Monday, May 19, 2014

Pengurusan Kewangan : Simpanan atau Hutang Perlu Diutamakan?

 
Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Ada rakan saya yang menceritakan masalahnya kepada saya : Yang mana perlu diutamakan Simpanan atau Hutang Perlu Diutamakan? Kadang-kadang ia memeningkan kepala kita apabila dihimpit hutang dan simpanan yang tak seberapa. Benar bukan?
 
Saya bagi analogi mudah sahaja. Sekiranya anda seorang Maharaja dan anda ingin menyerang dan menakluk Negara lain. Apakah persiapan yang anda buat? Adakah anda membiarkan Negara anda terkontang-kanting tanpa pertahanan yang betul-betul kukuh sebelum anda menakluk Negara lain? Sudah tentu anda perlu memastikan pertahanan Negara anda betul-betul kukuh bahkan ada tentera yang perlu berkawal di Negara anda untuk menghadapi sebarang musibah jika anda sedang menakluk  Negara lain.
 
Begitu juga dengan pengurusan kewangan kita. Kita perlu memastikan simpanan kita betul-betul kukuh dulu sebelum kita menentang dan melawan virus-virus hutang yang boleh merosakkan kewangan bagi kesan jangka panjang. Jika kita mengutamakan hutang dahulu, bagaimana kita akan menghadapi waktu-waktu kecemasan sekiranya wang simpanan kita tiada? Mahu tidak mahu kita terpaksa berhutang dengan orang lain apabila menghadapi waktu kecemasan. Ini sudah tentu akan menambah beban hutang kita.
 
Ada yang berpandangan bahawa kita perlu melihat dari sudut caj atau dividen yang dikenakan. Contohnya, caj kad kredit ialah 18% setahun manakala dividen amanah saham ialah 7% setahun. Jika dari sudut logik sudah tentu kita perlu mengutamakan hutang dahulu. Akan tetapi, dari satu segi ia sebenarnya tidak mengukuhkan kewangan kita jika kita mengutamakan hutang dahulu untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
 
Anda perlu meletakkan target simpanan anda terlebih dahulu sebelum melangsaikan hutang-hutang anda. Berapakah target simpanan anda dalam masa terdekat? RM10,000?RM20,000? Ini terpulang kepada anda. Selepas target anda tercapai, anda bolehlah memfokuskan hutang-hutang anda sehingga selesai. Selepas itu, anda boleh menikmati sifar hutang dalam pengurusan kewangan peribadi anda.
 
Sekian, terima kasih.
 
 

No comments: