Saturday, February 3, 2024

Nasib Pelarian Syria di Malaysia – Berputih Mata sebelum Ajal

Pada Jumaat lepas, saya berkesempatan berbual dengan seorang pemilik gerai makan nasib Arab dari Syria. Sebelum ini, saya bertegur-sapa dengan beliau tetapi tidak begitu serius. Memang saya tahu beliau datang dari Syria dan menetap di Malaysia sebelum ini.

Rupa-rupanya beliau lari dari negaranya sendiri – Syria kerana keadaan politik sangat tidak stabil di sana kerana beliau tidak mahu menjadi tentera di sana. Di Syria, para pemuda lelaki yang berumur antara 18 – 21 tahun wajib menyertai tentera. Jika seseorang itu sambung belajar sekalipun, seseorang itu wajib menjadi tentera selepas itu.

Jika di Malaysia, para penjawat awam mempunyai pendapatan paling stabil berbanding mana-mana sektor kerajaan yang lain. Berbeza pula di Syria di mana pendapatan pekerja kerajaan adalah kurang daripada 100 Dollar sebulan atau dalam lingkungan 80 Dollar sebulan! Begitulah keadaan di sana betapa teruknya ekonomi di sana. 

Beliau meninggalkan negaranya pada tahun 2017 atau sudah sekitar 7 tahun menetap di Malaysia. Apabila beliau mula-mula sampai di Malaysia, beliau langsung tidak pandai berbahasa Inggeris apatah lagi Melayu. Beliau hanya bekerja sebagai pencuci pinggan dan juga cleaner di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur milik orang Lubnan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ditanya bagaimana beliau boleh belajar memasak beliau menyatakan bahawa beliau belajar memasak daripada restoran lamanya tempat dia bekerja. Boleh dikatakan nasi Arab yang dimasak oleh beliau ini sangat sedap. 

Apabila ditanya adakah beliau ingin pulang ke negara asalnya untuk menemui ibubapanya? Jawabnya memang tidak mungkin untu pulang semula ke negara asalnya kerana beliau mesti pasti ditangkap oleh kerajaan bagi menjadi anggota tentera. Jika tidak mahu menjadi anggotan tentera, seseorang itu perlu membayar sebanyak 10,000 Dollar kepada kerajaan. Di manakah seseorang itu boleh mencari duit sebanyak itu di Syria sedangkan ekonomi negara sangat teruk? 

Jika difikir-fikirkan kembali kita harus bersyukur keadaan di Malaysia ini masih stabil dan menjadi tempat tinggal para pelarian dari negara-negara Asia Barat di mana keadaan politiknya masih stabil walaupun perbalahan di kalangan para pemimpin politik seolah-olah tiada kesudahan. Bersyukurlah kerana Malaysia ini masih aman. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: