Perkara yang saya paling saya tidak suka
sekali ialah apabila kita tinggal di asrama. Macam saya, saya tinggal di asrama
selama 7 tahun (lama tu). 3 tahun di SMKA Sheikh Abdul Malek, 2 tahun di KISAS,
1 tahun sewaktu di matriks, dan 1 tahun lagi adalah sewaktu berada di tahun 1
universiti.
Tetapi, pengalaman yang saya paling ingati
ialah sewaktu berada di asrama di SMKA Sheikh Abdul Malek. Apabila ke Kuala
Terengganu, sudah tentu saya sengaja melalui jalan sekolah ini.
Setidak-tidaknya boleh melihat dari jauh. Itu pun jadilah.
Sewaktu berada di asrama inilah saya
dilatih untuk hidup dalam suasana agama. Mana tidaknya, solat dari subuh
sampailah isyak, perlulah solat berjemaah. Jika kantoi sembahyang dalam bilik
atau dorm, alamatnya nahaslah kena panggil dengan senior. Bukan untuk dipukul,
malah sekadar untuk diberi amaran mesra.
Selepas solat subuh berjemaah, kami dilatih
untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai. Lebih kurang baca satu mukasurat
selepas berjemaah. Jika solat subuh turun lewat ataupun masbuk ketika itu,
malulah dengan orang lain kerana kita sembahyang di tengah-tengah halaqah orang
yang membaca al-Quran ketika itu. Selepas solat asar pula, kami perlu membaca
al-Quran lagi selepas itu. Kemudian, selepas solat waktu maghrib jika tiada
kuliah maka kami akan membaca al-Quran ataupun mathurat.
Paling saya ingat ketika ini ialah kisah
batch saya sebelum itu. Yang diceritakan oleh senior-senior saya ketika itu.
Ada yang membaca al-Quran selepas solat subuh hari Jumaat sehinggalah menjelang
waktu orang bersiap-siap hendak menunaikan solat Jumaat. Hebat bukan?
Kadang-kadang selalu membaca al-Quran
ketika di waktu asrama inilah yang melatih untuk saya membaca al-Quran setiap
hari sehingga hari ini. Walaupun sesibuk mana sekalipun, saya akan cuba membaca
al-Quran pada setiap hari.
Ada juga kisah ahli usrah sebelum itu yang
kononnya dia boleh skor dalam peperiksaan percubaan PMR ketika itu. Selepas
itu, dia tidak lagi hadir ke majlis usrah yang diadakan pada waktu malam
kononnya untuk fokus kepada pelajarannya. Apa yang terjadi selepas dia mendapat
keputusan PMR sebenar? Tidak lain dan tidak bukan dia merupakan pelajar asrama
yang mendapat bilangan A yang tercorot sekali ketika itu. Fikir-fikirkanlah
apabila kita meninggalkan aktiviti agama ini.
Ada juga kisah menarik ketika saya
Tingkatan 2 sewaktu berada di asrama sekolah ini dahulu. Ada pelajar Tingkatan
1 yang tersilap buka pintu tandas yang rosak yang tidak dapat dikunci. Apa yang
melucukan ialah terdapat senior Tingkatan 4 yang sedang buang air besar ketika
itu. Apa yang melucukan orang kata ‘tahi hijau masih keluar ikut jubur’.
Akibatnya, budak Tingkatan 1 ini dipukul oleh gang-gang senior Tingkatan 4 ini.
Hahaha...Lucu juga ketika teringat memori-memori silam ini.
Jika kita membantu agama Allah, Allah akan
membantu kita. Membantu agama ialah membuat kerja-kerja kebaikan. Kadang-kadang
inilah kehebatan sesetengah pelajar yang dikatakan tidak study manapun tetapi
result gempak. Mereka ini kadang-kadang rajin menghafal al-Quran, solat
tahajud, dan sebagainya.
Saya pernah bertanya senior saya sewaktu
peperiksaan percubaan SPM, “Kenapa rendah sangat result trial?” Dia secara
selamba membalas, “Belajar 2 tahun pun peperiksaan 2 jam sahaja...” Saya tengok
dia begitu rajin menghafal al-Quran. Dan setiap pagi dia akan melaungkan azan
subuh. Apa yang terjadi setelah mendapat keputusan SPM sebenar? Subhanallah,
dia mendapat agregat 6! Hebat bukan?
Sesungguhnya masa tidak boleh lagi diundur.
Yang tinggal hanyalah kenangan. Sesungguhnya kenangan lama memang menggamit
jiwa.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment