Saturday, April 13, 2019

Kesan Pentadbiran Ataturk Terhadap Generasi Muda pada Hari Ini


“Merhaba!” tiba-tiba anak muda yang duduk di sebelah saya menyapa.
“Merhaba!” balas saya sambil melemparkan senyuman.
Anak muda itu nampak agak lega apabila saya tersenyum. Mungkin selepas tiga jam perjalanan, dia pun sudah naik boasa dan mula mencari kawan berbual.
“Sizin memlaketiniz ne (kamu dari negara mana)?” soalnya lagi.
“Oh, saya dari Malezya (sebutan Malaysia dalam bahasa Turki).”
Anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Ercan.
Dia menuntut di Canakkale Onsekiz Mart Universitesi di bidang Sains Komputer. Apa yang menarik perhatian beliau untuk berbual ialah kerana dokumen yang berada di tangan saya. Saya sememangnya sudah sedar sejak awal lagi yang perbuatan saya membaca manuskrip ini diperhatikan.
“Apa yang kamu baca tu?” Ercan nampak berminat untuk tahu.
“Ini adalah salinan manuskrip yang ditulis oleh vanuvis semasa Perang Sultan Selim di Kaherah.” Saya menunjukkan salinan itu kepada Ercan. Ia adalah salinan dokumen yang diberi oleh Hasan di Ankara kepada saya. Hasan berharap supaya satu hari nanti saya dapat menguasai kemahiran membaca manuskrip Othmaniyyah.
“Vakanuvis? Apa tu, saya tak pernah mendengarnya.” Beliau nampak seakan keliru dengan penjelasan saya.
“Vakanuvis ialah istilah Othmaniyyah. Ia merujuk kepada seorang pekerja yang dibayar gaji oleh kerajaan Othmaniyyah untuk mencatatkan peristiwa-peristiwa di sepanjang tempoh yang ditugaskan kepadanya. Ia adalah gabungan dua perkataan daripada dua bahasa iaitu Vaka dan Nuvis. Vaka itu bahasa Arab, kalimah asalnya waqaai’ (peristiwa). Manakala Nuvis pula adalah perkataan Parsi yang memberi maksud penulis atau ‘pencatat’. Saya cuba menjelaskan kepada Ercan tentang sesuatu yang saya pelajari daripadanya. Ia sejarah datuk nenek Ercan, tetapi hari ini kami beralih kerusi.
Ercan terpana mendengar penjelasan saya. Dia semakin hairan. Saya dapat mengagak latar belakang beliau. Dengan rantai emas di leher dan gaya anak muda yang agak ‘happy go lucky’, saya rasa Ercan bukanlah daripada keluarga yang berlatarbelakangkan Islam. Ia memang fenomena yang biasa di bandar-bandar Wilayah Ege. Wilayah itu dipengaruhi Greece dan sehingga kini jurang penduduknya dengan Islam amat ketara. Sebab itulah saya kurang berminat untuk merayau di bandar-bandar seperti Izmir.
Pemisahan Ketara
Suasana di Turki tidak sama seperti di Malaysia. Jika di negara kita, adalah menjadi suatu kebiasaan sebuah keluarga mempunyai corak yang pelbagai. Anak Islamik, ayah sekular, ibu tidak tahu apa.
            Di Turki tidak begitu. Mungkin kerana implementasi sekularisme dilakukan secara agresif, masyarakat Turki terpecah dua. Bagi golongan yang kuat berpegang dengan Islam, mereka, ahli keluarga, dan kawasan jiran mereka semuanya Islamik. Namun bagi golongan sekular, mereka langsung tiada hubungan dengan golongan yang berpegang teguh dengan Islam.
            Inilah yang jarang disedari oleh rakyat Malaysia apabila mereka ke Turki melalui pakej. Agensi pelancongan yang menguruskan lawatan ke Istanbul, akan menempatkan orang kita di kawasan pelancongan seperti Taksim dan lain-lain. Tentulah salah pandangan yang kita perolehi sebab kawasan Taksim memang teruk. Majalah lucah di kaki lima jalan, Kelab Tarian Gelek, Kelab Gay, semuanya ada belaka.
            Jika tiada sebab, orang-orang Turki yang komited dengan Islam tidak akan melintas kawasan Taksim.
            “Hasrizal, kamu Muslim?”  Ercan menyoal saya.
            “Ya saya Muslim. Elhamdulillah. Mengapa kamu tanya begitu?”
            “Engkau sembahyang tak? Berapa kali sehari?” Ercan terus menyoal dan wajahnya semakin tidak ceria.
            “Ya, saya sembahyang. Tentunya lima kali sehari. Engkau pula macam mana?” saya cuba menduganya.
            “Saya pernah sembahyang. Tetapi sejak masuk universiti saya sudah tidak sembahyang lagi.” Keluh Ercan.
            “Tapi saya berasa hairan, apa yang menyebabkan engkau belajar manuskrip Othmaniyyah. Engkau datang dari, semata-mata untuk belajar sejarah datuk nenekku, sedangkan aku sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya.” Ercan cuba meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama dia memerhatikan saya membaca manuskrip tersebut.
            “Ercan, soalan yang sama sama pernah ditanya oleh seorang profesor semasa saya membuat kajian di Perpustakaan IRCICA di Istanbul. Dia mahu mengetahui apa sebenarnya motif saya belajar sejarah Othmaniyyah. Semasa itu saya sedang mengumpulkan tulisan seorang Pegawai Belanda di Indonesia iaitu Snouck Hurgronje. Engkau pernah dengar nama itu?” saya menyoal.
            “Entah, tak pernah pula saya mendengarnya. Tetapi, apa yang engkau jawab kepada profesor tersebut?” Ercan nampak ghairah untuk tahu.
            “Sebenarnya, saya rasa kita orang Islam menghadapi masalah keyakinan diri. Macam di negara saya, apabila disebut yang kita kena kembali kepada Islam, ramai yang menandang sinis. Mereka rasa kembali kepada Islam itu semacam cubaan menukar dunia moden hari ini kepada tamadun hitam putih sebagaimana yang ditonton di televisyen. Apatah lagi untuk menyebut tentang pemerintahan Islam,” saya bertatih menerangkannya.
            Inilah motivasi saya mengkaji sejarah Othmaniyyah. Terutamanya soal polisi-polisi luar kerajaan di era kejatuhan selepas zaman kemuncak Kanuni Sultan Suleyman. Zaman tersebut menyaksikan banyak sekali komunikasi orang Islam di Kepulauan Melayu dengan Khilafah Othmaniyyah. Saya mahu buktikan kepada orang Malaysia bahawa mereka pernah menjadi sebahagian daripada kehebatan kerajaan Othmaniyyah. Sultan-sultan di Tanah Melayu akrab dengan Khalidah. Sebuah meriam pemberian Khalifah bernama Lada Secupak, masih gagah berdiri di bumi Acheh sebagai sebahagian daripada bukti keakraban itu. 
            Penat juga saya memerah kepala untuk mencari kalimah-kalimah Turki bercampur Inggeris supaya Ercan memahami penjelasan saya.
Tertekan
Pada masa itu Ercan kelihatan sugul. Wajahnya yang ceria sudah pudar seperti menelan sesuatu yang pahit. Dia seakan-akan tertekan dengan penjelasan saya.
            “Maafkan saya Ercan, saya tidak bermaksud menyusahkan hatimu. Apa yang sedang engkau fikirkan?” Saya cuba mengorek hati dan fikirannya.
            “Engkau tahu mengapa selama ini saya tidak pernah tahu apatah lagi untuk berbangga dengan sejarah datuk nenek saya?” soalnya kepada saya.
            “Sebabnya mudah sahaja. Walaupun saya masih keturunan mereka, tetapi sebenarnya kami sudah terputus hubungan. Saya sudah tidak mampu membaca hasil tinggalan Othmaniyyah, bukan sekadar warisan Fatih Sultan Mehmet, malah datuk saya sendiri. Saya sudah tidak boleh membaca catatannya sebab dia mencatat dengan huruf Arab. Saya tidak boleh membaca bahasa Othmaniyyah malah saya tidak tahu membaca Kuran (al-Quran). Bagaimana saya boleh menjadi seorang cucu seandainya saya tidak boleh memahami bahasa datuk saya sendiri!” Keras sekali Ercan menyatakan rasa pahitnya.
            Jalan raya sudah mula menyusuri pantai Marmara. Canakkale hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi. Perbualan kami hening seketika. Ercan merenung keluar dan saya hilang bicara.
            Saya bersimpati dengan Ercan. Dia adalah mangsa kepada kejahatan Ataturk dan regimnya. Pada tahun 1928, Ataturk telah mengambil keputusan untuk menukar bahasa Turki daripada ditulis dengan menggunakan hutuf Arab, digantikan dengan huruf Latin. Kabinetnya sendiri ragu-ragu dengan keupayaan mereka untuk melaksanakan revolusi ini. Ataturk pernah bertanya kepada mereka tentang hal ini dan kabinetnya menjangkakan masa yang diperlukan adalah selama lima tahun.
            “Baik, jika begitu, kita teruskan dan saya mahu ia berjaya dalam tempoh lima bulan!” titah Ataturk.
            Keputusan itu adalah keputusan yang maha besar. Mencabut tulisan Arab daripada bahasa umat Islam akan secara langsung menjauhkan mereka daripada sumber Islam itu sendiri. Mereka akan buta al-Quran dan buta agama. Malah yang paling menakutkan ialah, berlakunya keputusan rantai antara dua generasi.
            Ercan adalah salah seorang daripadanya. Kerana berubah huruf, Ercan sudah tidak mampu membaca surat datuknya sendiri. Mereka berkongsi darah dan keturunan, tetapi hakikatnya mereka adalah dua generasi yang terputus.
            Renung sahaja keadaan di Malaysia.
            Generasi yang menjadi mangsa politi yang menghapuskan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan Malaysia tentu faham dengan apa yang saya maksudkan. Bahasa Turki, bahasa Parsi, bahasa Urdu, malah bahasa Melayu, semuanya cuba diceraikan dari huruf Arab. Malah bahasa Arab sendiri cuba dirosakkan apabila penyair-penyair digalakkan menulis sastera dalam bahasa pasar.
            Ia bukan semata-mata soal bahasa, tetapi jati diri dan keyakinan terhadap agama turut terheret sama. Insya-Allah suatu hari nanti, saya akan ceritakan tentang perjuangan Recep Kupcu, di Bulgaria yang syahid kerana mempertahankan bahasa Turki dalam silibus sekolah Bulgaria.
            Saya berjabat tangan dengan Ercan apabila bas kami berhenti di Canakkale Otogar (Stesen Bas Canakkale).
            “Terima kasih kardesim, teruskan membaca tentang datuk nenekku, moga suatu hari nanti kita bertemu. Ingat pada janjimu. Jadilah ahli sejarah yang turun kepada orang ramai. Jangan jadi ahli akademik. Aku tidak mahu melihat engkau di Fakulti Sejarah universitiku!” Ercan menggenggam erat tanganku sambil tersenyum.
            “Insya allah. Hingga kita bertemu lagi. Jangan lupa solat. Saya pasti itu sebahagian pesan datuk nenekmu!” gurauku kepadanya.
            Manuskrip yang berada di tangan, saya pegang erat.
            Semoga Allah memberi kekuatan untuk saya selami lautan yang luas ini. Mudah-mudahan kegemilangan Othmaniyyah daoat saya hidang kepada ummah. Bersemadilah engkau wahai Ataturk, dalam kemurkaan Tuhan yang esa. Islam akan dikembalikan ke takhtanya.

Sumber : Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu, 2010.

Thursday, March 21, 2019

Buku Meletup di Pasaran Tahun 2019

KUALA LUMPUR: Novel dengan kisah jenayah dan thriller menguasai carta jualan terlaris di Britain dengan peningkatan sebanyak 19 peratus antara 2015 hingga 2017.

Agensi statistik, Nielsen Bookscan dalam laporannya merekodkan trend itu terus kekal meningkat apabila pada 2018 genre sama mencatat rekod apabila 18.7 juta novel jenayah terjual, sekali gus meningkat 19 peratus berbanding 2015.
Pengarang seperti Lee Child, Dan Brown, James Patterson dan Stephen King antara yang menguasai carta jualan terlaris bukan hanya di Britain tetapi di Amerika Syarikat (AS).
Child misalnya merekodkan jualan tertinggi mencecah RM4.8 juta pada 2017 di Britain sahaja.
Demam novel jenayah dan thriller ini juga terkena tempias di negara ini apabila ia meraih jualan hingga puluhan ribu ringgit.
Sasar golongan muda, urban
Pengasas Buku Fixi Sdn Bhd, Amir Muhamad, berkata berdasarkan pengalamannya mengendalikan Buku Fixi, genre yang paling laris ialah kisah seram dan thriller.
“Judul yang paling laku ialah Asrama yang mencecah 55,000 naskhah diikuti Gantung (52,000),” katanya.
Amir berkata, ini disebabkan Fixi berada pada landasan betul dengan sasaran pembaca yang kebanyakannya golongan muda dan urban.
Amir berkata, Gantung juga mencipta rekod sendiri apabila tahun lalu, sekuel karya itu, Gantung 2 adalah judul paling laris mungkin disebabkan novel terbabit diadaptasi kepada drama bersiri.
Hal yang sama dikongsikan Penolong Pengurus Perdagangan Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, apabila naskhah thriller tulisan Hadi Fayyad, Infinity War menarik perhatian ramai pembaca.
“Naskhah ini mendapat sambutan yang baik daripada pembaca hinggakan ia mampu mencapai jualan mencecah ribuan naskhah dalam sebulan,” katanya.
Bagaimanapun genre lain terutama komik turut mempunyai penggemar hinggakan sesebuah tajuk mampu dijual lebih 50,000 naskhah.
Satu hal yang menarik, komik mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun hinggalah orang dewasa berumur 35 tahun dengan judul yang paling laris ialah Lawak Kampus.
Sejak dimulakan pada 2003 hingga April 2018, Lawak Kampus sudah diterbitkan sebanyak 33 jilid dalam bahasa Melayu, selain diterjemah ke bahasa Inggeris, Cina dan Thailand.
Bagaimanapun, dalam kemeriahan sambutan terhadap genre thriller dan komik, drama adaptasi daripada novel masih mendapat tempat.
“Sehingga kini novel Dheos tulisan Anjell, antara yang menarik perhatian pembaca, selain naskhah adaptasi seperti Jangan Benci Cintaku,” katanya.
Ini menjelaskan novel cinta masih ada tempat dalam kalangan pembaca selain mempunyai penggemarnya tersendiri.
Jualan semua genre menurun.
Sementara itu, penulis dan Pengarah Urusan Interns Idea, Fauziah Ashari, berkata dalam ekonomi buku yang merudum ketika ini, semua genre mengalami penurunan jualan.
Namun, jika sesebuah tajuk itu masih mampu diulang cetak dalam tempoh yang singkat, ia petanda jelas genre berkenaan masih ada penggemar tersendiri.
Tegas Fauziah, dua novel terbitan syarikatnya, Tuan Muda Cik Hana sudah dicetak empat kali dalam tempoh lapan bulan, manakala Dia Perempuanku sudah dicetak enam kali dalam tempoh enam bulan.
“Meskipun genre thriller menarik minat pembaca ketika ini, novel cinta juga kekal menarik minat pembaca,” katanya.
Komen saya :
Sebagai orang yang terlibat dalam bisnes penerbitan buku, sudah tentu saya perlu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa industri penerbitan buku ini. Daripada artikel di bharian ini, didapati bahawa novel Asrama dan Gantung merupakan novel yang laku keras buat masa sekarang iaitu masing-masing terjual 55,000 dan 52,000 naskah. Ini adalah novel fiksyen seram. Rupa-rupanya masyarakat Malaysia suka dihidangi dengan thriller seram.
Apabila disebut dengan Anjell, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada penulis tip top pada masa sekarang. Daripada pembacaan rambang saya dari sumber internet, lima buah buku hasil tulisan Anjell telah berada di pasaran dan ada novel-novelnya telah diadaptasikan menjadi drama.
Jika dahulu, penulis Ahadiat Akashah merupakan penulis tip top tanah air dan beliau berjaya menulis 86 buah novel (banyak tu) dan dinobatkan sebagai penulis novel terbanyak di Malaysia oleh Malaysian Book of Records. Sekarang ini, zaman sudah berlalu dan tempatnya sekarang sudah diambil oleh novelis-novelis yang baharu.
Akan tetapi, apa yang menggusarkan saya ialah daripada perbincangan artikel ini, bahan-bahan bacaan buku yang bersifat akademik ataupun ilmiah tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti novel-novel thriller cinta ataupun seram bagi kategori buku-buku non-fiksyen seperti kewangan, sejarah, kekeluargaan, dan sebagainya.
Apakah kadar pembacaan rakyat Malaysia hanya bisa diukur dengan bacaan-bacaan ringan sahaja?
Wallhua’lam.

Friday, March 15, 2019

Tip Survival Penerbit Buku: Mengapa Mesti Menerbitkan Fiksyen Popular untuk Perempuan

Trend pasaran buku di seluruh dunia menunjukkan 80% buku bacaan umum (tradebooks) yang terjual adalah kategori fiksyen. Hanya 20% sahaja kategori bukan fiksyen. Fakta ini membawa implikasi serius kepada penerbit komersial yakni, demi survival, penerbit terpaksa menerbitkan buku-buku fiksyen.
 
Daripada semua kategori fiksyen yang terjual itu pula, 80% adalah dibeli oleh perempuan! Inilah sebabnya penerbit novel-novel perempuan dapat hidup kaya raya tanpa menerbitkan kategori lain.
Justeru, jika penerbit komersial seperti PTS yang menerbitkan pelbagai kategori buku mahu survive, kita terpaksa juga menerbitkan fiksyen-fiksyen yang ditargetkan khusus kepada pasaran perempuan. Kejayaan menerbitkan kategori fiksyen perempuan memerlukan pengetahuan berkenaan jenis-jenis fiksyen yang diminati oleh perempuan. Tidak semua kategori fiksyen dibeli oleh perempuan.
Fiksyen karya sastera yang berat-berat tidak dibeli oleh perempuan. Karya sastera berat hanya dibeli oleh peminat sastera berat, baik lelaki mahupun perempuan, manakala jumlah mereka amat kecil, tidak dapat menjamin survival penerbit.
Sektor fiksyen perempuan yang paling besar adalah sektor novel cinta. Sampai bila-bila pun novel cinta menjadi kegemaran perempuan. Pasaran novel cinta adalah ibarat telaga yang tidak ada dasarnya. Berapa banyak pun judul novel cinta yang sudah diterbitkan, mereka tetap mahukan lebih banyak judul baru diterbitkan....
Keuntungan yang diperoleh daripada jualan fiksyen perempuan itulah yang akan digunakan bagi membiayai penerbitan buku-buku kategori bukan fiksyen, yang jualannya kecil. Strategi ini disebut cross-publishing, yakni menggunakan keuntungan jualan daripada buku-buku lain bagi membiayai penerbitan buku-buku lain.
Penerbitan karya sastera berat terpaksa ditanggung oleh jualan novel-novel cinta popular. Realiti inilah yang menyebabkan setiap bulan PTS menerbitkan lebih banyak fiksyen perempuan daripada kategori lain. Hanya sahaja fiksyen popular terbitan PTS adalah syariah-compliant.
Sumber : universitipts.com
Komen saya :
Sememangnya pasaran novel adalah luas di Malaysia apatah lagi para pembaca majoritinya terdiri daripada kaum wanita. Kaum wanita suka berimiginasi dan fantasi sebab itu. Oleh itu, tidak hairanlah mereka suka membaca novel. Saya masih teringat pada tahun 2017 apabila pergi ke kilang pencetak dan waktu itu menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Saya dimaklumkan oleh kilang pencetak, sebuah syarikat penerbitan telah mencetak sebanyak 15,000 naskah novel bagi satu judul! Nah, ini membuktikan pasaran novel adalah luas dan jualannya pasti kencang! Rata-ratanya rakyat Malaysia suka membaca bacaan yang ringan dan tidak suka membaca yang terlalu ilmiah atau berat. Ini realiti semasa apabila kita ingin tenggelam dalam dunia penerbitan. Kita perlu menerbitkan apa yang orang minat dan bukannya yang kita minat!
Wallhua’lam.

Monday, March 11, 2019

Top 15 Universiti Terbaik Dunia


Berikut adalah 15 universiti terbaik dunia tahun 2019 berdasarkan kepada ranking yang diterbitkan oleh QS World University Rankings :
1. Massachusetts Institute of Technology (MIT) (USA)
2. Stanford University (USA)
3. Harvard University (USA)
4. California Institute of Technology (Caltech) (USA)
5. University of Oxford (UK)
6. University of Cambridge (UK)
7. ETH Zurich (Switzerland)
8. Imperial College London (UK)
9. University of Chicago (USA)
10. University College London (UK)
11. National University of Singapore (NUS) (Singapore)
12. Nanyang Technological University (NTU) (Singapore)
13. Princeton University (USA)
14. Cornell University (USA)
15. Yale University (USA)

Nah, sekali imbas top-top universiti ini semuanya dipegang oleh USA (8 buah), United Kingdom (4 buah), Singapura (2 buah), dan Switzerland (1 buah). 
Dan apa lebih membanggakan lagi dari ranking ini,Singapura mempunyai 2 buah universiti yang terletak ranking top 15 dunia! Hebat bukan? Singapura sahaja mewakili negara Asia untuk berada dalam ranking top 15 dunia ini dan berjaya mengalahkan ranking Tsinghua University (China) yang terletak ranking ke-17 dunia dan The University of Tokyo (Jepun) yang terletak ranking ke-23 dunia. 
Oleh kerana saya sekarang mengambil Master Sejarah, saya cuba jenguk-jenguk syarat kemasukan untuk bidang sejarah bagi peringkat Ph.D. di universiti-universiti yang terhebat ini. 
Untuk Harvard University, ia memerlukan calon yang fasih dua bahasa lain selain daripada Bahasa Inggeris. Yang pernah belajar 3rd language masa degree dahulu memang untung la. Contohnya, macam bahasa Perancis, Korea, Jepun, Arab, dan sebagainya. Nak kaji sejarah ini kena kaji sumber primer bukan?
Manakala untuk University of Oxford, ia memerlukan calon memperolehi pointer 3.75 peringkat master. Tetapi, untuk kemasukan Oxford bidang sejarah peringkat Ph.D. memang sukar kerana persaingan agak sengit. Manakan tidak. Untuk tahun 2018, tempat yang disediakan ialah sebanyak 54 orang sahaja manakala jumlah pemohon ialah sekitar 239 setahun. Tapi rata-ratanya semua yang terpilih adalah pointer 3.8 ke atas kerana persaingan nak masuk universiti ini memang ramai untuk peringkat Ph.D. Al-maklum sahajalah ini merupakan top universiti dunia.
Bagi Massachusetts Institute of Technology (MIT) pula, nama pun macam universiti sains kan? Bidang sejarah juga ditawarkan di universiti ini. Akan tetapi, bidang sejarah yang hendak dikaji adalah berkaitan dengan sains dan teknologi jika mengikut website universiti ini. 
Kalau sudah dapat tawaran masuk National University of Singapore (NUS) saya fikir sudah kira hebat kerana universiti ini terletak ranking ke-11 dunia! Kalau ada bajet lebih pun saya fikir tiada masalah untuk belajar di universiti ini. Nak ulang-alik dari semenanjung pun senang bukan?
Tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia hanya Tuhan sahaja yang tahu. Manala tau kot-kot ada antara kita ini dapat memasuki universiti bertaraf dunia ini bukan?
Wallhua’lam. 

Thursday, February 21, 2019

Menghadiri Kursus Indeks Berkomputer DBP


Kursus Indeks Berkomputer
Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menghadiri kursus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada kali dan tahun ini. Kursus yang saya hadiri ini ialah Kursus Indeks Berkomputer. Kursus ini adalah penting jika anda ingin membuat indeks pada bahagian belakang buku. Ini adalah untuk memudahkan pembaca mencari poin-poin penting untuk bacaan ataupun kajian mereka dengan cepat. 
Kursus ini disampaikan oleh Prof. Dr. Roosfa Hashim yang merupakan pengarah penerbitan UIAM. Rata-rata yang datang ke kursus ini ialah editor-editor bahagian penerbitan. 
Di UKM, manuskrip non-fiksyen yang dihantar tanpa mengandungi indeks akan ditolak serta-merta. Oleh itu, pentingnya seseorang penulis itu mahir membuat indeks apabila karyanya ingin diterbitkan. Memang benar editor boleh membuat indeks, akan tetapi adalah lebih baik sekiranya seseorang pengarang membuat indeks untuk manuksripnya sendiri kerana dia lebih tahu apa yang ingin disampaikan dalam bukunya kepada orang ramai. 
Sebelum saya datang kursus ini pun, saya hanya faham indeks ini adalah untuk memasukkan semua nama khas di bahagian sesebuah buku. Rupa-rupanya anggapan saya silap sekali. Indeks sebenarnya adalah untuk memasukkan perkataan yang membincangkan sesuatu perkara dalam sesebuah buku. Jika sesuatu perkataan itu tidak dibincangkan secara lanjut, maka perkataan itu tidak perlu dimasukkan ke dalam bahagian indeks buku walaupun perkataan itu adalah nama khas.
Antara perkara lain yang diajar ialah mengenai ‘entry’ dan ‘subentry’ mengenai sesuatu perkataan. Selain itu, peserta kursus juga diajar cara-cara membuat rujukan silang atau dipanggil sebagai ‘cross-reference’ dalam sesebuah manuskrip. 
Apa yang lebih menarik ialah peserta dikehendaki untuk membawa draf manuskrip sendiri apabila menghadiri kursus ini. Kursus ini sebenarnya lebih menekankan kepada latihan amali untuk membuat indeks. Teori-teori atau pengetahuan mengenai indeks diajar secara umum sahaja kerana pembelajaran yang sebenarnya ialah apabila peserta membuat silap apabila membuat indeks manuskrip masing-masing. 
Banyak lagi tip-tip yang diajar berkenaan cara-cara untuk membuat indeks. Cuma saya tidak dapat ceritakan semua di sini kerana membuat indeks adalah sesuatu perkara yang teknikal yang mungkin tidak dapat disampaikan hanya melalui blog. 
Tenaga pengajar juga membawa contoh-contoh indeks yang banyak mengandungi kesilapan yang dilakukan oleh editor kerana telah melanggar standard konvensyen yang telah ditetapkan. 
Cuma saya tertarik dengan kata-kata Prof. Dr. Roosfa yang menyatakan, “Orang yang berminat dengan penerbitan sahaja yang akan kekal lama dalam bidang ini kerana ia merupakan suatu bidang teknikal. Saya terlibat dalam bidang ini sejak dari zaman muda hingga ke zaman tua kerana minat dalam bidang ini.”
Wallahua’lam.

Sunday, February 3, 2019

Pasar Raya Ikhwan : Alternatif Memboikot Pasar Raya Cina

Gendang untuk memboikot barangan Cina sudah berkumandang pasca PRU-14 setelah Barisan Nasional dikalahkan dalam pilihan raya yang lepas. Harapan Malaysia Baru sudah menjadi Malaysia Celaru. Ya, celaru apabila kedudukan agama Islam dimain-mainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang didominasi oleh orang-orang bukan Islam khususnya orang-orang Cina. 

Saya rasa usaha untuk memboikot barangan ataupun pasar raya Cina mula 'merebak' ke seluruh masyarakat Melayu kerana marahkan dengan sikap pemimpin kerajaan Cina yang mula menunjukkan belang mereka apabila telah berkuasa. 

Alhamdulillah, orang Melayu sekarang sudah mampu untuk membina rangkaian pasar raya sendiri yang dikenali sebagai Pasar Raya Ikhwan. Jika dahulu, orang Melayu hanya bergegar-gegar untuk memboikot perniagaan orang Cina walhal mereka sendiri masih tidak mempunyai rangkaian perniagaan mereka sendiri.

Saya difahamkan bahawa jenama Ikhwan ini adalah serpihan daripada al-Arqam dahulu yang mempunyai rangkaian perniagaan bukan sahaja di tanah air Malaysia malah Berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh Asia Tenggara khususnya bahan-bahan makanan. Rangkaian perniagaan al-Arqam ini sangat hebat dan asetnya pada tahun 1990-an adalah berjumlah RM300 juta sebelum ianya diharamkan!

