Sunday, August 5, 2018

Menjemput Rezeki dengan Membaca al-Quran

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran? Saya tidak maksudkan bacaan al-Quran dalam solat. Maksud saya, anda benar-benar peruntukkan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari. Jika sudah ada, syukur alhamdulillah. Jika belum, adalah penting untuk mula merencanakan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari.

Aktiviti ini benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan kita. Bukan sahaja di dunia, manfaatnya berpanjangan hingga ke negeri akhirat.
Ayuh mari kita kupas satu persatu apa kaitannya dengan rezeki. Pertama jangan beri alasan tidak membaca al-Quran kerana alasan tidak lancar, kerana ganjaran berganda menanti. Ia khusus untuk orang yang suka memberi alasan tersebut.
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama para malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah-payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran.” Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah.
Kita semua sayangkan ibu bapa bukan? Nah, di sini ada hadiah istimewa untuk mereka.
Mu’az al-Johari meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung di dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota itu melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkan bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.
Anda mahu tahu rahsia bagaimana boleh bersedekah setiap hari? Ini caranya.
Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang membaca al-Quran dengan bersuara adalah seumpama seorang yang memberi sedekah secara terang-terang dan seorang yang membaca al-Quran secara senyap adalah seumpama bersedekah secara sembunyi.” Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Hakim
Pernahkah saudara mengerjakan 1,000 rakaat solat sunat? Mustahil? Al-Quran menunjukkan caranya.
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu ayat daripada kitab Allah lebih baik bagimu daripada mengerjakan solat sunat seratus rakaat. Pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu daripada ilmu yang (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan adalah lebih baik daripada kamu mengerjakan seribu rakaat solat sunat.” Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan.
Hebat. Sungguh hebat ganjaran yang menanti para pembaca al-Quran. Saya turut memiliki beberapa pengalaman peribadi yang agak ajaib berkenaan amalan membaca al-Quran. Walaupun amalannya mudah sahaja, hasilnya sudah dibuktikan berkali-kali. Modalnya Cuma membaca satu surah tertentu. Surah itu pula sangat mudah dan saya yakin kita semua sudah menghafalnya.
Wallhua’lam.
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki.

No comments: