Tuesday, March 3, 2020

Tun Dr. Mahathir yang Kecundang dalam Arena Politik

Akhirnya, Tun Dr. Mahathir Mohammad kecundang dalam arena politik setelah tersungkur kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020. Acara angkat sumpah yang berlangsung di hadapan YDPA di Istana Negara mengambil masa kurang daripada 15 minit. 

‘Langkah Sheraton’ yang dikatakan gagal sebelum ini sebenarnya telah berjaya dengan lahirnya Perikatan Nasional iaitu sebuah pakatan yang didominasi oleh UMNO dan PAS. Apa yang lebih penting lagi, kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh dengan sendirinya. Mungkin dimaki-hamun dan disumpah-seranah oleh rakyat setiap hari kerana jelik dengan tindakan menteri-menteri kabinet mereka.  

Berikutan itu, Tun Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas meletak jawatan pada 24 Februari 2020 yang lepas. Ada yang mengatakan bahawa ini hanya lakonan Dr. Mahathir semata-mata untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk naik menjadi Perdana Menteri. Jika ini hanya lakonan, bagaimana pula Dr. Mahathir boleh mengumpul SD para ahli parlimen seramai 114 orang yang memberi sokongan kepadanya sehari sebelum Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah? Tambahan pula pihak istana tidak mahu berjumpa beliau lagi.

Begitu juga sewaktu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan pada hari 23 Februari 2020, semua ahli PKR yang dikatakan kurang ajar bertubi-tubi menekan Dr. Mahathir untuk meletak jawatan. Dengan itu, beliau meletak jawatan tanpa menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya. Adakah ini juga dikatakan sebagai lakonan Dr. Mahathir?

Di pihak istana pula, YDPA hanya mengambil kira ketika sesi temu bual semua ahli parlimen (kecuali dua orang yang berada di luar negara) siapakah Perdana Menteri yang dipilih. Nasib menyebelahi Muhyiddin kerana ramai ahli parlimen yang menyokong beliau. Tiada guna lagi selepas itu, ramai pula ahli parlimen yang beralih arah menyokong Dr. Mahathir selepas itu. Pemeriksa hanya mengambil kira markah peperiksaan yang dijawab di dalam dewan peperiksaan dengan waktu yang ditetapkan dan bukannya jawapan yang dijawab di luar dewan peperiksaan dan luar waktu peperiksaan. Nasib sudah menjadi bubur. Jika dakwaan Raja Petra Kamaruddin adalah benar, maka ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin ketika di Istana Negara adalah seramai 130 orang. 

Dalam pada itu, Astro Awani mengalu-alukan kedatangan Tun Dr. Mahathir untuk kembali ke kawasan parlimennya ke Langkawi. Begitu juga dengan dua orang Adunnya yang mengalu-alukan kedatangan Dr. Mahathir ke kawasan parlimennya kerana banyak ruang masa yang boleh diperuntukkan setelah tidak jadi lagi menjadi Perdana Menteri. 

Saya pasti ramai ahli-ahli dalam Parti Bersatu yang menyokong Dr. Mahathir kini beralih arah kepada Muhyiddin kerana Muhyiddin sekarang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia yang penuh berkuasa sekarang. Mahu tidak mahu kepimpinan Bersatu di peringkat negeri akan berkiblatkan sokongan kepada Muhyiddin. Mungkin mustahil untuk Dr. Mahathir untuk menunggu PRU-15 untuk menjatuhkan Muhyiddin semula.

Wallhua’lam.

No comments: