Saturday, September 6, 2014

Hang Nadim 1525




Ini adalah novel pertama yang saya telah habiskan sejak tahun 2002 di mana novel terakhir yang saya baca ialah Konserto Terakhir sewaktu menduduki peperiksaan SPM pada tahun tersebut. Saya tertarik dengan novel ini kerana ia menceritakan mengenai sejarah. Apabila sejarah dinovelkan maka adalah sukar bagi kita untuk menentukan yang manakah fakta sebenar dan yang mana fakta novel. Buku ini sebenarnya berharga RM39.90 tetapi saya membelinya dengan harga RM10.00 kerana saya membelinya ketika pesta buku. Hehehe...

Apa yang pasti ialah novel Hang Nadim 1525 tulisan Ikhwan Sha ini adalah menarik sekali terutamanya jalan ceritanya. Saya fikir saya boleh menghabiskan membaca novel ini dalam masa 2 bulan tetapi saya berjaya menghabiskan membaca novel ini kurang daripada sebulan disebabkan oleh olahan jalan ceritanya yang menarik. Tahniah diucapkan kepada penulis.

Pokok utama cerita ini mengisahkan Sultan Mahmud yang merupakan waris Kesultanan Melayu Melaka terakhir yang telah berjaya mempertahankan Kerajaan barunya di Bentan daripada serangan Portugis setelah Kerajaannya di Melaka ditawan oleh Portugis. Ini sudah tentu dibantu oleh panglima-panglima melayu yang terbilang seperti Hang Nadim, Panglima Aryamada, Tun Hamzah, Panglima Paduka Tuan, Tun Hussein Panji Merah (Bendahara Pahang), dan lain-lain.

Jalan ceritanya adalah menarik. Ia menceritakan bagaimana Kerajaan Bentan menghadapi serangan Portugis dan dalam masa yang sama berlaku perbalahan sesama sendiri di kalangan pemimpin-pemimpin utama Kerajaan Bentan. Ini disebabkan oleh sikap Sultan Mahmud sendiri yang menyebabkan pemimpin-pemimpin Melayu berbalah sesama sendiri. Pemimpin-pemimpin  melayu yang berbalah ini akhirnya bersatu apabila Portugis menyerang Kota Bentan.

Panglima Portugis yang terukir dalam novel ini ialah Garcia De Sa, Duarte de Millo, dan Jorge de Albuquerque. Angkatan tentera Portugis adalah terlalu besar iaitu terdiri daripada beratus-ratus kapal dan tentera bergajah.

Hakikat yang tidak dapat diterima oleh Hang Nadim ialah isterinya berlaku curang dengannya apabila membuat hubungan sulit dengan Sultan Mahmud sendiri. Sebenarnya, ini adalah disebabkan oleh sikap orang-orang melayu sendiri pada zaman dahulu yang tidak mahu derhaka kepada Sultan mereka. Mahu tidak mahu isteri mereka sendiri terpaksa diserahkan kepada Sultan untuk memenuhi kehendak Sultan. Akhirnya, isteri Hang Nadim membunuh diri sendiri setelah ianya ditolak oleh Hang Nadim.

Berlaku pengkhianatan oleh pemimpin Melayu sendiri. Dato’ Temenggong telah menjadi tali barut portugis apabila membocorkan rahsia kepada Portugis bahawa orang melayu ingin menyerang mereka. Ini dapat dilihat sewaktu orang-orang melayu mula mengepung Portugis di Melaka. Ketika orang-orang melayu mula masuk ke dalam kota Melaka yang berpagar, orang-orang Portugis sejak sekian lama menunggu saat itu datang menyerang dari belakang. Akhirnya, orang-orang melayu terkepung di dalam Kota Melaka dan ditembak beramai-ramai setelah pintu kota tersebut ditutup. Dato’ Temenggong dibunuh oleh Hang Nadim ketika tentera Melayu berperang dengan askar Portugis.

Kota Kara yang menjadi benteng pertahanan terakhir Kerajaan Bentan akhirnya berjaya dihancurkan oleh Portugis ketika diserang pada waktu malam. Akhirnya, Portugis berjaya mengepung istana Kerajaan Bentan. Ketika kepungan ini berlaku, Bentara Arami datang dan menyerang semua askar-askar Portugis yang sedang mengepung istana Bentan.

Kadang-kadang terdapat juga unsur tidak logik dalam novel ini. Contohnya ialah seorang panglima melayu boleh melawan ribuan tentera Portugis dalam satu-satu masa. Selain itu, Panglima Aryamada yang mempunyai susuk tubuh yang besar menjerit sehinggakan tentera Portugis yang memegang senapang terlucut senjatanya kerana tangannya menutup telinga lantaran kuatnya bunyi jeritan Panglima Aryamada. Selain itu, Hang Nadim mempunyai ilmu mantera di mana tanah akan berombak dan beralun menenggelamkan musuh-musuh di sekeliling di mana mantera ini boleh digunakan sekali sahaja setiap kali peperangan.

Wasiat Ki Jenggala Khalil ketika Hang Nadim bertemu dengan beliau ketika hanyut dalam perjalanan ingin ke Kedah bahawa beliau akan menang bertempur menentang Portugis di Bentan dan akan mati setelah menang menentang Portugis adalah benar di mana Hang Nadim dibunuh oleh orang-orang Dato’ Temenggong ketika beliau mencabut akar dilengannya yang merupakan ilmu kebal bagi dirinya.

http://wankamarul701.blogspot.com

2 comments:

Zulfahri said...

buku yang menarik.... andai saya boleh dapat baca buku tu... hmmm...
salam satu Melayu dari Kepulauan Riau (Bintan & Daik) layari juga laman blog saya... keprikita.blogspot.com

harimau_berantai said...

Cerita ni jika diteliti ada persamaan sedikit dgn cerita lord of the rings...contoh ketika panglima aryamada dan tun hamzah kalau x silap mengira mangsa(portugis) yang dibunuh...dan pasal gajah yg dibunuh oleh tun hamzah dikira satu oleh panglima aryamada...mngkn penulis mengambil sedikit babak dari lord of the rings untk menyedapkn jln cerita...maaf jika ayat berterabur...😬😬😬