Minggu lepas kita digemparkan dengan hukuman yang
dijatuhkan ke atas Adam Adli iaitu penjara selama 12 bulan di bawah Akta Hasutan
kerana membuat kenyataan dalam satu perhimpunan supaya Kerajaan yang sah
sekarang perlu digulingkan. Bagaimanakah dengan nasib Adam Adli kelak selepas
dia keluar penjara? Amat menyedihkan apabila seseorang itu digelar bekas
banduan. Bagaimana pula apabila dia memohon kerjaya pada masa hadapan? Bukankah
setiap kali memohon sesuatu pekerjaan, kita perlu membuat pengakuan bahawa kita
adalah bukan bekas banduan dan tidak pernah mengambil dadah? Semoga kita
dijauhkan semua daripada perkara ini.
Mengapa kita perlu beria-ria untuk menjatuhkan kerajaan
sekarang? Adakah kita ingin menumbangkan kerajaan yang zalim ataupun kita ingin
sekadar merebut kuasa? Lihat sahaja dengan krisis Menteri Besar Selangor yang
berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang. Mereka sering mendakwa
bahawa mereka merupakan pemimpin yang bersih dan cekap. Namun apa yang berlaku
pula ialah terdapat krisis kepimpinan di antara mereka. Ku sangka cerah
sehingga ke petang namun hujan pula waktu tengah hari. Krisis yang berlaku di
kalangan mereka juga menyebabkan Kedah terlepas kepada BN semula. Walhasil
balik asal, walhasil balik hasil. Walhasil cari pasal, itu pasal tak jadi.
Pendek kata, timbal terbalik yang berlaku antara pemimpin kerajaan dan
pembangkang sama sahaja apabila mereka berkuasa.
Kononnya pemimpin Malaysia hari ini adalah zalim
dan menindas rakyat. Adakah kita perlu menjatuhkan Kerajaan pemimpin yang
dikatakan zalim ini melalui pilihan raya? Adakah Islam menuntut kita supaya
menjatuhkan pemimpin yang zalim.
Sejarah telah menunjukkan bahawa apabila seseorang
pemimpin sesebuah kerajaan yang zalim digulingkan atau dijatuhkan, akan muncul
pula pemimpin yang lebih zalim daripada
pemimpin sebelumnya. Mustafa Kamal Attaturk pemimpin republik Turki jauh lebih
kejam daripada Sultan-sultan Dinasti Uthmaniyah yang terakhir. Kerajaan Lenin
menggantikan pemerintahan Tsar di Russia dengan pemerintahan komunis ternyata
jauh lebih kejam daripada kerajaan sebelumnya. Kerajaan Iraq yang baru selepas
Kerajaan Saddam Hussein digulingkan oleh tentera bersekutu pada tahun 2003 jauh
lebih kejam daripada pemerintahan Saddam Hussein.
Sebenarnya, yang memberi kuasa kepada seseorang
itu untuk berkuasa adalah Allah s.w.t. Allah s.w.t. berkuasa untuk menaikkan dan
menjatuhkan sesuatu kerajaan. Siapakah kita sebenarnya untuk menjatuhkan
sesebuah kerajaan yang dikatakan zalim? Islam sebenarnya menganjurkan kita
berdoa supaya kita memperbaiki diri sendiri dan berdoa kepada Allah s.w.t.
supaya didatangkan segera pemimpin yang dijanjikan Allah s.w.t. apabila
berdepan dengan pemimpin yang zalim.
Islam tidak mengajar kita merampas kuasa atau
menjatuhkan pemimpin kerana menurut Islam, pemimpin adalah cermin masyarakat.
Apa yang dilakukan oleh pemimpin sebenarnya merupakan cerminan sesebuah
masyarakat. Baik masyarakat, baiklah pemimpinnya. Rosak masyarakat, rosaklah
pemimpinnya. Corak pemerintahan dan pentadbiran, sikap dan akhlak pemimpin, dan
segala yang berkaitan dengan pemimpin ada kaitan langsung dengan masyarakat.
Ini selari dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
“Bagaimana keadaan kamu dengan
amalan-amalan kamu maka begitulah keadaan pemerintah yang diletakkan ke atas
kamu.”
Dalam sebuah hadis qudsi, Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda lagi :
“Allah s.w.t. telah berfirman : Aku adalah Allah
s.w.t. Tiada Tuhan selain aku. Akulah Tuan dan Raja segala Raja. Aku memegang
hati-hati raja di dalam tanganKu. Apabila orang ramai (rakyat) mentaatiKu, Aku
akan menukar hati raja-raja menjadi belas kasihan serta sayang ke atas mereka.
Apaila orang ramai (rakyat) mengingkariKu, Aku
akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka.
Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan
penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah
lebih baik kembali mengingatiKu dan merayu kepadaKu supaya Aku dapat
melindungimu daripada kekejaman mereka.”
Daripada hadis qudsi ini, dapat kita fahami bahawa
apabila kita mentaati perintah Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. akan anugerahkan
kepada kita rahmat melalui pemimpin yang mempunyai sifat belas kasihan serta
sayang kepada kita. Pendek kata, kita yang hidup dalam konteks bermasyarakat
dalam sesebuah negara perlu melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya
Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita pemimpin yang adil.
Oleh kerana Malaysia pada hari ini mengamalkan
konteks demokrasi, kerajaan yang dikatakan zalim dan menindas rakyat dapat
dijatuhkan melalui pilihanraya. Pun begitu, pihak pembangkang masih menunjukkan
rasa tidak puas hati melalui demonstrasi jalanan apabila masih belum memenagi
pilihanraya. Ini sudah tentu menimbulkan suasana yang tidak tentera di dalam
negara.
Sejarah di seluruh dunia termasuk negara Islam dan
bukan Islam telah menunjukkan bahawa apabila sesebuah kerajaan yang dikatakan
zalim itu digulingkan, akan muncul pula kerajaan yang ternyata lebih zalim
daripada pemerintah sebelumnya. Sebenarnya, apa yang perlu kita lakukan ialah
mengharapkan rahmat Allah s.w.t. untuk mendapatkan pemimpin yang adil. Ini
dilakukan dengan mentaati perintah Allah s.w.t. dan bukannnya secara
membuta-tuli menjatuhkan kerajaan yang dikatakan zalim tersebut.
No comments:
Post a Comment