Kursus Indeks Berkomputer
Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk
menghadiri kursus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada kali dan tahun ini.
Kursus yang saya hadiri ini ialah Kursus Indeks Berkomputer. Kursus ini adalah
penting jika anda ingin membuat indeks pada bahagian belakang buku. Ini adalah
untuk memudahkan pembaca mencari poin-poin penting untuk bacaan ataupun kajian
mereka dengan cepat.
Kursus ini disampaikan oleh Prof. Dr.
Roosfa Hashim yang merupakan pengarah penerbitan UIAM. Rata-rata yang datang ke
kursus ini ialah editor-editor bahagian penerbitan.
Di UKM, manuskrip non-fiksyen yang dihantar
tanpa mengandungi indeks akan ditolak serta-merta. Oleh itu, pentingnya
seseorang penulis itu mahir membuat indeks apabila karyanya ingin diterbitkan. Memang
benar editor boleh membuat indeks, akan tetapi adalah lebih baik sekiranya
seseorang pengarang membuat indeks untuk manuksripnya sendiri kerana dia lebih
tahu apa yang ingin disampaikan dalam bukunya kepada orang ramai.
Sebelum saya datang kursus ini pun, saya
hanya faham indeks ini adalah untuk memasukkan semua nama khas di bahagian
sesebuah buku. Rupa-rupanya anggapan saya silap sekali. Indeks sebenarnya
adalah untuk memasukkan perkataan yang membincangkan sesuatu perkara dalam
sesebuah buku. Jika sesuatu perkataan itu tidak dibincangkan secara lanjut,
maka perkataan itu tidak perlu dimasukkan ke dalam bahagian indeks buku
walaupun perkataan itu adalah nama khas.
Antara perkara lain yang diajar ialah
mengenai ‘entry’ dan ‘subentry’ mengenai sesuatu perkataan. Selain itu, peserta
kursus juga diajar cara-cara membuat rujukan silang atau dipanggil sebagai ‘cross-reference’
dalam sesebuah manuskrip.
Apa yang lebih menarik ialah peserta
dikehendaki untuk membawa draf manuskrip sendiri apabila menghadiri kursus ini.
Kursus ini sebenarnya lebih menekankan kepada latihan amali untuk membuat indeks.
Teori-teori atau pengetahuan mengenai indeks diajar secara umum sahaja kerana
pembelajaran yang sebenarnya ialah apabila peserta membuat silap apabila
membuat indeks manuskrip masing-masing.
Banyak lagi tip-tip yang diajar berkenaan
cara-cara untuk membuat indeks. Cuma saya tidak dapat ceritakan semua di sini
kerana membuat indeks adalah sesuatu perkara yang teknikal yang mungkin tidak
dapat disampaikan hanya melalui blog.
Tenaga pengajar juga membawa contoh-contoh
indeks yang banyak mengandungi kesilapan yang dilakukan oleh editor kerana
telah melanggar standard konvensyen yang telah ditetapkan.
Cuma saya tertarik dengan kata-kata Prof.
Dr. Roosfa yang menyatakan, “Orang yang berminat dengan penerbitan sahaja yang
akan kekal lama dalam bidang ini kerana ia merupakan suatu bidang teknikal. Saya
terlibat dalam bidang ini sejak dari zaman muda hingga ke zaman tua kerana minat
dalam bidang ini.”
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment