“RM8 pun nak claim
jugak ke?” ujar seorang kakitangan di pejabat saya apabila saya membuat
tuntutan perubatan sebanyak RM8 di pejabat. Saya menjawab, “RM8 pun boleh buat
makan tengah hari.” Lantas saya dikatakan kedekut oleh kakitangan tersebut.
Pernah juga saya mendengar kuliah maghrib di mana
penceramah memberikan ceramah berkisar mengenai zakat fitrah. Penceramah mengatakan
bahawa tidak mengapa jika kita meminta resit untuk zakat fitrah yang bernilai
RM7.00 untuk mendapat perlepasan cukai tetapi ini dah kira sangat kedekut.
Inilah sebenarnya hakikat dalam pengurusan
kewangan di mana kita perlu memberikan nilai yang tinggi terhadap wang walaupun
sebanyak 1 sen. Saya telah banyak kali memberi penekanan bahawa kita perlu
memberi nilai yang tinggi walaupun 1 sen dalam pengurusan kewangan kita kerana
inilah sifat orang kaya yang dikatakan kedekut. Padahal mereka sebenarnya
bukanlah kedekut tetapi mereka sebenarnya pandai menguruskan kewangan mereka.
Tun Daim Zainuddin yang merupakan merupakan
seorang jutawan hartanah melalui Syarikat Malurinya sebelum dilantik menjadi
Menteri Kewangan kali pertama pada tahun 1984. Beliau memberikan nilai wang
yang tinggi terhadap wang walaupun 5 sen sebelum bergelar jutawan. Sifat ini
dipengaruhi oleh idola beliau iaitu John Paul Getty yang merupakan jutawan
minyak yang memberikan nilai yang tinggi terhadap setiap sen wangnya. Inilah
yang diceritakan oleh Fatini Yaacob dalam bukunya Daim yang Diam.
Baiklah, daripada contoh ini dapat kita lihat
antara pertentangan nilai Islam yakni bersedekah dan memberi nilai yang tinggi
terhadap 1 sen dalam pengurusan kewangan.
Dalam pengurusan kedai runcit terdapat kelemahan
bagi kedai-kedai runcit melayu. Contohnya ialah apabila ahli-ahli keluarga
mengambil barangan kedai di mana barangan kedai ini tidak direkodkan
sebagai barang keluar apatah lagi ahli keluarga tersebut tidak membayar bagi
barangan yang diambil. Ini sudah tentu menyebabkan kerugian jangka panjang bagi
sesebuah perniagaan kedai runcit.
Dalam perniagaan kedai runcit juga pembekal akan
membekal barangan yang lebih (barang percuma) bagi setiap barangan yang
dipesan. Akan tetapi, barangan percuma ini (juga dikenali sebagai FOC – Free of
Charge) akan diambil oleh kakitangan kedai kerana ia tidak dikira sebagai
modal. Barang-barang kedai ataupun stok yang berada sesuatu kedai biasanya
tidak akan kekal lama kerana mudah rosak. Contohnya ialah beras di mana
barang-barang ini mudah rosak kerana dimakan tikus. Semasa inilah pentingnya
barang FOC tadi sebagai pengimbang modal supaya sesebuah kedai runcit itu tidak
mengalami kerugian apabila sesuatu barang itu mengalami kerosakan.
Daripada kes perniagaan kedai runcit ini, adakah
ia dikira sebagai ‘sedekah’ apabila kita sebagai tuan kedai contohnya memberi secara
sewenang-wenangnya stok barangan kedai kepada ahli keluarga ataupun kakitangan
kedai kita? Apakah kesan ‘sedekah’ ini bagi tempoh jangka panjang bagi
perniagaan kita? Sudah tentu ‘sedekah’ dengan cara ini akan melingkupkan
perniagaan kita.
Bersedekah
dan Kedekut Itu Biar Kena Pada Tempatnya
Sebenarnya, apabila kita hendak bersedekah, kita
hendaklah bersedekah pada tempatnya. Kita perlu memperuntukkan berapakah jumlah
wang yang hendak dikeluarkan pada setiap bulan untuk bersedekah. Jika kita
langsung tidak bersedekah, sudah tentu ini dinamakan kedekut.
Contohnya ialah berapakah jumlah sedekah yang kita
peruntukkan pada setiap bulan daripada gaji bulanan kita? Adakah RM100, RM200,
atau RM300 sebulan? Jika kita sudah memperuntukkan RM100 sebulan, kita
sedekahkan sahaja RM100 sebulan. Kita tidak akan lebih dan tidak akan kurang
bersedekah daripada jumlah ini.
Begitu juga dengan zakat. Kita perlu mengeluarkan
zakat mengikut haul dan nisab yang telah ditentukan. Contohnya ialah zakat
pendapatan di mana jumlah zakat yang dikenakan zakat ialah 2.5% daripada jumlah
pendapatan yang kita terima. Katakan gaji kita sebanyak RM2000 sebulan, maka
2.5% daripada gaji kita adalah sebanyak RM50. Maka RM50 ini akan kita keluarkan
pada setiap bulan untuk membayar zakat. RM50 – tidak lebih dan tidak kurang
daripada jumlah ini.
Bagaimana dengan penggunaan telefon bimbit? Katakan ada
orang berpendapatan RM5,000 sebulan tetapi dia hanya menggunakan telefon berharga
RM70. Mesti ramai mengatakan ianya kedekut walhal dia mampu menggunakan telefon
berharga RM2,000 kerana dia menghargai setiap sen wangnya. Pendek kata,
takrifan kedekut itu tidak kena pada tempatnya untuk dilabelkan kepada diri
seseorang.
Dengan kata lain, kita perlu menghargai setiap sen
wang kita dan perlu bersedekah sebagai amalan kita. Jika kita perhalusi dengan
apa yang kita katakan ini, bersedekah dan memberi nilai yang tinggi terhadap 1
sen sebenarnya tidak dapat pertentangan antara satu sama lain. Cuma kita yang
tidak pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apa yang penting ialah kita
perlu seimbangkan wang kita untuk melakukan sesuatu kerana dalam prinsip
pengurusan kewangan, setiap orang perlu menghargai setiap sen wangnya.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment