Ahli kitab sebenarnya
menimbulkan polemik dan ingin tahu di kalangan kita sebagai orang Muslim pada
hari ini kerana kita sebagai orang Islam (lelaki) boleh berkahwin dengan orang
wanita dari kalangan mereka dan orang-orang Islam boleh memakan haiwan sembelihan
mereka. Dalam al-Quran ada menyebut perkara ini iaitu;
“Pada hari ini
dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi
Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan
dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita
yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang
yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka
dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula)
menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak
menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat
termasuk orang-orang merugi.” Surah al-Maidah, 5.
Antara sebab Allah s.w.t.
membenarkan orang Islam (Lelaki) boleh berkahwin dengan orang Kritian (Wanita)
ialah kerana perbezaan agama Islam dan Kristian adalah tidak terlalu ketara dan
mereka pun mengetahui mengenai Nabi Isa, Nabi Ibrahim, dan sebagainya. Begitu
juga sewaktu pemerintahan Saidina Umar al-Khatab yang memecat Huzaifah daripada
memegang jawatan dalam kerajaan kerana Huzaifah mempunyai isteri yang beragama
Kristian kerana dibimbangi akan membocorkan rahsia-rahsia kerajaan. Begitu juga
antara hikmah dibolehkan orang lelaki Islam berkahwin dengan wanita beragama
Kristian membolehkan Islam masuk ke Eropah.
Jika melihat di negara-negara
Arab, terdapat lelaki Muslim berkahwin dengan wanita Kristian pada hari ini
kerana wanita Kristian ini merupakan Ahli Kitab. Walau bagaimanapun, orang
lelaki Islam dilarang berkahwin dengan wanita Kristian atau Yahudi yang
memerangi agama Islam.
Sebenarnya, Ahli Kitab ialah
merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani walaupun mereka telah menyeleweng
daripada kitab-kitab yang diturunkan sebelum al-Quran. Mungkin kita berkata
mana ada Ahli Kitab zaman sekarang kerana ia telah menyeleweng daripada
kitab-kitab asal. Jika dikatakan menyeleweng, zaman Nabi Muhammad s.a.w. pun
mereka sebenarnya telah menyeleweng seperti dengan konsep triniti dan
sebagainya tetapi mereka iaitu orang-orang Yahudi dan Kristian tetap merupakan
Ahli Kitab.
Menurut mazhab Imam Shafie ahli
Kitab ialah orang-orang daripada Bani Israel iaitu salah seorang ibu atau
bapanya merupakan keturunan orang Bani Israel. Contohnya, orang-orang Islam di
Filipina yang telah dijajah oleh Sepanyol yang menukar agama mereka kepada
Kristian tidak tergolong sebagai Ahli Kitab.
Walau bagaimanapun, majoriti
ulama berpendapat ahli Kitab ialah orang yang menukar agama mereka kepada
Yahudi ataupun Kristian tanpa mengira bangsa mereka. Ini dapat dilihat surat
yang diutuskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada Maharaja Rom Timur, Heraclius
untuk mengajak maharaja ini memeluk Islam dan surat ini merujuk kepada maharaja
ini dengan nama ‘Ahli Kitab’ oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya, maharaja
ini adalah berbangsa Rom dan menukar agama pagan (Sembah berhala) kepada
Kristian serta bukan daripada keturunan bani Israel dan nabi merujuknya sebagai
Ahli Kitab.
Perbahasan mengenai ahli Kitab
ini penting kerana perlu dilihat dari sudut sejagat ataupun worldwide kerana
kita perlu melihat kedudukan orang-orang Islam yang menjadi minoriti tinggal di
negara-negara bukan Islam. Ini adalah kerana orang-orang Islam dibenarkan untuk
memakan haiwan sembelihan golongan ahli Kitab ataupun lebih tepatnya sembelihan
orang-orang Yahudi ataupun Kristian.
Akan tetapi, menurut Prof. Dr.
Rozaime, kita perlu berhati-hati dengan sembilan orang-orang Kristian di Eropah
sekarang mereka menggunakan stunning atau renjatan elektrik untuk mematikan
haiwant ternakan. Berbanding dengan orang-orang Yahudi, mereka sangat berpegang
teguh dengan agama mereka dan masih menyembelih haiwan-haiwan ternakan.
Contohnya, kosher food yang boleh dimakan oleh orang Islam.
Realiti Kehidupan Perkahwinan Orang Islam dengan Wanita
Ahli Kitab.
Saya tertarik dengan cerita
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya yang bertajuk ‘Di Hamparan Shamrock Ku
Seru Namamu’ yang menceritakan pengalaman beliau sewaktu tinggal di Belfast
yang terletak di Ireland Utara, United Kingdom. Beliau menceritakan dalam buku
beliau bahawa memang terdapat lelaki Muslim yang berkahwin dengan wanita
Kristian atau Ahli Kitab sewaktu tinggal di sana.
Beliau juga menceritakan
bagaimana beliau sendiri mendirikan solat jenazah untuk kanak-kanak 5 tahun
bernama Mary di mana bapanya merupakan seorang Muslim Algeria yang bernama
Mustafa dan ibunya pula ialah wanita Irish yang beragama Kristian Katolik yang
bernama Jenny. Apa yang lebih menarik lagi ialah Ustaz Hasrizal mengimamkan
solat jenazah untuk mayat kanak-kanak itu adalam di dalam gereja! Ustaz
Hasrizal menyifatkan kematian Mary ini ada hikmah yang tersendiri pada usia
muda di mana ibunya Mary adalah bersungguh dengan Islam manakala bapanya pula yang
Muslim itu entah di mana Islamnya.
Menurut Ustaz Hasrizal lagi,
berdasarkan statistik yang disimpan di masjid, kebanyakan perkahwinan lelaki
Muslim dengan wanita Kristian adalah tidak berjaya. Di mana ia berakhir dengan
perceraian ataupun konflik atau anak-anak mereka ditimpa krisis identiti yang
teruk di Belfast.
Beliau juga menceritakan bahawa
terdapat adik beradik iaitu Hisham dan adiknya Abdul Rahim di mana ayahnya
merupakan seorang Muslim dari Mesir yang merupakan pensyarah mengajar Bahasa
Inggeris di Arab Saudi manakala ibu mereka pula ialah wanita Irish Kristian
bermazhab Katolik. Ibu mereka merupakan bekas rahib di gereja dan kemudian
berkahwin dengan ayah mereka yang seorang Muslim. Apa yang lebih menarik ibu
mereka mendidik mereka berdua dengan baik untuk menjadi Muslim yang baik walaupun
ayah mereka tinggal di Arab Saudi dan pulang ke Ireland hanya beberapa kali
dalam setahun. Apa lebih menarik Ustaz Hasrizal mengungkapkan di akhir cerita
ini yang berbunyi, “Hampir terlupa saya bahawa dia beragama Kristian. Mudah-mudahan
terbuka hatinya suatu hari nanti untuk menerima Islam.”
Kesimpulannya ialah memang
terdapat perkahwinan antara lelaki Muslim dengan wanita Kristian pada hari ini
walaupun perkara ini tidak berlaku di Malaysia tetapi ianya dibolehkan. Dan
perkara ini bukan berlaku zaman dahulu sahaja iaitu zaman para nabi-nabi dengan
merujuk ahli-ahli Kitab adalah berpegang kepada kitab-kitab yang belum
dipesongkan. Tetapi Ahli Kitab adalah merujuk kepada wanita beragama Yahudi ataupun
Kristian pada hari ini dan sembelihan mereka boleh dimakan. Perkara ini perlu
kita ketahui kerana ada hukum syarak apabila kita ingin berhubungan dengan
mereka.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com
Sumber
1. https://www.youtube.com/watch?v=mHKn_c4tuSI
2. https://www.youtube.com/watch?v=a0hnPb73dPM
3. https://www.youtube.com/watch?v=D-opytR9zt4
4. https://www.youtube.com/watch?v=TwBya5dNBdA
5. Hasrizal Abdul Jami, Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu,
2012.

No comments:
Post a Comment