Friday, January 10, 2020

Mampukah Keegoan Amerika Syarikat Dapat Ditundukkan oleh Iran?

Kalau namanya Amerika Syarikat, sudah tentu hidupnya adalah untuk mengganggu negara-negara lain khususnya negara umat Islam di Timur Tengah. Sejak dari tahun 2001, satu persatu negara umat Islam jatuh ke tangan Amerika Syarikat. Bermula dengan Afghanistan, Iraq, dan sasaran terbaru Amerika Syarikat sekarang ialah Iran. Sebuah negara umat Islam yang berfahaman syiah dan bukannya sunnah wa jamaah seperti negara kita Malaysia.

Pada 3 Januari 2020 yang lepas, dron milik Amerika Syarikat telah membunuh Ketua Jeneral Iran, Qasem Soleimani berhampiran dengan Lapangan Terbang Baghdad. Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Iran iaitu Ayatollah Ali Khamenei dan Presidennya Hassan Rouhani telah bersumpah untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat di atas kematian Qasem Soleimani. Hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$80 juta atau RM327 juta ditawarkan kepada pihak yang berjaya mendapatkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump susulan kematian Ketua Jeneral mereka. Dalam perkembangan lain Donald Trump memberi amaran untuk menyerang 52 lokasi kepentingan Iran jika negara ini bertindak balas bagi menuntut bela di atas kematian Qasem Soleimani. 

Pada 8 Januari 2020, Iran telah bertindak balas dengan melancarkan 22 roket ke atas penempatan tentera Amerika Syarikat di Iraq iaitu di pangkalan udara al-Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara. Menurut Pentagon, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat serangan Iran ini. Jake Tapper dalam ulasan Twitternya antara lain menulis, “Pentagon official tells me that many US military leaders think Iran deliberately chose targets that would not result in loss of life especially US life: “Deliberate targets, minimum damage, maximum warning/effect.”

Manakala Tehran pula mendakwa pihak mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 80 tentera Amerika Syarikat melalui serangan balas ini. Mehr News melaporkan perkara ini yang antara lain pula menulis, “An informed source at the Islamic Revolution Guards Corps said over 80 American troops were killed and some wounded in the IRGC’s missile strikes on the US airbase of Ain al-Assad in Anbar province in western Iraq.”

Siapakah yang betul dan siapakah yang tidak betul dalam melaporkan berita tindakbalas serangan Iran ini. Adakah pihak Pentagon ingin menjaga keegoan negara mereka dengan mendakwa tiada kematian yang berlaku. Adakah pihak Tehran yang benar kerana berjaya membalas dendam mereka ke atas Amerika Syarikat? 

Jika kita melihat kekuatan tentera Iran, kekuatan ketenteraan Iran dilihat amat bergantung kepada kekuatan peluru berpandu balistiknya kerana ketenteraannya adalah kurang. Antara peluru berpandu balistik yang dimiliki oleh Iran ialah Shahab 1 (boleh dilancarkan sejauh 300km), Shahab 2 (500km), Qiam-1 (750km), Fateh-110 (300-500km), Zolfaghar (700km), dan Shahab 3 (2,000km). Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Iran mempunyai kekuatan peluru berpandu (missile) yang paling besar di Timur Tengah. Manakala Iran mempunyai askar seramai 350,000 orang dan sekurang-kurangnya 150,000 orang berkhidmat dalam Islamic Revolutionary Guards Corp (IRGC).

Dalam serangan terbaru ke atas pangkalan tentera udara Amerika Syarikat, media Iran melaporkan peluru berpandu yang digunakan ialah Fateh dan Qiam. Qiam-1 yang boleh dilancarkan sejauh 750km boleh membawa muatan letupan sebanyak 750kg dan muatan letupan yang boleh dibawa oleh peluru berpandu Fateh pula lebih rendah daripada Qiam. Peluru berpandu Shahab 3 pula boleh membawa muatan letupan lebih daripada 750kg. 

Di Timur Tengah, Amerika Syarikat telah menempatkan tenteranya sebelum ini bagi menjaga kepentingannya di rantau ini. Di Afghanistan terdapat 12,000 orang tentera, Turki, (1,700 orang), Syria (500 – 1,000 orang), Jordan (3,000 orang), Iraq (5,000 orang), Kuwait (13,000 orang), Arab Saudi (3,000 orang), Qatar (10,000 orang), Bahrain (7,000 orang), dan UAE (5,000 orang) yang menjadikannya keseluruhan tentera Amerika Syarikha di Timur Tengah lebih daripada 60,000 orang.

Kita sudah tentu seboleh-bolehnya ingin mengelakkan peperangan berlaku di mana-mana negara di dunia ini apatah lagi sekiranya ianya ingin berlaku di negara kita. Akan tetapi, kita jangan lupa kepada firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang berbunyi, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui.” al-Baqarah, 216.

Sejak dari tahun 2001, Afghanistan dan Iraq telah jatuh ke tangan Amerika Syarikat dengan menggunakan alasan yang direka-rekanya sendiri. Adakah Iran akan jatuh ke tangan Amerika Syarikat pula selepas ini?

Wallhua’lam.

Saturday, January 4, 2020

Apabila Negara Jordan Dibaculkan oleh Israel

“Ya hukkam al-‘Arab, iftahoo al-Sujoon!” Syeikh Hammam Said dengan suaranya yang padu menyampaikan khutbah Jumaat.

“Wahai pemerintah-pemerintah Arab, bukakan pintu penjara!” Itulah seruannya dalam khutbah tengah hari itu. Syeikh Hammam membantah tindakan Raja Hussein memenjarakan ramai aktivis Jabhah al-‘Amal al-Islami di Jordan.

Saya yang mendengar khutbah itu terasa seperti mahu terloncat bangun. Memang ramai ahli jemaah di masjid yang berdiri. Kepanasan dan mendidih akibat menerima tiupan semangat khutbah Syeikh Hammam Said, seorang pakar ‘illah dalam ilmu Hadis, pensyarah University of Jordan, pemimpin Jabhah al-‘Amal al-Islami, ahli parlimen dan imam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, masjid yang diasaskan oleh al-Syahid Abdullah ‘Azzam lebih sedekad yang lalu. 

1994...

Begitulah suasana khutbah Jumaat di Sweileh. Bukan sahaja di Sweileh malah di kebanyakan masjid di Jordan.

Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum, maka telah menjadi kebiasaan pada masa itu orang bermusafir ke sana sini dari Utara ke Selatan, mencari lokasi khutbah yang sedap-sedap. Khutbah juga begitu optimum kerana tiada had masa. Hanya maqlubah sahaja yang menggamit di rumah. Selain dari itu, kebanyakan orang selesa meluangkan masa hingga satu jam mendengar khutbah mingguan yang sangat membangunkan jiwa.

Oleh kerana hampir setiap minggu saya akan keluar dari Mu’tah pergi ke Amman atau ke Irbid, maka khutbah Jumaat yang panas dan menyuntik semangat, adalah amat dinanti-nantikan.

Di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, dua orang khatib yang paling saya nantikan ialah Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi dan Syeikh Hammam Said. Syeikh Solah sering mengingatkan saya kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana bahasanya yang tenang tetapi tajam. Manakala Syeikh Hammam Said pula adalah seorang pemidato cili padi yang khutbahnya boleh menyebabkan saya dan kebanyakan orang di masjid bulat biji mata, malah pernah hingga berdiri kerana terangsang akibat letusan emosi di dalam dada dan minda.

MEMUNCAK

Namun dalam sederetan memori saya terhadap khutbah Jumaat, kuliah Subuh, dan kelas-kelas pengajian bersama ilmuwan ini, kemuncaknya adalah pada Oktober 1994.

Ketika itu Jordan sedang panas dengan kedatangan Bill Clinton untuk mempengerusikan ‘Perjanjian Damai’ di antara Jordan dan Regim Yahudi Israel pada 26 Oktober 1994. Perjanjian damai itu diadakan di Wadi Arabah berhampiran sempada Eilat (Israel) dan Aqabah (Jordan) dan saya menyaksikannya dengan penuh kehancuran jiwa melalui siaran langsung di kaca televisyen.

Ia bukan perjanjian damai tetapi lebih kepada penyerahan diri kerana kesan Perjanjian Damai itu, Jordan, telah mengalami perubahan yang tidak dapat dipadamkan lagi.

Ia berlangsung pada hari Rabu.

Petang itu juga saya bertolak ke Amman, seperti biasa. Tetapi kali ini dengan harapan untuk mendengar ulasan terkini ulama dan pejuang Islam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, tentang peristiwa besar itu.

Pelbagai desas-desus yang telah kami dengar. Dijangkakan pada hari Jumaat nanti akan berlaku kekecohan di sekitar Sweileh iaitu antara kawasan yang dianggap kubu kuat golongan penyokong Ikhwan dan perjuangan mujahidin di Palestin. Pelbagai peristiwa hitam pernah berlaku di Sweileh, di sepanjang dekad pemerintahan Raja Hussein bin Talal.

JUMAAT, 28 OKTOBER 1994

Semenjak pagi Jumaat itu, saya dan rakan-rakan melihat kawasan sekitar rumah kami sudah dipenuhi dengan trak tentera dan kereta perisai. Terasa sedikit gerun, tetapi tiada tempat untuk kami pergi kerana memang di situ kediaman ramai pelajar Malaysia zaman-berzaman. Rumah kami juga hanya kira-kira 100 meter dari Masjid Abdul Rahman bin Auf, dan ia sentiasa dianggap sebagai masjid terpenting tempat berkumpulnya semua pemimpin Ikhwan yang kebetulan juga merupakan barisan ulama dan ahli akademik utama di negara Jordan.

Maka jika Perjanjian Damai Wadi Arabah Rabu lalu dianggap sebagai suatu pengkhianatan di kaca mata Islamis, maka di Masjid Abdul Rahman bin Auf itulah tempat bantahan dijangka keluar. 

Dengan lafaz Bismillah, saya dan rakan-rakan menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Mata kami menjeling kereta perisai dan trak tentera di tepi-tepi jalan. Teringat pula kepada pelbagai peristiwa di tanah air sendiri. Tidak lupa juga kepada Masjidil Aqsa yang kurang 100 kilometer dari kami.

Semasa masuk ke dalam masjid, saya dan rakan-rakan sudah dapat melihat kelibat tokoh-tokoh penting seperti Dr. Hammam Said dan Syeikh Solah sendiri, Dr. Abdul Qadir Abu Faris, malah Dr. Ishaq Farhan juga ada sama.

Khutbah bermula...

Dr. Hammam Said mencela Perjanjian Damai tersebut kerana ia adalah pengkhianatan Jordan kepada saudara seagama mereka yang menderita di seberang sempadan. Syeikh Hammam juga mengutuk perbuatan Qari yang membacakan ayat al-Quran dari surah al-Mumtahanah untuk menjustifikasikan.

Sepanjang khutbah berlangsung, saya mendengar bunyi helikopter di atas masjid. Masjid juga jauh lebih sesak daripada biasa.

HIBA

Syeikh Hammam Said menyampaikan khutbahnya dengan penuh mantap. Khutbah panas, mengkritik satu demi satu isi kandungan perjanjian dari sudut pertimbangan Islam, dan tanpa sedar hampir 40 minit masa berlalu.

Lalu Syeikh Hammam menundingkan jarinya ke langit dari atas mimbar, meminta kepada Allah agar membersihkan bumi Israk dan Mikraj ini daripada tercemar oleh pendirian-pendirian pemerintah Arab yang berlutut di kaki Amerika. Masjid ‘pecah’ dengan tangisan!

Semasa mengimamkan solat Jumaat, Syeikh Hammam mengisi rakaat yang pertama dengan bacaan surah al-Buruj. Setiap patah yang dibaca, bagai ungkapan daripada Allah tentang nasib perjuangan Islam di bumi Syam ini.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa dan memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” al-Buruj, 10.

Ketika sampai di ayat ini, Syeikh Hammam mengulangnya berkali-kali. Beliau menangis. Dan kami semua menangis. Seluruh masjid berolat dalam keadaan yang sebak kerana masing-masing tahu bahawa selepas Perjanjian Damai ini, sebarang suara yang mempertikai Regim Israel akan dianggap jenayah dan bakal dikenakan tindakan.

Segala-galanya akan berubah di bumi Israk ini... buat selama-lamanya. 

Lemah lutut saya semasa mendengar ayat-ayat cinta daripada Allah s.w.t. yang dibacakan oleh Syeikh Hammam:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.” al-Buruj, 11.

ELAK PROVOKASI

Selesai solat Jumaat, Syeikh Hammam telah segera bangun dan memberi peringatan kepada jemaah supaya keluar dari masjid dengan tenang.

“Jangan layan sebarang provokasi yang mengajak kepada perbalahan!” katanya.

Kami keluar perlahan demi perlahan.

Subhanallah... alangkah terkejutnya saya melihat suasana di luar masjid. Hampir setiap penjuru Masjid Abdul Rahman bin Auf dikelilingi oleh anggota tentera yang lengkap bersenjata. Saya melihat di atas majid terdapat dua buah helikopter hitam mengawal suasana.

Seluruh barisan ulama yang hadir berada di hadapan masjid, terus meminta orang ramai keluar dengan tenang dan kami bergerak perlahan di celah banjiran orang ramai yang lebih jauh dari biasa.

Terdengar juga sedikit pertengkaran di tepi-tepi pagar masjid, tetapi tiada sebarang insiden buruk berlaku.

Alhamdulillah, khutbah dan solat Jumaat berakhir dengan tenang. Kami tiba di rumah sambil mengurut dada tanda lega.

MASJID ABU HURAIRAH BERMANDI DARAH

Tetapi, tidak lama selepas itu sampai berita bahawa pertempuran tidak berlaku di Sweileh, sebaliknya di tempat lain. Masjid Abu Hurairah di kawasan Nazal bermandi darah!

Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat, iaitu seorang lagi ahli parlimen Jabhah al-‘Amal al-Islami telah cedera teruk dipukul. Ketika beliau mahu menaiki mimbar menyampaikan khutbah, pihak polis telah menyekatnya dan mengarahkan seorang khatib dari Pejabat Ugama (Wizarah al-Auqaf) menggantikan tempat Syeikh Abu Dzanat. 

Syeikh Abu Dzanat tidak mengizinkannya kerana masjid itu adalah masjidnya. Malah orang ramai di dalam masjid juga membantah.

“Kami mahu mendengar khutbah Syeikh Abu Dzanat, bukannya khutbah kami.” antara ayat yang dilaporkan kemudiannya di dalam akhbar al-Sabeel.

Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat naik ke mimbar dan memulakan khutbahnya. 

“Wahai anggota polis, jadilah kamu semua hamba kepada Allah . . . dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Clinton dan pemerintah Arab itu!” Begitu lantang Syeikh Abu Dzanat bersuara.

Selepas solat Jumaat dan ketika Syeikh Abu Dzanat keluar dari pintu masjid, sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu baton yang lazimnya digunakan oleh pihak polis telah memukul kepala Syeikh Abu Dzanat hingga berdarah. Syeikh Abu Dzanat rebah dan kemudiannya diangkut oleh polis ke dalam lori mereka. Beberapa orang jemaah masjid juga cedera sama.

Beliau tidak dibawa ke hospital, sebaliknya diheret ke balai polis untuk soal siasat! Apabila Syeikh Abu Dzanat pitam akibat pendarahan yang teruk, barulah beliau dibawa ke hospital untuk rawatan. Nasib seoran ahi palimen yang mempertahankan Islam dan Muslim.

Namun saya kagum dengan Syeikh Abu Dzanat kerana hanya seminggu selepas kejadian itu, beliau sudah pun berdiri di parlimen dengan kepala yang masih berbalut, untuk meneruskan tugasannya yang diamanahkan rakyat. Lantang dan bernas seperti biasa.

BERUBAH SELAMA-LAMANYA

Semenjak kejadian itu, suasana Jordan berubah. Ramai ulama ditangkap dan mereka diharamkan daripada memberikan khutbah atau ceramah di masjid-masjid. Khutbah Jumaat yang dahulunya begitu segar, sedikit demi sedikit mula terhakis. Seakan-akan tiada apa yang berlaku di seberang sempadan, khutbah Jumaat diisi dengan tajuk-tajuk semangat kejiranan, sabar, ikhlas, yang diulas jauh daripada realiti yang sedang menuju kehancuran. 

Perjanjian Damai itu juga membuka pintu Jordan kepada kemasukan unsur-unsur yang merosakkan rakyat. Televisyen Israel yang penuh seks dilepaskan penyiarannya ke Jordan. Kelakuan rakyat Jordan jelas berubah sebelum dan selepas Perjanjian Damai itu. Moral rakyatnya berubah sama sekali.

Silibus pengajian kami di Fakulti Syariah juga dirombak hingga mata pelajaran Dakwah dimansuhkan jam kredit praktikanya, beberapa subjek dibatalkan, pelajar Sastera Arab diwajibkan mempelajari Bahasa Hebrew dan paling utama . . . institusi khutbah Jumaat terus beku dan layu . . .

Perjalanan itu berlanjutan ke hari ini sehingga ke hari ini sehingga kepada kepulangan saya ke Malaysia pada akhir 2004, khutbah Jumaat adalah hukuman mingguan ke atas saya lantaran mandulnya ia dari fungsi yang telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya mimbar itu adalah mimbar Rasulullah s.a.w. Setiap khatib mewarisinya dari baginda . . . maka sampai bilakah kita harus mengkhianatinya?

Sumber: Hasrizal Abdul Jamil, Rindu Bau Pohon Tin, 2012.


Ulasan

Daripada kisah ini dapat kita fahami bahawa betapa negara Jordan ini telah dibaculkan oleh rejim Israel apabila pemimpin mereka sendiri iaitu Raja Hussein telah membuat perjanjian damai yang menyerahkan maruah umat Islam kepada Israel. Tidak kurang itu juga negara Jordan juga terpaksa menggubal semula sukatan silibus pembelajaran di universiti kerana tunduk kepada Israel. Di samping itu juga umat Islam di Jordan dihidangkan dengan siaran-siaran seks yang sudah tentu melemahkan akal fikiran umat Islam.

Sebelum perjanjian damai ini ditemeterai, kita dapati bahawa khutbah-khutbah di masjid negara Jordan ini penuh dengan suntikan-suntikan semangat jihad oleh khatib mereka. Realiti di Malaysia pula ialah para khatib membaca khutbah-khutbah yang mana hadirin yang sudah maklum dengan sesuatu perkara iaitu seperti makan sayur-sayuran, kepentingan menjaga masa, kepentingan menuntut ilmu, dan sebagainya. Sepatutnya, medah khutbah digunakan untuk menegur kesilapan para pemimpin, ahli masyarakat yang sering membuat maksiat, dan sebagainya.

Wallahua’lam. 

Monday, December 23, 2019

Apabila Parti Politik Mengharapkan Kelemahan Pihak Lawan Untuk Menguasai Pentadbiran Negara

Sebelum PRU-14, boleh dikatakan bahawa semua rakyat Malaysia berharap agar Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak. Dengan tertubuhnya kerajaan baharu di bawah pimpinan PH, ramai berharap agar kerajaan baharu ini adalah lebih baik daripada kerajaan BN yang telah dianggap sebagai kerajaan kleptokrasi. 

Namun, harapan tinggal harapan dan janji tinggal janji. Rakyat Malaysia yang mengharapkan agar kerajaan PH yang menggantikan kerajaan BN sebelum ini dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka agar lebih baik rupa-rupanya menjadi sebaliknya. Ekonomi sekarang terus merudum dan kos sara hidup terus naik dari semasa ke semasa. Orang miskin pula dihina oleh Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa orang miskin adalah malas berusaha dan mereka sebenarnya mempunyai banyak masa untuk berusaha. 

Lagak pemimpin-pemimpin PH terutamanya yang telah menjadi menteri dilihat kuat bermain wayang politik daripada membuat kerja-kerja mereka untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Kenyataan-kenyataan para menteri PH terutamanya di media sosial pula menunjukkan tahap daya intelek mereka yang masih rendah yang seolah-olah mereka ini masih pembangkang. Ditambah pula mereka membuat perkara-perkara yang sepatutnya yang dilihat sebagai isu remeh-temeh seperti membuat perasmian lif dan yang terbaru ialah merasmikan lampu isyarat baharu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin BN sebelum ini.

Bagi saya, ianya boleh dimaafkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu untuk menunaikan janji-janji mereka dalam manifesto pilihanraya. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin bukan Islam terutamanya kerap memainkan isu-isu perkauman yang kadang-kala menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu. Sentimen agama dan kaum dimain-mainkan setelah orang-orang bukan Melayu ini memegang tampuk kuasa. Sentimen yang kononnya orang-orang DAP ini bukan anti-Melayu atau anti-Islam sebenarnya hanyalah sekadar topeng untuk memancing undi orang-orang Melayu sebelum PRU. Akan tetapi, setelah mereka berkuasa, habis kepala orang-orang Melayu dipijak oleh mereka. Nah, inilah keparat orang DAP!

Hari ini rakyat Malaysia pun masih dalam ketidakketahuan yakni siapakah sebenarnya yang membuat keputusan hala tuju ekonomi negara? Adakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, ataupun bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)? 

Sebelum PRU-14 atau sebelum tahun 2018, sekiranya ada mana-mana PRK diadakan di mana-mana kawasan parlimen sama ada disebabkan kematian seseorang penyandang atau sebab-sebab lain, maka sudah tentu kemenangan ini akan berpihak kepada pembangkang ketika BN masih berkuasa ketika ini. Fikiran masyarakat ketika ini ialah BN adalah parti rasuah dan pemimpin-pemimpin mereka pun makan rasuah dan oleh itu mereka mesti ditumbangkan walaupun dalam PRK. 

Ketika ini, para pemimpin pembangkang mendapat laba yang besar hasil daripada kelemahan para pemimpin BN sendiri yang kuat makan rasuah. Trend ini berterusan sehinggalah menjelang PRU-14 apabila kerajaan BN yang didominasi oleh orang-orang Melayu tersungkur jatuh setelah mandatnya ditarik oleh rakyat melalui peti undi pada 9 Mei 2018. 

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, harapan hanyalah tinggal harapan kepada kerajaan baharu ini yang kononnya dapat memperbaiki taraf hidup rakyat. Kelemahan kepimpinan kerajaan PH pula memberi laba yang besar pula kepada parti politik BN dalam empat PRK terakhir ini di mana BN telah memenangi bagi PRK Rantau, Cameron Highlands, Semenyih, dan terbaru sekali ialah Tanjung Piai di mana BN memenangi majoriti 15,086 undi. 

Jika kita melihat trend empat PRK terakhir ini, ianya bukan disebabkan oleh kekuatan BN sendiri yang mana rata-rata pemimpinnya sendiri masih terpalit dengan perbicaraan isu-isu rasuah yang masih berlangsung di mahkamah. Hakikat yang perlu kita terima ialah kemenangan BN ini sebenarnya ialah kemarahan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menjaga kebajikan dan kesejateraan mereka ke arah yang lebih. Dan yang pasti ialah bukannya BN sebenarnya yang kuat!

Jika keadaan atau trend ini terus berlaku, apakah yang kita masih harapkan kepada pemimpin-pemimpin parti politik pada hari ini baik di pihak pembangkang ataupun pihak kerajaan? Andaikata BN boleh memenangi PRU-15 akan datang sekalipun, mungkinkah para pemimpin BN ini boleh menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat lebih baik daripada hari ini? Dan yang lebih penting lagi, adakah para pemimpin BN ini terjamin daripada amalan makan rasuah selepas PRU-15 andaikata mereka berkuasa semula setelah tersungkur dalam PRU-14 yang lalu? Jika BN memenangi semula pilihanraya akan datang dan gagal menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, adakah kita sebagai rakyat Malaysia akan menyokong Pakatan Harapan semula untuk PRU-16 pula? Sekiranya keadaan ini terus berlaku, hala tuju masyarakat ataupun negara kita tidak ke mana kerana sering dimomok dengan politik yang tidak berkesudahan.

Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Sekiranya hari ini lebih baik dari hari semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk dari semalam, maka celakah orang itu.”

Di manakah hala tuju dan kedudukan kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya?

Wallhua’lam. 

Saturday, December 14, 2019

Perbezaan Ijma’, Jumhur, dan Khilaf



Di dalam ilmu matematik, hukumnya tidak akan bertentangan antara satu sama lain dan tidak ada 2 kebenaran dalam satu-satu masa. Berbeza pula dalam sudut ilmu fekah, kerana hukumnya berbeza-beza dan boleh terdapat lebih daripada satu kebenara dalam satu-satu masa. 

Sepertimana yang kita ketahui, di dalam Islam terdapat empat mazhab utama iaitu mazhab Shafie, Hanafi, Hambali, dan Maliki. Mereka mempunyai pendapat yang berlainan dalam menetapkan sesuatu hukum fekah. Dengan sebab perbezaan pendapat ini, maka timbullah istilah ijma’, jumhur, dan khilaf.

Apakah perbezaan antara ijma’, jumhur, dan khilaf ini sebenarnya?

Baiklah jika sesuatu hukum yang dikeluarkan itu adalah ijma’ ulama’, maka keempat-empat mazhab ini bersetuju dengan sesuatu hukum tersebut. Contohnya ialah jika seseorang itu bercerai dengan talak tiga dengan isterinya, maka keempat-empat mazhab ini bersetuju bahawa perceraian ini tidak boleh dirujuk balik. 

Bagaimana pula dengan jumhur ulama’? Jumhur ulama’ bermaksud daripada keempat-empat mazhab ini, 1 mazhab sahaja tidak bersetuju dengan sesuatu hukum manakala 3 mazhab lagi bersetuju dengan hukum tersebut. 

Manakala khilaf pula, ialah 2 mazhab bersetuju dengan sesuatu hukum manakala 2 mazhab lagi tidak bersetuju dengan hukum tersebut.

Wallahua’lam. 

Wednesday, November 20, 2019

Memahami Warna CMYK dan RGB


Dalam bidang penerbitan dan percetakan, penggunaan jenis warna merupakan asas terpenting. Ada dua jenis warna yang perlu kita ketahui iaitu CMYK (Cyan, Magenta, Yellow, and Key (Hitam)) dan RGB (Red, Green, dan Blue). 

Dalam membuat setting penggunaan warna ini khususnya adalam Adobe Illustrator, kita perlu mengetahui terlebih dahulu apakah tujuan kita membuat sesuatu grafik. Adakah untuk percetakan ataupun untuk media elektronik seperti billboard, facebook, website, dan sebagainya?

Kita tidak boleh menggunakan warga RGB untuk menghasilkan grafik jika grafik ini adalah untuk dicetak kerana mesin pencetak tidak boleh mencetak banyak warna. Jika tidak, hasil cetakan kita adalah tidak sama dengan apa yang kita design dalam komputer. Oleh itu, warna yang sesuai untuk percetakan adalah CMYK. 

Untuk pengetahuan anda, kombinasi warna CMYK ini adalah lebih rendah berbanding dengan RGB kerana RGB boleh menghasilkan 16 juta warna! Oleh itu, tidak hairanlah warna RGB digunakan untuk menghasilkan media elektronik untuk tatapan umum.

Wallhua'lam.

Sunday, November 17, 2019

Menghadiri Kelas Adobe Illustrator (AI)

Pada hari Sabtu semalam (17 November 2019), saya berkesempatan untuk menghadiri kursus Adobe Illustrator (AI) yang dianjurkan oleh sifoo.com. Bukan apa, pada saya adalah satu kekurangan besar bagi seseorang penulis jika kita tidak mahir menggunakan perisian-perisian dalam menerbitkan buku. Antara perisian yang perlu kita ketahui dan mahir gunakan ialah Adobe InDesign (Id), Adobe Photoshop (Ps), dan Adobe Illustrator (AI). Berjaya jugalah saya nak menghadiri kursus bidang penerbitan pada tahun ini sekurang-kurangnya 2 kali. 

Baiklah, kursus ini dikhususkan kepada mana-mana individu yang langsung tidak pernah menggunakan perisian Adobe Illustrator ini. Trainer bagi kursus ini juga merupakan orang berpengalaman dalam industry ini. Dengan kata lain, kami diajar mengenai asas-asas cara menggunakan tool dalam perisian Adobe Illustrator ini. Syok juga menghadiri kursus ini sebab ianya banyak praktikal sambil didedahkan teori-teori mengenai perisian ini. Di sini, saya sharekan gambar-gambar yang saya belajar sepanjang khusus ini. 

Perkara paling asas dalam menghasilkan sesuatu gambar grafik ialah kita perlu meniru idea orang lain dengan membuat pengubahsuian sehinggakan idea yang dihasilkan itu menjadi idea kita sendiri. Ini adalah pesan trainer yang sudah lama bergiat dalam industri ini.

Ini adalah contoh hasil orang yang menggunakan Adobe Illustrator dari Level 1 hingga Level 3. Jika kita melihat hasil gambar Level 3, ianya lebih kompleks kerana dihasilkan oleh orang yang pro menggunakan Adobe Illustrator.

Hasil orang yang menggunakan perisian Adobe Illustrator dari Level 1 hingga Level 3.

Dalam penghasilan seni grafik dan penerbitan, Adobe Illustrator (AI), Adobe Photoshop (Ps), dan Adobe InDesign (AI) merupakan adik-beradik seibu dan sebapa.

Ini adalah vector grafik gambar kopi yang kami gunakan untuk praktikal kelas ini. 
Menarik bukan?

Dan ini adalah hasil saya membuat poster menggunakan perisian Adobe AI untuk kelas ini. 
Hahaha.. Ok juga kan?


Thursday, November 7, 2019

Keterujaan Saya dengan Pelaburan Emas Kembali Semula


Jongkong Emas Poh Kong 10 gram.

Kali pertama saya membeli emas jongkong ialah pada tahun 2016. Ketika itu, saya membeli emas jongkong Poh Kong seberat 10 gram dengan harga RM1660 atau jatuh RM166 segram. Saya beli emas jongkong ketika ini pun sekadar ikut-ikutan kerana pembacaan saya dalam internet mengenai pelaburan emas.

Selepas membeli emas jongkong ini, saya terasa menyesal. Rugi pun ada. Bukan apa. Lepas beli terus simpan dalam laci. Orang kata duduk ‘sekun’ dalam laci. Saya tidak lagi membeli emas ketika itu. Saya beranggapan ini kali pertama dan kali terakhir saya membeli emas jongkong. Ada baiknya saya menyimpan duit saya dalam akaun pelaburan. Rasa rugi pun ada selepas membeli emas jongkong ini. Tambahan pula promoter kedai emas tersebut memberitahu kepada saya bahawa pelaburan emas mengambil masa 2-3 tahun dan bukannya 2-3 bulan.

Namun, setelah tiga tahun berlaku, rasa menyesal ini telah bertukar berasa untung membeli emas. Baru-baru ini (Oktober 2019) saya sengaja ke kedai emas Poh Kong dan buat-buat tanya harga emas semasa. Terkezut I apabila promoter kedai emas itu memberitahu kepada saya bahawa harga semasa emas jongkong sekarang ialah RM263 segram! Ini bermakna harga emas telah naik hampir RM100 segram dalam masa 3 tahun! 

Dengan kata lain, emas yang saya beli RM1660 dahulu telah berharga RM2630 sekarang! Manakala harga belian emas (spread) ialah sekitar RM185 segram. Kiranya saya masih boleh membuat untung jika saya menjual emas ini yang dibeli 3 tahun yang lalu. 

Kita sukar untuk menyimpan emas kerana sejak dari kecil lagi dan apatah lagi masyarakat kita menggunakan wang dalam urusan jual beli seharian dan bukannya wang sunnah ini. Sudah tentu agak sukar bagi diri kita untuk menyimpan emas. Kadang-kadang terlintas juga dalam hati ‘buat membazir aje membeli emas’.

Keterujaan saya untuk menyimpan emas kini bermula semula. Saya tahu di luar sana sudah ada yang kaya-raya dengan emas. Satu lagi yang saya suka harta pusaka sepanjang zaman ini ialah emosi kita akan susah untuk membazir apabila menyimpan emas. Sebenarnya, terdapat perbezaan besar antara emas dan duit. Nikmat emas apabila kita menyimpannya manakala nikmat duit ialah apabila kita membelanjakannya.

Apakah pilihan anda?

Wallhua’lam.