wallhua’lam.

No comments: