Tuesday, January 8, 2019

Meneruskan Kehidupan di SMKA Sheikh Abdul Malek

Perkara yang saya paling saya tidak suka sekali ialah apabila kita tinggal di asrama. Macam saya, saya tinggal di asrama selama 7 tahun (lama tu). 3 tahun di SMKA Sheikh Abdul Malek, 2 tahun di KISAS, 1 tahun sewaktu di matriks, dan 1 tahun lagi adalah sewaktu berada di tahun 1 universiti.

Tetapi, pengalaman yang saya paling ingati ialah sewaktu berada di asrama di SMKA Sheikh Abdul Malek. Apabila ke Kuala Terengganu, sudah tentu saya sengaja melalui jalan sekolah ini. Setidak-tidaknya boleh melihat dari jauh. Itu pun jadilah.
Sewaktu berada di asrama inilah saya dilatih untuk hidup dalam suasana agama. Mana tidaknya, solat dari subuh sampailah isyak, perlulah solat berjemaah. Jika kantoi sembahyang dalam bilik atau dorm, alamatnya nahaslah kena panggil dengan senior. Bukan untuk dipukul, malah sekadar untuk diberi amaran mesra.
Selepas solat subuh berjemaah, kami dilatih untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai. Lebih kurang baca satu mukasurat selepas berjemaah. Jika solat subuh turun lewat ataupun masbuk ketika itu, malulah dengan orang lain kerana kita sembahyang di tengah-tengah halaqah orang yang membaca al-Quran ketika itu. Selepas solat asar pula, kami perlu membaca al-Quran lagi selepas itu. Kemudian, selepas solat waktu maghrib jika tiada kuliah maka kami akan membaca al-Quran ataupun mathurat. 
Paling saya ingat ketika ini ialah kisah batch saya sebelum itu. Yang diceritakan oleh senior-senior saya ketika itu. Ada yang membaca al-Quran selepas solat subuh hari Jumaat sehinggalah menjelang waktu orang bersiap-siap hendak menunaikan solat Jumaat. Hebat bukan?
Kadang-kadang selalu membaca al-Quran ketika di waktu asrama inilah yang melatih untuk saya membaca al-Quran setiap hari sehingga hari ini. Walaupun sesibuk mana sekalipun, saya akan cuba membaca al-Quran pada setiap hari. 
Ada juga kisah ahli usrah sebelum itu yang kononnya dia boleh skor dalam peperiksaan percubaan PMR ketika itu. Selepas itu, dia tidak lagi hadir ke majlis usrah yang diadakan pada waktu malam kononnya untuk fokus kepada pelajarannya. Apa yang terjadi selepas dia mendapat keputusan PMR sebenar? Tidak lain dan tidak bukan dia merupakan pelajar asrama yang mendapat bilangan A yang tercorot sekali ketika itu. Fikir-fikirkanlah apabila kita meninggalkan aktiviti agama ini. 
Ada juga kisah menarik ketika saya Tingkatan 2 sewaktu berada di asrama sekolah ini dahulu. Ada pelajar Tingkatan 1 yang tersilap buka pintu tandas yang rosak yang tidak dapat dikunci. Apa yang melucukan ialah terdapat senior Tingkatan 4 yang sedang buang air besar ketika itu. Apa yang melucukan orang kata ‘tahi hijau masih keluar ikut jubur’. Akibatnya, budak Tingkatan 1 ini dipukul oleh gang-gang senior Tingkatan 4 ini. Hahaha...Lucu juga ketika teringat memori-memori silam ini. 
Jika kita membantu agama Allah, Allah akan membantu kita. Membantu agama ialah membuat kerja-kerja kebaikan. Kadang-kadang inilah kehebatan sesetengah pelajar yang dikatakan tidak study manapun tetapi result gempak. Mereka ini kadang-kadang rajin menghafal al-Quran, solat tahajud, dan sebagainya. 
Saya pernah bertanya senior saya sewaktu peperiksaan percubaan SPM, “Kenapa rendah sangat result trial?” Dia secara selamba membalas, “Belajar 2 tahun pun peperiksaan 2 jam sahaja...” Saya tengok dia begitu rajin menghafal al-Quran. Dan setiap pagi dia akan melaungkan azan subuh. Apa yang terjadi setelah mendapat keputusan SPM sebenar? Subhanallah, dia mendapat agregat 6! Hebat bukan?
Sesungguhnya masa tidak boleh lagi diundur. Yang tinggal hanyalah kenangan. Sesungguhnya kenangan lama memang menggamit jiwa.
Wallahua’lam.

Sunday, December 30, 2018

Perginya Seorang Penulis Terulung Tanah Air Buat Selama-Lamanya

Apabila kita mengikuti penulisan seseorang itu dari semasa ke semasa, kita merasakan bahawa dia sebahagian daripada hidup kita atau dengan kata lain dianya adalah seperti teman kita. Apabila dia buat pergi selama-lamanya, kita merasakan bahawa teman kita telah pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang saya rasakan apabila diberitakan bahawa Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin ataupun dikenali sebagai Zam yang telah buat pergi buat selama-lamanya. 
Apabila beliau selalu menulis atau mengupas isu-isu semasa diblognya di Zamkata, saya selaku juga memberi komentar-komentar ataupun pandangan-pandangan saya sendiri. Dan boleh dikatakan komen-komen saya pun di blog beliau kadang-kadang mendapat respon daripada beliau. 
Apabila komen saya tidak disiarkan pada posting terakhir beliau pada 9 November 2018 mengenai teguran Tun Daim Zainuddin terhadap Tun Dr. Mahathir, saya berasa pelik. Saya terus menunggu dan menunggu sehinggalah kenalan memaklumkan kepada saya bahawa Zam telah dimasukkan hospital. Ini memungkinkan jangkaan saya bahawa Zam tidak menyiarkan komen saya dan tidak menulis lagi artikel diblognya disebabkan beliau telah dimasukkan ke hospital.
Akhirnya, tidak lama selepas itu akhbar-akhbar menyiarkan bahawa Tan Sri Zainuddin Maidin telah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 14 Disember 2018 kerana mempunyai masalah paru-paru dan usia beliau ketika meninggal dunia ialah 79 tahun. Terasa juga kehilangan beliau seolah-olah beliau ini teman saya apabila saya sentiasa mengikuti tulisan-tulisan beliau diblognya. 
Memetik kata-kata Hamka yang berbunyi seperti berikut :
"Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran dipelajari, diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang, mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati sentiasa berlainan susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain pula bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi orang lain, bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.”
Tulisan Zam memang memenuhi kata-kata Pak Hamka ini. Apabila kita membaca tulisan Zam, kita akan dapati bahawa lenggok bahasanya adalah berlainan dengan tulisan-tulisan biasa sama ada di akhbar-akhbar, buku-buku, dan sebagainya. Apa yang lebih penting lagi ialah tulisan Zam juga banyak menyalahi tatabahasa ataupun nahu bahasa. Inilah kehebatan seseorang pujangga menurut Pak Hamka ini. 
Apa yang saya tidak bersetuju dengan beliau ialah beliau amat berpegang bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara multi-racial. Beliau amat berpegang teguh dengan perlembagaan negara ini yang diasaskan sewaktu era Tunku Abdul Rahman dahulu dan seolah-olah kita tidak boleh melanggar apa yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid dahulu. Semoga kata-kata beliau ini diampunkan olehNya. 
Kini, beliau sudah tiada. Blognya Zamkata mungkin sudah menjadi kenangan abadi buat selama-lamanya. Membaca tulisan-tulisan lama di blog Zamkata mungkin menggamit memori sebelum ini. Saya fikir tiada ahli keluarga terdekatnya yang meneruskan penulisan di blog beliau – Zamkata. 
Memetik kata-kata Saidina Ali yang berbunyi :
“Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti.”
Wallhua’lam. 

Thursday, December 27, 2018

Tukar Kerajaan Tidak Dapat Menyelesaikan Masalah Rakyat

Tanggal malam 9 Mei 2018, rakyat Malaysia bersorak gembira kerana telah dapat menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak. Saya percaya bahawa rata-rata rakyat Malaysia berasa gembira kerana diharap kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat membawa sinar baru dalam kehidupan mereka.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya percaya bahawa ramai orang-orang Melayu di luar sana yang telah menangis dalam diam apabila melihat sikap pemimpin bukan Islam khususnya Cina dan India menunjukkan sikap belang dan durjana masing-masing. 
Sikap-sikap liar pemimpin kerajaan bukan Islam ini cuba menodai kesucian agama Islam dan juga hak keistimewaan orang Melayu. Sikap biadap Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan terserlah apabila memberikan peruntukan yang sama bagi sekolah agama berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular yang lain yang sekali gus menunjukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara sudah tidak dihormati lagi. Manakala sekolah-sekolah persendirian juga diberi peruntukan dalam belanjawan tahun 2019. 
Begitu juga perjuangan pemimpin bukan Islam yang ingin melaksanakan ICERD di negara yang secara tidak langsung menghapuskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Apa lebih malang lagi, pelaksanaan ICERD ini akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu atau Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan supaya orang Melayu yang dahulu dihormati sebagai tuan rumah negara ini dianggap sama taraf sahaja dengan kaum-kaum pendatang lain. 
Saya pasti ramai yang menyesal menyokong dan mengundi PH pada PRU yang lepas. Harapan untuk melihat Dr. Mahathir untuk mengemudi kerajaan PH dengan baik juga tidak kesampaian kerana parti cap bunga beliau sendiri merupakan parti paling kecil bilangan kerusi parlimennya dalam PH. Saya percaya orang-orang Cina DAP hanya menggunakan Dr. Mahathir untuk menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional yang kononnya kuat mengamalkan rasuah. Walaupun diberi jawatan Perdana Menteri, berapa sangatkan usia untuk memegang jawatan ini sekiranya sudah berumur 93 tahun? 
Dr. Maszlee yang dianggap sebagai cendikiawan pula hanyut dengan cita-cita mat jeninnya apabila menjawat Menteri Pendidikan. Beliau sibuk dengan kasut dan stokin sekolah sahaja tanpa memikirkan untuk menambah kualiti sistem pendidikan kita pada hari ini. Idea-ideanya kelihatan amat bodoh sekali apabila ingin membina stesen minyak dalam kampus universiti. 
Begitu juga dengan PTPTN. Kerajaan PH juga rupa-rupanya menabur janji palsu kononnya untuk menghapuskan pinjaman PTPTN. Janji tinggal janji. Rupa-rupanya rakyat masih diwajibkan untuk membayar hutang ini sama ada ianya manifesto ataupun manitomato. 
Senario harga barang pada hari ini juga menunjukkan GST bukanlah faktor harga keperluan asas terus naik. Akan tetapi, ia adalah kesan daripada tindak balas ekonomi dunia. SST yang dilaksanakan oleh Kerajaan PH dilihat sebagai terus menekan rakyat kerana kos sara hidup pada hari ini terus naik. 
Kita ibarat rakyat Iraq yang kononnya dahulu bekerjasama dengan Amerika Syarikat yang  ingin menjatuhkan kerajaan Saddam Hussein. Akibatnya, rakyat Iraq terus merana selepas Saddam digulingkan. Begitu juga dengan PRU-14 yang lepas. Kita begitu ghairah ingin menumbangkan Barisan Nasional. Malangnya, kita sendiri ditipu oleh Kerajaan Pakatan Harapan atau lebih tepat lagi ditipu oleh mainan politik Tun Dr. Mahathir.
Wallhua’lam. 

Wednesday, November 21, 2018

Besarnya Hajat di sisi Seorang Hamba, Hanya Mudah di sisi Tuhan

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki 2, penulisnya memesan kepada pembaca supaya kita meminta sesuatu kepada Allah s.w.t. walaupun kita mampu mendapatkannya secara tunai. Tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-sebesar perkara kerana semuanya adalah kecil dan mudah di sisi Allah s.w.t.
 
Apabila menonton video kisah si muflis yang berdoa pada setiap malam kepada Allah s.w.t. supaya hutang-hutangnya dapat diselesaikan sehinggalah dia bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang mengarahkannya supaya meminta wang kepada Khalifah Sultan Abdul Hameed II, ternyata bahawa Allah s.w.t. adalah tempat meminta.
Wallhua’lam.

Friday, October 26, 2018

Bos adalah Posmen

Pada kejadian yang lain, saya singgah solat di sebuah masjid di Selangor.

Pada kali ini, saya singgah untuk solat Zohor. Sekali lagi, peristiwa yang berlaku di masjid tersebut, seperti menjawab persoalan yang bersarang dalam hati saya semenjak pertemuan dengan jemaah dari India itu.
Saya perhatikan seorang lelaki yang duduk bersendirian beberapa saf di belakang saya. Wajahnya bersih dan kelihatan mudah mesra. Hati saya tertarik untuk mendekatiknya. Lalu saya menghampirinya.
“Assalamualaikum, abang datang dari mana?” tanya saya seraya memperkenalkan diri.
Daripada jawapannya, beliau datang dari utara semenanjung dan bekerja sebagai jurutera senior di Petronas. Jawatan yang disandangnya sebagai senior itu tentunya sibuk. Saya tertarik untuk bertanya lebih lanjut apabila dia memaklumkan bahawa dia bercuti selama empat bulan semata-mata untuk berdakwah.
“Empat bulan? Lamanya. Macam mana bos abang boleh luluskan?” tanya saya lagi.
“Saya hantar surat permohonan cuti selama empat bulan tanpa gaji, tetapi bos luluskan cuti empat bulan dengan bergaji.” jawabnya bersahaja.
“Wah hebatnya!”
“Semuanya milik Allah. Semuanya boleh kita mohon daripada Allah. Bos hanyalah posmen sahaja.” tambahnya.
Wallhua’lam.
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki 2.

Wednesday, October 24, 2018

Pandangan Tun Dr. Ismail ke atas Tanah Melayu Pasca Penjajahan


Kewarganegaraan

Di bawah pemerintahan penjajah, kaum pendatang semakin meningkat bilangannya, terutama keturunan Cina dan sedikit sebanyak India juga, yang didatangkan umumnya untuk bekerja di ladang getah milik Inggeris. Tiada usaha dilakukan supaya kalangan pendatang ini menjadi warga Tanah Melayu yang setia. Pihak Inggeris membiarkan sahaja mereka datang dan pergi sesuka hati, selagi mereka patuh undang-undang negara. Apabila semakin ramai bermastautin di Malaya, akibatnya semakin ramai pendatang di negara ini yang pada keseluruhannya lebih kaya dan lebih rajin daripada orang Melayu. Apabila orang Melayu merebut kuasa politik selepas Perang Dunia Kedua, cara mereka mempertahankan diri terhadap jiran tertangga yang lebih gagah dan berada itu ialah menafikan hak untuk mereka menjadi warga negara.

Soal Bahasa

Akibat pemerintahan penjajah, satu-satunya bahasa yang boleh menjamin kehidupan bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan ialah bahasa Inggeris. Selain itu, kaum-kaum di negara ini dibiarkan sahaja menguruskan pendidikan masing-masing. Pernah dicuba, tanpa bersungguh-sungguh, untuk memberi orang Melayu pendidikan dalam bahasa mereka sendiri, tetapi kerana pendidikan itu setakat sekolah rendah sahaja dan dilaksanakan dengan sikap acuh tidak acuh, tiada ada faedahnya untuk orang Melayu. Orang Cina pun dibiarkan sahaja, dibiarkan menguruskan sekolah sendiri, dengan dibiayai yuran yang mereka kenakan atas mereka sendiri, atas pengeluaran getah dan perniagaan mereka. Pendidikan mereka berkiblatkan negeri China. Akibatnya, mereka yang berpendidikan Inggeris sahaja yang ada bahasa penyatu, di seluruh Tanah Melayu yang berbilang kaum ini. Pucuk pimpinan Perikatan membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu merdeka harus ada satu bahasa penyatu, supaya pelbagai kaum menjadi satu bangsa. Pilihan yang jelas ialah Bahasa Melayu. Pada pokoknya, jika orang Cina – itu masalah politik sebenarnya, kerana kaum yang lain tidak dominan – hendak dipujuk agar menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mereka patut diberikan taraf warga negara sebagai balasan. Inilah asas sebenar kesepakatan antara tiga pihak ini, khususnya antara Melayu dan Cina.

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Masalah ini tidak sesukar yang dijangkakan, kerana pucuk pimpinan Perikatan menyedari perlunya dari segi praktikal orang Melayu diberikan kelebihan supaya dapat bersaing atas dasar sama rata dengan kaum lain. Satu-satunya soal yang menjadi perbalahan ialah berapa lama ‘kedudukan istimewa’ itu – patutkah dikenakan had masa atau dibiarkan kekal? Saya buat cadangan, yang diterima, iaitu persoalan itu biar orang Melayu sendiri menentukan, sebab saya rasa semakin ramai orang Melayu berpelajaran dan berkeyakinan diri, mereka sendiri nanti mahu menghapuskan ‘kedudukan istimewa’ ini, kerana ‘kedudukan istimewa’ ini sebenarnya menghina kebolehan orang Melayu dan patut diterima hanya kerana perlu sebagai langkah sementara demi memastikan kemajuan mereka dalam dunia moden yang penuh persaingan: dunia yang belum mereka ketahui kecuali mereka yang diam di bandar sahaja.

Wallhua’lam.

Wednesday, October 10, 2018

Realitinya, Ahli Politik Memang Tidak Mempunyai Pendirian yang Tetap

Dalam politik di tanah air kita, kita dapat perhatikan bahawa tiada ahli politik yang mempunyai pendirian yang tetap terhadap sesuatu perkara.

Sama ada pemimpin-pemimpin politik daripada Umno, Pas, Dap, dan parti-parti mana sekalipun sentiasa mempunyai pendirian yang berubah-ubah. Kita sebagai rakyat biasa kadang-kadang rasa diperbodohkan apabila menyokong pemimpin parti politik tertentu.
Lihat sahaja dengan Dr. Mahathir, sebelum PRU-13 beliau bermati-matian untuk mempertahankan Barisan Nasional daripada diruntuhkan oleh pihak pembangkang. Apabila hati sudah kecewa dengan Najib (Jibby) atau Rosmah (Kak Ros), Dr. Mahathir membuat kerjasama dengan musuh-musuh politiknya bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa Mohd. Najib di mahkamah. Dan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi PRU-14. Maka, tersenyum-senyumlah Mohd. Najib dan Rosmah berulang-alik dari rumah ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan. Dengan kata lain, Mohd. Najib dan isteri sedang dibuli oleh Dr. Mahathir.
Sewaktu Dr. Mahathir menjadi penyokong Barisan Nasional dan ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan untuk menghadapi PRU-13, beliau menyatakan bahawa BN tidak boleh menabur janji seperti pembangkang kerana pembangkang masih belum menjadi kerajaan. Apabila beliau memenangi PRU-14 di atas platform pembangkang, itulah yang terjadi kepada beliau kerana banyak manifesto atau janji yang banyak tidak dapat ditunaikan. Dengan kata lain, Dr. Mahathir telah menjilat ludahnya sendiri. 
Dalam sejarah tanah air sekalipun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pendirian ahli politik yang terkenal ketika itu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy mempunyai pendirian yang sentiasa berubah-ubah dalam perjuangan politiknya iaitu antara tahun 1945 hingga 1947 dan tahun 1947 hingga 1957.
Pada tahun 1945 sehingga 1947, beliau mempunyai satu pendekatan politik Melayu yang bersifat luas iaitu mewujudkan satu kebangsaan Melayu yang membentuk satu negara besar Melayu dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, berdasarkan empayar Melayu zaman silam yang agung iaitu Srivijaya, Majapahit, dan Melaka. Ini bermakna, kebangsaan Melayu meliputi Alam Kepulauan Melayu atau Nusantara. 
Akan tetapi, pada tahun 1957 pula apabila PKMM bergabung dengan AMCJA, ideologi politiknya berbeza. Kini, beliau menerima pembentukan rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa sebagai rakyat Tanah Melayu, tetapi kebangsaannya dikenali dengan nama MELAYU. Tidak ada soal gabungan bersama Indonesia; sebaliknya Tanah Melayu akan menuntut kerajaan sendiri dengan mengadakan pilihanraya umum. Namun, semasa memimpin PAS, beliau menjadi lebih sempit dalam ideologi Melayunya. Kini beliau melihat hanya bangsa Melayu yang berhak menjadi pemegang kuasa politik negeri ini. Tidak terdapat tolak ansur dengan orang bukan Melayu dan tidak juga bergabung dengan Indonesia.
Ini bermakna Dr. Burhanuddin seorang yang pragmatik dalam ideologi politiknya. Ideologi beliau sentiasa berubah mengikut keadaan. Beliau akan membuat sesuatu pegangan politik itu mengikut kepentingan politik yang ingin dicapainya. Sewaktu UMNO melihat penghidupan bangsa Melayu sangat genting kerana pengenalan Malayan Union, beliau melihat itu tidak penting; tetapi bergabung dengan Indonesia dan menolak feudalisme masyarakat Melayu.
Namun, apabila ini kurang berjaya, beliau dan partinya bekerjasama dengan bukan Melayu dan menolak jus soli bagi orang Melayu sahaja. Namun, apabila UMNO membuka pintu jus soli kepada orang bukan Melayu, Dr. Burhanuddin kembali semula kepada jus soli yang tertutup bagi orang Melayu sahaja. Beliau ternyata tidak tetap pendirian dan sangat pragmatik dalam dasar politiknya. 
Nah, jika kita melihat sejarah politik orang-orang Melayu pun sehingga kini pun, kadang-kadang prinsip perjuangan pun boleh berubah-ubah. Hari ini seseorang itu boleh menjadi kawan politik dan esok pula boleh menjadi seteru politik. Memang benar. Politik itu adalah seni sebarang kemungkinan.
Wallhua’lam.