Jika dalam pengurusan kewangan, kita ditekankan
supaya memberi nilai yang tinggi walaupun nilai wang sebanyak 1 sen. Prinsip
ini juga perlu ditekankan supaya kita menghargai setiap saat dalam pengurusan
waktu seharian kita. Ini adalah untuk memastikan supaya kita menggunakan setiap
detik waktu kita secara berkualiti. Bahkan Allah s.w.t. bersumpah dengan masa
sebanyak 7 kali di dalam al-Quran. Ini menunjukkan bahawa peri pentingnya waktu
dalam kehidupan kita kerana waktu yang telah berlalu tidak akan kembali lagi.
Sebagai pekerja kerajaan ataupun swasta, waktu
kerja kita secara umumnya adalah dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00
petang. Namun, terdapat perbezaan ketara antara pekerja kerajaan dan swasta di
mana pekerja kerajaan rata-ratanya akan pulang ke rumah pada tepat pada pukul
5.00 petang. Berlainan dengan pekerja swasta di mana rata-ratanya akan pulang
lewat lebih dari pukul 5.00 petang bahkan bekerja sehingga waktu malam!
Persoalannya, adakah kita betul-betul perlu pulang
lewat dari kerja? Atau adakah cukup sekadar bekerja sehingga waktu 5.00 petang
sahaja?
Menurut dalam sebuah kaji selidik, sebenarnya
seseorang pekerja itu hanya menggunakan 2 jam sahaja untuk melakukan kerja.
Selebihnya adalah digunakan untuk membuat perkara-perkara lain.
Cuba fikir kembali. Mungkin kita melakukan
perkara-perkara yang tidak berfaedah berikut semasa waktu pejabat – Bermain internet
seperti blogwalking, melayan laman
sosial, bersembang-sembang ataupun update
gossip semasa mengenai politik pejabat, menikmati sarapan dan tengah hari lebih
dari waktu rehat, membaca surat khabar, melayan katalog barang jualan langsung yang
dibawa oleh rakan-rakan, dan sebagainya. Jika anda balik lewat kerana
menangguhkan kerja anda kerana melayan perkara-perkara tidak berfaedah ini
jawabnya ialah baik anda mempertimbangkan semula waktu pulang anda ke rumah
kerana anda sebenarnya telah membazirkan waktu rehat anda di rumah bersama
dengan keluarga.
Lain pula sekiranya anda ialah seorang boss. Sebagai seorang boss, anda sudah tentu tidak dapat lari
daripada menghadiri mesyuarat yang mungkin diadakan setiap hari ataupun
terpaksa berjumpa dengan orang lain mengenai urusan kerja anda. Tidak mengapa
jika anda terpaksa pulang lewat kerana membuat urusan-urusan penting ini.
Menurut Brian Tracy yang merupakan mahaguru
pembangunan manusia menyatakan bahawa kita perlu datang awal sejam awal dan
sejam lewat dari waktu pejabat. Jika waktu masuk pejabat ialah pukul 8.00 pagi,
maka kita perlu masuk ke pejabat pukul 7.00 pagi. Begitu juga dengan waktu
pulang dari pejabat di mana jika waktu pulang adalah pada pukul 5.00 petang,
maka kita perlu pulang pada pukul 6.00 petang.
Ini adalah kerana waktu pejabat kita sebenarnya
dihabiskan untuk perkara-perkara penting yang lain seperti yang saya sebut
sebelum ini seperti mesyuarat, berjumpa dengan pihak luar dan sebagainya. Waktu
ketiadaan orang inilah sebenarnya adalah sesuai untuk kita menyiapkan
tugasan-tugasan kerja kita yang tertangguh. Apatah lagi kita boleh memberi
konsentrasi yang lebih untuk menyiapkan semua tugasan kita dari hiruk-pikuk
kakitangan lain di pejabat.
Tidak dinafikan bahawa gaji kita dibayar untuk
bekerja dari jam pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Sebagai manusia biasa,
kita sudah tentu tidak sempurna untuk menggunakan keseluruhan waktu kerja ini
hanya semata-mata untuk melakukan kerja kerana kita mungkin juga membuat
perkara-perkara lain semasa waktu kerja ini. Oleh itu, kita dianjurkan
beristighfar dan memperbanyakkan sedekah untuk menebus kesalahan-kesalahan kita
ini sewaktu bekerja.
Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan jarak
antara rumah dan juga pejabat kita. Ini adalah untuk menjaga kualiti hidup
kita. Apa gunanya dengan hanya jarak 6 km untuk pulang dari rumah ke tempat
kerja, ianya sudah memakan masa 1 jam. Kes-kes ini sudah menjadi lumrah apabila
kita tinggal di bandar-bandar masa. Jika inilah realitinya, kita mungkin
menghabiskan masa 2-3 jam untuk berada di atas kenderaan sahaja untuk berulang-alik
dari rumah ke pejabat setiap hari.
Jika sebulan, alamatnya kita sudah membazirkan
masa kita sebanyak 40 jam sahaja untuk berada di atas kenderaan. Bayangkan kita
sudah membazirkan waktu kita sebanyak 2 hari setiap bulan untuk berulang-alik
ke tempat kerja sahaja. Oleh itu, pertimbangkan jarak antara rumah dan pejabat
supaya jarak antara kedua-dua ini dapat dipendekkan dan seterusnya untuk
menjimatkan penggunaan waktu kita setiap hari. Ini adalah untuk memelihara
kualiti hidup kita.
Apa yang penting di sini ialah kita sebenarnya
hendaklah mementingkan kualiti untuk melakukan kerja kita di pejabat dari pukul
8.00 pagi hingga 5.00 petang dan bukannya mementingkan kuantiti dengan hanya
balik lewat disebabkan kerja-kerja kita tertangguh kerana melakukan
perkara-perkara tidak berfaedah di pejabat. Jika kita mementingkan kualiti
pengurusan waktu kita, kita sebenarnya boleh membuat perkara-perkara lain
selain daripada kerja di pejabat yang boleh menjana wang tambahan kepada kita.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment