Sunday, December 30, 2018

Perginya Seorang Penulis Terulung Tanah Air Buat Selama-Lamanya

Apabila kita mengikuti penulisan seseorang itu dari semasa ke semasa, kita merasakan bahawa dia sebahagian daripada hidup kita atau dengan kata lain dianya adalah seperti teman kita. Apabila dia buat pergi selama-lamanya, kita merasakan bahawa teman kita telah pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang saya rasakan apabila diberitakan bahawa Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin ataupun dikenali sebagai Zam yang telah buat pergi buat selama-lamanya. 
Apabila beliau selalu menulis atau mengupas isu-isu semasa diblognya di Zamkata, saya selaku juga memberi komentar-komentar ataupun pandangan-pandangan saya sendiri. Dan boleh dikatakan komen-komen saya pun di blog beliau kadang-kadang mendapat respon daripada beliau. 
Apabila komen saya tidak disiarkan pada posting terakhir beliau pada 9 November 2018 mengenai teguran Tun Daim Zainuddin terhadap Tun Dr. Mahathir, saya berasa pelik. Saya terus menunggu dan menunggu sehinggalah kenalan memaklumkan kepada saya bahawa Zam telah dimasukkan hospital. Ini memungkinkan jangkaan saya bahawa Zam tidak menyiarkan komen saya dan tidak menulis lagi artikel diblognya disebabkan beliau telah dimasukkan ke hospital.
Akhirnya, tidak lama selepas itu akhbar-akhbar menyiarkan bahawa Tan Sri Zainuddin Maidin telah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 14 Disember 2018 kerana mempunyai masalah paru-paru dan usia beliau ketika meninggal dunia ialah 79 tahun. Terasa juga kehilangan beliau seolah-olah beliau ini teman saya apabila saya sentiasa mengikuti tulisan-tulisan beliau diblognya. 
Memetik kata-kata Hamka yang berbunyi seperti berikut :
"Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran dipelajari, diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang, mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati sentiasa berlainan susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain pula bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi orang lain, bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.”
Tulisan Zam memang memenuhi kata-kata Pak Hamka ini. Apabila kita membaca tulisan Zam, kita akan dapati bahawa lenggok bahasanya adalah berlainan dengan tulisan-tulisan biasa sama ada di akhbar-akhbar, buku-buku, dan sebagainya. Apa yang lebih penting lagi ialah tulisan Zam juga banyak menyalahi tatabahasa ataupun nahu bahasa. Inilah kehebatan seseorang pujangga menurut Pak Hamka ini. 
Apa yang saya tidak bersetuju dengan beliau ialah beliau amat berpegang bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara multi-racial. Beliau amat berpegang teguh dengan perlembagaan negara ini yang diasaskan sewaktu era Tunku Abdul Rahman dahulu dan seolah-olah kita tidak boleh melanggar apa yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid dahulu. Semoga kata-kata beliau ini diampunkan olehNya. 
Kini, beliau sudah tiada. Blognya Zamkata mungkin sudah menjadi kenangan abadi buat selama-lamanya. Membaca tulisan-tulisan lama di blog Zamkata mungkin menggamit memori sebelum ini. Saya fikir tiada ahli keluarga terdekatnya yang meneruskan penulisan di blog beliau – Zamkata. 
Memetik kata-kata Saidina Ali yang berbunyi :
“Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti.”
Wallhua’lam. 

No comments: