Pada zaman pemerintahan Abdul Aziz (1861–1876), pemodenan
tentera laut menjadi agenda strategik utama Daulah Uthmaniyah. Salah satu
dorongan terpenting ialah keinginan untuk menandingi pengaruh Rusia di Laut
Hitam. Sejak Perang Crimea (1853–1856), Rusia dilihat sebagai ancaman langsung
terhadap wilayah Uthmaniyah, khususnya di Balkan dan Caucasus.
Walaupun perjanjian damai selepas perang tersebut mengehadkan kekuatan tentera laut Rusia buat sementara waktu, Istanbul menyedari bahawa sekatan itu tidak akan kekal. Justeru itu, pembinaan dan pembelian kapal ironclad dianggap sebagai langkah pencegahan strategik bagi memastikan keseimbangan kuasa di perairan Laut Hitam tidak memihak sepenuhnya kepada Rusia.
Selain ancaman di utara, Daulah Uthmaniyah juga berusaha mengukuhkan kawalan di Mediterranean Timur. Kawasan ini amat penting kerana ia menjadi laluan perdagangan utama serta penghubung kepada wilayah Arab dan Afrika Utara. Selepas pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869, kepentingan geopolitik Mediterranean Timur meningkat dengan mendadak kerana ia menjadi laluan penting ke India dan Asia. Dalam konteks ini, armada laut yang moden bukan sahaja berfungsi sebagai alat pertahanan, tetapi juga sebagai instrumen pengawasan dan pengaruh politik. Kehadiran kapal berperisai di perairan tersebut memberi mesej bahawa Uthmaniyah masih berupaya mempertahankan kepentingannya daripada campur tangan kuasa Barat.
Di samping pertimbangan keselamatan, pembinaan armada ironclad juga mempunyai dimensi simbolik. Daulah Uthmaniyah ketika itu berdepan persepsi sebagai “Orang Sakit Eropah,” satu gelaran yang mencerminkan tanggapan bahawa empayar tersebut semakin lemah. Dengan memiliki salah satu armada terbesar dari segi jumlah kapal berperisai, pemerintah Uthmaniyah berusaha mempamerkan imej sebagai kuasa moden yang mampu berdiri setara dengan Britain dan Perancis. Kapal-kapal perang bukan sekadar aset ketenteraan, tetapi lambang kemajuan teknologi dan prestij antarabangsa.
Namun demikian, cita-cita untuk menunjukkan kekuatan kepada Eropah memerlukan kos yang amat tinggi. Sebahagian besar kapal ironclad ditempah dari limbungan asing dengan pembiayaan melalui pinjaman luar negara. Walaupun langkah ini berjaya meningkatkan kedudukan Uthmaniyah secara simbolik dalam jangka pendek, ia turut mewujudkan tekanan kewangan yang berat dalam jangka panjang. Dengan itu, usaha menandingi Rusia, mengawal Mediterranean Timur, dan mempamerkan kuasa kepada Eropah memperlihatkan gabungan antara keperluan keselamatan dan aspirasi prestij, tetapi juga menjadi asas kepada beban ekonomi yang akhirnya melemahkan kekuatan maritim kerajaan ini.
Walaupun bilangan kapal perang Uthmaniyah pada pertengahan dekad 1870-an kelihatan mengagumkan, kekuatan tersebut sebenarnya bersifat rapuh. Di bawah pemerintahan Sultan Abdul Aziz, empayar memiliki sekitar 21 hingga 25 buah kapal ironclad moden dan keseluruhan armada dianggarkan antara 60 hingga 80 buah kapal pelbagai jenis, sekali gus meletakkannya sebagai kuasa laut ketiga terbesar dunia sekitar tahun 1875. Namun begitu, sebahagian kapal tersebut belum siap sepenuhnya atau tidak berada dalam keadaan operasi yang optimum. Angkatan laut juga bergantung kepada kepakaran dan kru asing, manakala kos penyelenggaraan kapal berperisai yang tinggi membebankan kewangan negara. Antara kapal-kapal laut penting bagi Uthmaniyah itu sendiri ialah Mesudiye, Osmaniye, dan Mahmudiye.
Apabila krisis kewangan melanda pada tahun 1875 dan hutang luar negara meningkat, kemampuan untuk menyelenggara serta menggerakkan armada semakin merosot. Justeru, meskipun angka rasmi menunjukkan kekuatan yang besar, realitinya angkatan laut Uthmaniyah tidak memiliki asas kewangan dan logistik yang kukuh untuk mengekalkan keunggulan tersebut dalam jangka panjang. Dalam masa yang sama, perbelanjaan ketenteraan yang besar, khususnya untuk pembinaan dan pembelian kapal perang moden, telah menguras perbendaharaan negara. Akibat kekurangan dana, penyelenggaraan kapal-kapal perang diabaikan dan latihan pelaut semakin berkurangan. Banyak kapal akhirnya hanya berlabuh di pelabuhan tanpa operasi aktif, dibiarkan usang dan rosak sedikit demi sedikit. Krisis ini menjadi titik perubahan penting yang mempercepatkan kemerosotan kekuatan Angkatan Laut Uthmaniyah menjelang akhir abad ke-19.
Selepas kejatuhan Sultan Abdul Aziz pada tahun 1876 sebelum itu, tampuk pemerintahan diambil alih oleh Sultan Abdul Hamid II. Dalam suasana politik yang tidak stabil, baginda berdepan ancaman dalaman dan kebimbangan terhadap kemungkinan rampasan kuasa. Atas sebab itu, beliau kurang mempercayai pegawai-pegawai tentera laut yang sebelum ini mempunyai pengaruh besar. Tumpuan pentadbiran kemudian lebih diberikan kepada pengukuhan tentera darat bagi mempertahankan wilayah-wilayah Uthmaniyah yang semakin terancam. Sementara itu, banyak kapal perang lama dibiarkan berlabuh dan tidak diselenggara dengan baik di kawasan Golden Horn di Istanbul. Selama lebih dua dekad, armada laut Uthmaniyah hampir tidak berfungsi secara aktif sebagai kuasa maritim yang berkesan. Keadaan ini menjadi titik perubahan penting yang mempercepatkan kemerosotan kekuatan tentera laut kerajaan ini menjelang abad ke-20.
Jelas daripada perbincangan ini bahawa kemerosotan angkatan maritim Uthmaniyah ialah disebabkan 2 faktor utama antara tahun 1861 – 1914 iaitu kekangan kewangan kerajaan itu sendiri yang bergantung kepada hutang luar negara bagi membangunkan angkatan lautnya dan seterusnya ialah dasar Sultan Abdul Hameed II itu sendiri yang menyekat pembangunan angkatan laut kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa. Faktor-faktor ini terus melemahkan kerajaan ini untuk terlibat dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com


No comments:
Post a Comment