Di sini, saya membelanjakan gambar-gambar Pasar Raya Ikhwan di Sungai Buloh yang saya pergi baru-baru ini. Jom, kita mulakan boikot perniagaan orang Cina sekarang!

Antara Barangan Dapur Dijual


 Barangan Produk Adabi yang Original Boleh Didapati Di Sini


 Antara Makanan Kering yang Dijual


Produk Mee Keluaran Ikhwan - Tak Perlu Lagi Beli Mee Cina


Coklat Keluaran Ikhwan


Ikhwan TV



Pasar Raya Ikhwan di Sungai Buloh

Wednesday, January 30, 2019

Muhammed Khalid-Daim Zainuddin Bakal Jatuhkan Pakatan Harapan

Ringgit jatuh merudum, ekonomi tidak berkembang pada kadar yang dirancang, rating negara dijangka jatuh, sekarang mereka yang yang dipertanggungjawabkan mengurus ekonomi negara sedang mencatur perniagaan.
Pelantikan Dr Muhammed Khalid sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri mengukuhkan kedudukan Tun Daim Zainuddin dalam kuasa ekonomi negara.
Muhammed Khalid merupakan adik ipar kepada Daim. Mahathir menerima cadangan pelantikan Muhammed Khalid sebagai Penasihat Ekonomi kerana ia saranan Daim.
Daim memberitahu Mahathir bahawa beliau telah membelanjakan berbilion ringgit untuk pilihan raya lalu. Jadi Mahathir tiada pilihan kecuali menerima saranan Daim bagi memasukkan Muhammed Khalid sebagai salah seorang pencatur dalam koridor kuasa.
Apa yang Mahathir tidak sedari ialah Daim tidak mengeluar wang yang banyak. Kebanyakan dana pilihan raya Pakatan Harapan datang dari kroni Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Taikun seperti Vincent Tan.
Oleh kerana Mahathir tidak ambil tahu hal perbelanjaan pilihan raya, beliau percaya bulat-bulat cakap Daim.
Tugas Muhammed Khalid (Mat Khalid) adalah memberi saranan-saranan mengenai pelantikan CEO GLC dan penstrukturan semula ekonomi negara.
Fasa pertama Mat Khalid akan membawa masuk pengurus-pengurus yang taat kepada Daim dan beliau bagi menguasai Khazanah Nasional dan GLC lain.
Fasa kedua Mat Khalid akan mencadangkan penstrukturan semula perbankan, konsesi lebuh raya dan industri oil and gas negara.
Ini bagi membolehkan Daim Linked Company (DLC) terbabit secara aktif dalam penstrukturan semula ini. Daim sentiasa berminat dengan bank kerana beliau di situ kepakaran beliau memanipulasi wang.
Sejak 4 tahun lalu juga Daim berminat dengan konsesi tol. Beberapa kali syarikat Idaman Saga milik Tan Sri Halim Saad cuba membeli semua syarikat konsesi tol di negara ini tetapi ditolak kerajaan. Halim Saad adalah salah seorang “front man” Daim.
Mat Khalid dijangka mengemukakan cadangan penstrukturan ini. Daim berminat dengan syarikat konsesi kerana perniagaan tunai yang dijana ini akan memberi kekuatan tunai kepada emapayar Daim.
Selain kerana percaya Daim membiayai Pilihan Raya, Mahathir tidak boleh menyingkirkan Daim selagi Najib Razak tidak dibicarakan.
Mahathir bergantung kepada Daim sebagai Mr Fixed! Daim ada networking yang luas di dalam dan luar negara bagi memastikan Najib Razak dipenjarakan by hook or by crook.
Tidak lama lagi Daim dengan bantuan Mat Khalid akan menjahanamkan ekonomi negara seperti mana Daim mengosongkan akaun UMNO ketika beliau bergaduh dengan Mahathir dan meletak semua jawatan pada 2001.
Pakatan Harapan akan tumbang sebelum lima tahun jika “mat khalid” dan Daim berjaya mempengaruhi Mahathir melaksanakan agenda mereka.
AzmyKelanaJaya
Sumber : htttps://mykmu.net