Wednesday, October 10, 2018

Realitinya, Ahli Politik Memang Tidak Mempunyai Pendirian yang Tetap

Dalam politik di tanah air kita, kita dapat perhatikan bahawa tiada ahli politik yang mempunyai pendirian yang tetap terhadap sesuatu perkara.

Sama ada pemimpin-pemimpin politik daripada Umno, Pas, Dap, dan parti-parti mana sekalipun sentiasa mempunyai pendirian yang berubah-ubah. Kita sebagai rakyat biasa kadang-kadang rasa diperbodohkan apabila menyokong pemimpin parti politik tertentu.
Lihat sahaja dengan Dr. Mahathir, sebelum PRU-13 beliau bermati-matian untuk mempertahankan Barisan Nasional daripada diruntuhkan oleh pihak pembangkang. Apabila hati sudah kecewa dengan Najib (Jibby) atau Rosmah (Kak Ros), Dr. Mahathir membuat kerjasama dengan musuh-musuh politiknya bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa Mohd. Najib di mahkamah. Dan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi PRU-14. Maka, tersenyum-senyumlah Mohd. Najib dan Rosmah berulang-alik dari rumah ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan. Dengan kata lain, Mohd. Najib dan isteri sedang dibuli oleh Dr. Mahathir.
Sewaktu Dr. Mahathir menjadi penyokong Barisan Nasional dan ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan untuk menghadapi PRU-13, beliau menyatakan bahawa BN tidak boleh menabur janji seperti pembangkang kerana pembangkang masih belum menjadi kerajaan. Apabila beliau memenangi PRU-14 di atas platform pembangkang, itulah yang terjadi kepada beliau kerana banyak manifesto atau janji yang banyak tidak dapat ditunaikan. Dengan kata lain, Dr. Mahathir telah menjilat ludahnya sendiri. 
Dalam sejarah tanah air sekalipun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pendirian ahli politik yang terkenal ketika itu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy mempunyai pendirian yang sentiasa berubah-ubah dalam perjuangan politiknya iaitu antara tahun 1945 hingga 1947 dan tahun 1947 hingga 1957.
Pada tahun 1945 sehingga 1947, beliau mempunyai satu pendekatan politik Melayu yang bersifat luas iaitu mewujudkan satu kebangsaan Melayu yang membentuk satu negara besar Melayu dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, berdasarkan empayar Melayu zaman silam yang agung iaitu Srivijaya, Majapahit, dan Melaka. Ini bermakna, kebangsaan Melayu meliputi Alam Kepulauan Melayu atau Nusantara. 
Akan tetapi, pada tahun 1957 pula apabila PKMM bergabung dengan AMCJA, ideologi politiknya berbeza. Kini, beliau menerima pembentukan rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa sebagai rakyat Tanah Melayu, tetapi kebangsaannya dikenali dengan nama MELAYU. Tidak ada soal gabungan bersama Indonesia; sebaliknya Tanah Melayu akan menuntut kerajaan sendiri dengan mengadakan pilihanraya umum. Namun, semasa memimpin PAS, beliau menjadi lebih sempit dalam ideologi Melayunya. Kini beliau melihat hanya bangsa Melayu yang berhak menjadi pemegang kuasa politik negeri ini. Tidak terdapat tolak ansur dengan orang bukan Melayu dan tidak juga bergabung dengan Indonesia.
Ini bermakna Dr. Burhanuddin seorang yang pragmatik dalam ideologi politiknya. Ideologi beliau sentiasa berubah mengikut keadaan. Beliau akan membuat sesuatu pegangan politik itu mengikut kepentingan politik yang ingin dicapainya. Sewaktu UMNO melihat penghidupan bangsa Melayu sangat genting kerana pengenalan Malayan Union, beliau melihat itu tidak penting; tetapi bergabung dengan Indonesia dan menolak feudalisme masyarakat Melayu.
Namun, apabila ini kurang berjaya, beliau dan partinya bekerjasama dengan bukan Melayu dan menolak jus soli bagi orang Melayu sahaja. Namun, apabila UMNO membuka pintu jus soli kepada orang bukan Melayu, Dr. Burhanuddin kembali semula kepada jus soli yang tertutup bagi orang Melayu sahaja. Beliau ternyata tidak tetap pendirian dan sangat pragmatik dalam dasar politiknya. 
Nah, jika kita melihat sejarah politik orang-orang Melayu pun sehingga kini pun, kadang-kadang prinsip perjuangan pun boleh berubah-ubah. Hari ini seseorang itu boleh menjadi kawan politik dan esok pula boleh menjadi seteru politik. Memang benar. Politik itu adalah seni sebarang kemungkinan.
Wallhua’lam.

Friday, September 28, 2018

Master Sejarah UM Semester 3 : Pengalaman ke Arkib Negara

Alhamdulillah, saya sudah lulus dan lepas Bahagian Pertama untuk master sejarah saya. Dan kini masuk Bahagian Kedua iaitu fasa menyiapkan tesis pula. Untuk lulus Bahagian Pertama master sejarah UM, anda perlu lulus lima kursus sekurang-kurangnya gred B sebelum layak masuk ke Bahagian Kedua untuk menyiapkan tesis.
 
Kalau sebut tesis ini, ia sudah tentu membuat kajian supaya mendapat penemuan-penemuan baru. Sudah tentu dalam bidang sejarah, anda atau saya sekalipun perlu membaca dan mengkaji sumber-sumber primer yakni sumber asal supaya mendapat penemuan baru.
Oleh itu, untuk mendapat sumber primer ini anda perlu ke Arkib Negara. Di sini, akan menemui semua sumber asal seperti surat-surat, fail-fail, rekod-rekod kolonial, dan sebagainya. Ini kalau taraf master, kalau taraf Ph.D nanti anda perlu pergi ke London untuk mencari sumber-sumber primer nanti untuk kajian anda.
Baiklah, untuk mencari sumber primer mengenai sejarah Malaysia, anda perlu ke Arkib Negara di Menara Warisan. Kalau hari Sabtu, ia hanya akan dibuka sebulan sekali sahaja melainkan bulan November dan Disember di mana hari sabtu tidak akan dibuka.
Apabila anda pertama pergi ke Arkib Negara, anda perlu mendaftar terlebih dahulu. Mendaftar sebagai penyelidik. Masa nak mendaftar ini, anda perlu mempunyai tajuk kajian terlebih dahulu. Oleh kerana ia perlu mendaftar secara online, anda perlu mempunyai e-mail yahoo ataupun gmail kerana pengesahan perlu dibuat melalui e-mail ini.
Setelah mendaftar secara online, anda akan diberikan kad akses untuk menggunakan dewan penyelidikan di sini. Boleh kata kakitangan di sini masa saya datang mula-mula dahulu memang cool. Layan saya saja dengan baik. Ehem..ehem..ehem..
Kalau nak masuk dewan penyelidikan ini, peraturannya memang ketat dan agak strict. Anda tidak dibenarkan membawa masuk handphone. Saya masa mula datang sini dulu, mula-mulanya berangan ingatkan boleh snap gambar rekod-rekod fail ini untuk tujuan rujukan apabila pulang ke rumah. Tetapi, handphone tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa masuk. Apa yang dibenarkan ialah membawa kamera untuk mengambil gambar. So, untuk mengambil gambar-gambar sumber primer ini, anda dibenarkan untuk membawa kamera sebenar. Hanya kamera sahaja dibenarkan dibawa masuk.
Tetapi anda jangan bimbang jika untuk mendapatkan salinan dokumen-dokumen primer ini. Anda boleh membuat salinan fotostat dengan mengisi borang yang disediakan. Harga hanya RM0.30 satu mukasurat. Namun begitu, bukan semua dokumen boleh dibuat salinan kerana bertaraf PNC. Oleh itu, anda boleh menaip dengan menggunakan laktop anda sahaja di sini (laktop dibenarkan dibawa masuk).
Apa yang mencabar sewaktu berada di sini ialah untuk mencari dokumen yang anda kehendaki. Dokumen-dokumen ini bukan disusun seperti buku di perpustakaan. Ada hanya boleh mencari dokumen dalam sistem. Setelah jumpa mana-mana dokumen yang anda kehendaki, anda hanya buat permohonan pinjam melalui sistem. Setelah itu, dalam 10 minit, kakitangan kaunter akan memanggil anda setelah dokumen yang anda kehendaki diperolehi.
Tapi, anda boleh meminjam 10 dokumen dalam satu-satu masa. Selain itu, untuk anda membelek-belek bahan yang anda kehendaki memang tentu ambil masa yang agak lama. Itupun kalau jumpa. Kalau tak  jumpa, memang sia-sia kerja anda itu. Pendek kata, kerja-kerja mencari sumber bahan ini agak leceh. Setelah itu, baru anda boleh buat salinan fotostat untuk dokumen yang anda kehendaki itu.
Sebelum anda pergi ke Arkib Negara ini, ada baiknya anda terlebih tahu apa bahan yang hendak dicari. Seperti mana saya sebutkan, anda hanya bergantung kepada sistem sedia ada untuk mencari bahan anda kehendaki. Jika ingin melihat surat khabar 1940-an, study dahulu kajian-kajian lepas akhbar apa yang telah digunakan. Cari dahulu akhbar-akhbar apa yang wujud pada tahun ini untuk memudahkan kerja anda.
Ini baru pertama kali saya ke Arkib Negara yang berdekatan dengan bangunan LHDN. Insya Allah, saya akan datang lagi pada masa akan datang untuk membuat kajian di sini.
Wallhua’lam.
 

Sunday, September 23, 2018

Asal-Usul Perkataan “Melayu”

Timbulnya perkataan “Melayu” berbagai-bagai pendapat orang mengatakan berkenaan nama sambutan Melayu itu, diantaranya :-

a. “Melayu” itu daripada dua perkataan : ‘Mela’ dan ‘Yu’. ‘Mela’ ertinya mula dan ‘Yu’ ertinya negeri, seperti yang terdapat pada nama Genggayu ertinya negeri yang bernasbah kepada Gengga, Lengkayu, Kelengkayu, dan sebagainya.
Di antara cerita-cerita tua, yang diceritakan oleh orang-orang tua Melayu dari mulut ke mulut, ada diantaranya yang menunjukkan bahawa di Alam Melayu ini dahulu kala ada satu benua besar dan berkemajuan bernama Benua “Mu” (kira-kira zaman Nabi Nuh a.s.) dan benua ini kemudiannya telah tenggelam akibat hujan badai ribut gempa dan letusan-letusan gunung berapi (sebagaimana tenggelamnya Krakatoa dalam tahun 1883 di Selat Sunda itu) dan dengan kejadian itu habislah binasa negeri itu dan orang-orangnya banyak yang mati tenggelam. Mereka yang terselamat telah melarikan diri ke tanah besar seperti Kemboja dan tak dapat melarikan diri mencari tempat berlindung di gunung-gunung dan di pulau-pulau yang timbul.
Dalam Sejarah Melayu ada karinah ini bahawa kadar yang disebutkan di permulaan cerita negara Melayu itu berasa di Bukit Siguntang Mahamiru. Ini menunjukkan bukanlah ia berasal di kuala sungai ataupun di tepi sungai.
Bekas kerajaan Minangkabau itupun terdiri di bukit-bukit dan lerengan gunung berapi di Pagar Royong. Dari atas bukit-bukit dan gunung-gunung itulah orang-orang Melayu turun ke pantai-pantai dan melanjutkan pembukaan negerinya lagi. Dan boleh jadi nama Melayu itu timbul dari yang dimaksudkan melarikan diri atau perlarian dari letusan badai dan benua tenggelam tersebut atau sisa benua ‘Mu’ itu. 
Dan daripada ini, dijangka perpindahan orang-orang itu yang mendukung bunyi bahasa Melayu itu bertempat di sekitar Kedah, Perlis, Perak, di Semenanjung dan di sekitar Sumatera Timur.
Jika berkebetulan Melayu menurut maksud di atas ini ialah negeri yang mula-mula sekali dalam dunia, atau di kawasan ini atau dimulakan lagi sesudah tenggelamnya dahulu itu.
b. “Melayu” atau “Melayur” adalah bererti tanah tinggi atau bukit atau kegunungan dan dalam bahasa Tamil pula “Malaya” itu bererti hujan. Jadinya pengertian yang pertama itu ialah kerana mula dijumpa negeri-negeri Melayu itu di atas bukit-bukit dan yang kedua pula kerana negeri yang banyak hujan (mungkin agaknya sebagai sebutan “Mal Aria”, “Mal” ertinya sakit, dan “aria” ertinya kawasan (kawasan penyakit) sekarang lalu nama penyakit “Malaria”).
Dalam bahasa sanskrit, ada terdapat perkataan “Malaya” ertinya nama pohon yang harum, gaharu kerangan bunga, penanggahan, pasukan yang berjalan berecer-ecer, kegunungan. Malaya dahulunya ialah negeri gaharu yang terkenal.
“Melayu” dalam bahasa Jawa : deras, lari.
c. “Melayu” daripada “Pemelayu” seperti Palembang daripada Lembang.
Ada lagi “Yu” bermakna telur. Jadi Melayu ertinya mula telur iaitu telur yang mula-mula yang dimaksudkan mula-mula benih bangsa di dunia atau di kawasan ini mula bernegara di zaman purba. Barangkali juga ada perkaitannya dengan falsafah Ibni Tufail dan ceritanya Hai bin Yaqzan. Dr. H. Otley Beyer telah mengesahkan, bahawa daerah Alam Melayu ini telah didiami oleh manusia semenjak 25,000 tahun yang lalu.
Di dalam kitab Jawa atau yang bernama Negara Kartagama itu tidak menyebutkan Melayu tetapi disebut Pemelayu berhubung dengan Sri Wijaya.
Pemelayu sebagai pemula negeri atau zaman pertama atau edaran (era) yang mula dan yang keduanya Palembang Sri Wijaya. Lembang sebagai lembangan perkembangan lanjutan Pemalu atau Pemelayu itu.
Bangsa Melayu lebih 100 juta sekarang maka edaran kebangkitan Melayu seluruhnya lagi sebagai kebangkitan ulangan sejarah adalah edaran yang pasti berulang. Kebangkitannya Rizal, Laurel, Quirino dari Filipina dan menyebut ketika masa lawatannya ke Indonesia. Manakala kebangkita Indonesia pasti pula berikutan Kalimantan dan Tanah Melayu sedang garisan besar kebudayaannya masih satu dan tetap satu.
d. Perkaitan dengan nama ‘Hai Malaya’ (Himalaya) sebagai leretan tanah tinggi dan gunung yang sangat tinggi dalam dunia manakala Malaya atau Melayu menunjukkan luran dan perlautan yang sangat dalam pula yang ada di daerah Midanao sebagai bekas hilang benua yang tenggelam itu. 
Wallhua’lam.
Sumber : Dr. Burhanuddin al-Helmy : Pemikiran dan Perjuangan.

Tuesday, September 18, 2018

Mudahnya Menjemput Rezeki 2 (MMR 2)

Sememangnya tidak boleh nafikan bahawa impak buku Mudahnya Menjemput Rezeki 1 lebih hebat daripada buku Mudahnya Menjemput Rezeki 2.

Apabila membaca buku MMR 2 sudah tentu kita sudah tahu bahawa apa yang ingin dibawa penulis ialah sambungan daripada MMR 1 iaitu konsep menjemput rezeki adalah lebih mudah daripada mencari rezeki. Pendek kata, buku MMR 2 ini adalah untuk menambahkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. sebagai pemberi rezeki. 
Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Hariyanto yang pernah datang memberi ceramah di pejabat saya di mana beliau mengatakan bahawa sebenarnya tiada konsep menjemput rezeki kerana setiap rezeki manusia telah ditentukan oleh Allah s.w.t. itu sendiri. Beliau memberi contoh kisah pelajar cemerlang yang mendapat straight A dalam peperiksaan SPM suatu ketika dahulu di Kelantan yang datang daripada keluarga nelayan yang daif. Apa yang terjadi kepada keluarga pelajar tersebut selepas kisah keluarganya diuar-uarkan di media massa? Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Akhirnya, keluarga pelajar tersebut mendapat banglo bernilai RM1 juta hasil sumbangan orang ramai. 
Sejauh manakah kebenaran kata-kata tiada konsep menjemput rezeki sedangkan setiap orang telah ditentukan rezekinya oleh Allah s.w.t.?
Buku MMR 2 ini telah saya beli pada tahun lepas tetapi habis dibaca pada tahun ini kerana kesuntukan masa dan perlu menghabiskan pembacaan buku-buku lain dahulu. Apa yang ditekankan oleh penulisnya pada kali ini setiap rezeki itu adalah datang daripada Allah s.w.t. Oleh itu, mohonlah bantuan Allah s.w.t. walaupun kita mempunyai wang yang banyak sekalipun untuk membeli sesuatu. 
Beliau memberi contoh jemaah dari India (mungkin jemaah Tabligh) yang datang ke Malaysia. Apabila ditanya bagaimana mereka boleh meninggalkan pekerjaan dan perniagaan mereka, mereka menjawab, “Mintalah kepada Allah s.w.t.” Dalam kembara musafir beliau sendiri, beliau mendapat teh tarik dalam cawan kertas secara percuma setelah mengamalkan konsep ‘Mintalah kepada Allah s.w.t.’ walaupun beliau mempunyai wang untuk membeli air berkenaan. 
Pokoknya, kita haruslah meletakkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t. dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara kerana bagi Allah s.w.t. itu semua adalah mudah belaka. 
Penulis juga menekankan bahawa tiada konsep kebetulan dalam hidup kerana apa yang terjadi adalah disebabkan tindakan kita sendiri.
Dalam pada itu, saya ada menonton ceramah Mudahnya Menjemput Rezeki yang dikendalikan oleh Ustaz Fathuri Salehuddin sendiri di sebuah masjid di Shah Alam. Beliau membuat eksperimen sendiri untuk menunjukkan tiada konsep kebetulan dalam hidup ini. Apa yang beliau lakukan? Mudah sahaja, beliau hanya menghadiahkan 3 buah buku MMR kepada 3 peserta secara rawak. 
Selepas itu, beliau memanggil ketiga-tiga peserta yang menerima buku ini untuk datang ke hadapan dan menyatakan apakah amalan yang dilakukan sebelum mereka datang ke ceramah beliau (diadakan pada waktu pagi) tanpa rasa perlu riak dan menjawab seikhlas mungkin. Ketiga-tiganya adalah wanita dengan memberi jawapan berikut :
Wanita pertama : Beliau menyatakan pada malam sebelum datang ke kuliah ini, anaknya tidak mahu diganggu kerana ingin mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Malangnya, ada sahabat wanita ini yang ingin bertandang ke rumah beliau. Oleh kerana ingin menjaga hati sahabatnya, wanita ini tetap menjemput sahabatnya ini datang ke rumah.
Wanita kedua : Beliau menyatakan pada malam sebelum datang kuliah ini, cucu beliau pada awalnya tidak mahu menunaikan solat Isyak. Namun, wanita ini berjanji untuk menemani cucunya tidur sekiranya cucunya menunaikan solat Isyak. Akhirnya, wanita ini menunaikan janjinya apabila cucu beliau menunaikan solat Isyak.
Wanita ketiga : Beliau menyatakan beliau datang dari jauh semata-mata untuk mendengar kuliah MMR ini.
Nah! Lihat peristiwa ini. Tiada istilah kebetulan dalam hidup. Apa yang berlaku kepada diri kita sendiri adalah disebabkan tindakan kita sendiri. Sesungguhnya pembalasan Allah s.w.t. itu amatlah cepat walaupun sekecil-kecilnya tindakan kita ini. Pembalasan Allah s.w.t. tidak cepat ataupun tidak lambat walaupun sesaat.
Pendek kata, apabila kita bersusah-susah melaksanakan perkara Allah s.w.t. suka, maka Allah s.w.t. akan mempermudahkan urusan untuk mendapatkan apa yang kita suka.
Wallhua’lam.

Sunday, August 5, 2018

Menjemput Rezeki dengan Membaca al-Quran

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran? Saya tidak maksudkan bacaan al-Quran dalam solat. Maksud saya, anda benar-benar peruntukkan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari. Jika sudah ada, syukur alhamdulillah. Jika belum, adalah penting untuk mula merencanakan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari.

Aktiviti ini benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan kita. Bukan sahaja di dunia, manfaatnya berpanjangan hingga ke negeri akhirat.
Ayuh mari kita kupas satu persatu apa kaitannya dengan rezeki. Pertama jangan beri alasan tidak membaca al-Quran kerana alasan tidak lancar, kerana ganjaran berganda menanti. Ia khusus untuk orang yang suka memberi alasan tersebut.
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama para malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah-payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran.” Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah.
Kita semua sayangkan ibu bapa bukan? Nah, di sini ada hadiah istimewa untuk mereka.
Mu’az al-Johari meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung di dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota itu melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkan bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.
Anda mahu tahu rahsia bagaimana boleh bersedekah setiap hari? Ini caranya.
Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang membaca al-Quran dengan bersuara adalah seumpama seorang yang memberi sedekah secara terang-terang dan seorang yang membaca al-Quran secara senyap adalah seumpama bersedekah secara sembunyi.” Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Hakim
Pernahkah saudara mengerjakan 1,000 rakaat solat sunat? Mustahil? Al-Quran menunjukkan caranya.
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu ayat daripada kitab Allah lebih baik bagimu daripada mengerjakan solat sunat seratus rakaat. Pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu daripada ilmu yang (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan adalah lebih baik daripada kamu mengerjakan seribu rakaat solat sunat.” Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan.
Hebat. Sungguh hebat ganjaran yang menanti para pembaca al-Quran. Saya turut memiliki beberapa pengalaman peribadi yang agak ajaib berkenaan amalan membaca al-Quran. Walaupun amalannya mudah sahaja, hasilnya sudah dibuktikan berkali-kali. Modalnya Cuma membaca satu surah tertentu. Surah itu pula sangat mudah dan saya yakin kita semua sudah menghafalnya.
Wallhua’lam.
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki.

Thursday, August 2, 2018

SALASILAH KESULTANAN MELAKA & UTHMANIYYAH YANG DIBAWA LARI INGGERIS




Satu lembaran salasilah yang begitu menarik yang menghubungkan sultan-sultan Melaka & sultan-sultan Uthmaniyyah kini berada di UK. Tidak diketahui siapa yang membuat salasilah ini, yang pastinya beliau seorang pakar ilmu salasilah. Barangkali seorang ulama Tanah Melayu. Tahun salasilah ini dibuat diyakini sezaman dengan pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) kerana salasilah Sultan Uthmaniyyah dalam lembaran ini berakhir pada Sultan Abdul Hamid II. Mengikut lembaran ini, salasilah sultan Melaka & sultan Uthmaniyyah bertemu pada Yafith bin Nuh, anak Nabi Nuh .عليه سلام

Di Eropah, semasa Portugis & Sepanyol baru keluar dari zaman kegelapan, mereka sedang berhadapan dengan zaman kegemilangan Uthmaniyyah. Jadi menyerang Uthmaniyyah bukanlah satu tindakan yang bijak. "Jika tidak mampu membunuh seekor naga, putuskan dulu ekornya".....Dengan sebab itu, Alfonso de Albuquerque telah mengeluarkan ucapan2 seperti berikut :-

Sebagai perbandingan kehilangan kota ini merupakan kerugian yang lebih besar berbanding kehilangan nyawaku dari segi khidmat kepada Tuhan, Penguasa kita dan Raja Portugal, yang berkuasa ke atas kita. Kota ini adalah sumber yang paling besar bagi rempah-rempah, ubat-ubatan dan kekayaan di seluruh dunia.

Kota ini dihuni oleh peniaga-peniaga yang paling kaya, dan ianya wujud di atas manfaat-manfaat perdagangan. Kebanyakan pedagang adalah orang Islam, yang tinggal di setiap negeri yang dikenali di India dan juga di tempat-tempat yang lain. Melalui Melaka mereka mampu untuk berdagang di pelbagai tempat, dan tanpa Melaka mereka tidak boleh membekalkan rempah-rempah, ubat-ubatan dan hasil kekayaan dalam kuantiti yang begitu besar ke bumi Kaherah, Iskandariah dan Venice.

Dengan mengusir orang-orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan kepercayaan mereka tidak akan tersebar lebih jauh lagi dengan sendirinya.

Dan jika kita mengambil yang satu ini (Kota Melaka) juga, mereka (umat Islam) tidak akan mempunyai negara lagi untuk menyara mereka.

Dari sini (Kota Melaka) lada-lada lebih banyak di ambil ke Timur Tengah berbanding dari Calicut. Dengan hanya setengah pusingan kunci, laluan ini akan ditutup, maka Raja, penguasa kita, akan menjadi penguasa bagi seluruh perdagangan ini.

Catatan Fernao Lopes De Castanheda

Ini adalah kota utama dalam wilayah-wilayah ini, yang kaya dalam perdagangan, yang telah menjadikan umat Islam kaya raya dan berkuasa di rantau ini. Kita tidak dapat melakukan khidmat yang lebih besar kepada Tuhan dan kepada Raja, penguasa kita, selain mengambil alih daripada orang Islam perdagangan ini dan dengan itu menghalang mereka daripada memiliki kekayaan mereka, dan menjadikannya milik kita.

Catatan Gaspar Correia

Sumber : Facebook G153

Kekayaan Kota Melaka

Duarte Barbosa mencatatkan dalam The Book of Duarte Barbosa tentang status pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan yang terkaya di dunia seperti berikut :

Kota Melaka ini adalah pelabuhan yang terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia. Emas mengalir ke sana dengan banyaknya sehinggakan para pedagang yang terkemuka berurusan dengannya. Mereka tidak menilai harta mereka mahu pun simpanan mereka melainkan dengan emas yang berjumlah berbahara-bahara yang mana satu bahara menyamai empat quintal 
Damiam De Goes menukilkan dalam The Chronicle of The Most Happy King Dom Manuel of Glorious Memory seperti berikut :-
Pada masa ini, Melaka dikenali sebagai kota yang terkaya di dunia kerana para peniaga yang tinggal di situ sangat kaya. Kekayaan mereka diukur dalam bahar-bahar emas – satu bahar adalah bersamaan dengan empat “quintal”. Sebahagian peniaga memiliki kekayaan mencecah sepuluh atau dua belas bahar.
(Quintal adalah ukuran berat bagi Portugis. Satu quintal bersamaan 100 kilogram. Maka 10 bahar emas bersamaan 4000 kilogram emas).
Hasil mengalir masuk dari perdagangan. Sultan mengumpulkan wang dari perkapalan dan cukai. Baginda menjadi begitu kuat sehingga enggan mengakui kekuasaan Raja Siam, yang mana baginda adalah di bawah naungannya. Raja Siam tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada Melaka lagi kerana ia telah menjadi sebuah pelabuhan antarabangsa yang hebat. Ia adalah pusat perdagangan import dan eksport. Ia adalah pelabuhan yang kaya.
Catatan aspar Correia dalam Lendas da India pula menyatakan seperti berikut :-
Melaka adalah kota yang paling ramai penduduk di Kepulauan Hindia dan ianya juga terletak benar-benar di tengah-tengah semua perdagangan yang kaya di kawasan ini.
Penaklukan istana berakhir hingga larut malam, dan harta rampasan yang diambil adalah yang terbesar yang pernah diambil di mana-mana bahagian di dunia dan yang pernah dirampas. Para tentera menjual barang-barang kepada peniaga-peniaga di tempat itu. Walaupun menjualnya dengan harga yang murah, para tentera menjadi begitu kaya sehingga mereka hanya menggunakan wang dalam jumlah tiga atau empat ribu cruzado. Selain daripada barangan mereka jual, mereka juga memiliki sebahagian barang-barang di atas kapal.
Gabenor gembira ketika melihat pegawai-pegawainya dan tentera-tenteranya bergembira dengan apa yang mereka miliki. Dia sedar sepenuhnya bahawa mereka telah mengambil hanya satu pertiga daripada harta kekayaan kota ini, banyak yang telah ditanam di dalam bilik kebal bawah tanah dengan dinding-dinding yang kukuh. 
Tome Pires menukilkan dalam Suma Oriental seperti berikut :-
Sultan mengenakan cukai untuk barang-barang dagangan, sebagaimana yang akan dijelaskan lebih lanjut nanti. Hal-hal inilah yang membuatnya sangat dihormati oleh penduduk tempatan mahupun orang asing. Berkat penghormatan ini, baginda berhasil mendapat kekayaan dan timbunan harta yang besar. Khabarnya, sultan memiliki 120 kuintal emas dan batu manikam dalam jumlah besar. Dengan harta ini, baginda memutuskan untuk berziarah (haji) ke Mekah dengan membawa banyak emas yang diangkut oleh jong yang berdasarkan perintahnya, dibina di Jawa. Baginda juga membina jong lain berukuran besar di Pegu; jika penyakit tidak menghalanginya melakukan semua ini, baginda akan tetap berangkat ke Mekah. Baginda telah menghabiskan banyak perbelanjaan dan (melibatkan) amai orang demi perjalanan ini.
Wallhua’lam.
Sumber : Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyah & Kesultanan Melaka.