Friday, May 30, 2014

Pemilikan Tanah dari Sudut Fekah : Antara Mazhab Shafie dan Hanafi



Di zaman Nabi Daud a.s. ada 2 orang hamba Allah s.w.t. yang telah berjual beli sebidang tanah. Tidak lama setelah Si A menjual tanah tersebut kepada Si B, didapati bahawa terdapat satu tempayan emas di dalam tanah tersebut. Si B ingin memulangkan semula emas tersebut kepada Si A dan menyatakan bahawa dia (Si B) hanya membeli tanah tersebut dan bukannya emas tersebut. Si A pula berkeras mengatakan bahawa emas tersebut adalah milik Si B yang membeli tanah tersebut dan akhirnya isu ini menimbulkan perselisihan faham antara kedua-dua orang hamba Allah s.w.t. ini. Bagi menyelesaikan isu ini seorang hakim dilantik dan anak kedua-dua si penjual dan pembeli ini dikahwinkan bagi menghubungkan tali kekeluargaan dan meleraikan perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

Sebenarnya, dari sudut hukum fekah emas tersebut adalah jatuh kepada milik Si A (penjual) walaupun dia telah menjual tanah tersebut kepada Si B. Namun ikhtibar daripada kisah ini ialah kedua-dua pihak iaitu si penjual dan pembeli itu adalah tidak tamak dalam merebut harta emas tersebut walaupun setiap pihak mempunyai hujah masing-masing untuk mendakwa emas tersebut adalah milik masing-masing. 

Dari sudut hukum fekah mengenai sesuatu hukum, kita sebagai rakyat Malaysia adalah mengikut mazhab Shafie. Namun dalam beberapa keadaan tertentu kita boleh mengikut mazhab lain ketika dalam keadaan darurat. Contohnya semasa kita mengerjakan haji atau umrah kerana bersentuhan kulit dengan lelaki atau perempuan bukan mahram yang menyebabkan wuduk kita terbatal sekiranya kita mengikut mazhab Shafie. Namun kita boleh mengikut mazhab lain mengenai hal ini untuk mengelakkan kita menghadapi kesukaran.

Berbalik kepada isu pemilikan tanah. Mengikut mazhab Shafie, seseorang yang meneroka sesebuah bidang tanah yang kosong yang masih belum dimiliki orang, maka tanah tersebut akan menjadi milik peneroka tersebut. Berlainan dengan mazhab Hanafi di mana seseorang yang ingin memiliki tanah perlu memiliki geran untuk tanah tersebut supaya ia adalah sah menjadi sempurna miliknya. 

Jika mengikut dalam konteks di Malaysia pada hari ini, apabila kita mengikut mazhab Shafie sudah tentu ia akan menimbulkan masalah yang berbangkit di kemudian hari apabila seseorang meneroka tanah sesuka hati untuk memindah milik tanah tersebut atas namanya. Sudah tentu dalam konteks di Malaysia pada hari ini seseorang itu perlu mendapatkan geran untuk memiliki tanah tidak kira sama ada ia dibeli, dihadiahkan, dan sebagainya untuk mengelak masalah timbul di kemudian hari. Apatah lagi dengan keadaan pada hari ini pemaju-pemaju hartanah yang rakus berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan daripada hartanah yang masih banyak belum diterokai lagi.

Begitulah keindahan Islam di mana walaupun terdapat perselisihan antara mazhab-mazhab, sebenarnya perselisihan pendapat ini adalah rahmat bagi sekalian umat Islam. Seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w., "Khilaf antara umatku adalah rahmat." 

Wallhua'lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

2 comments:

Tho Ha said...

Ayah saya pernah membeli sebidang kebun pisang dengan harga tertentu. Apabila ayah saya pergi ke kebunnya, ayah saya melihat si penjual tanah sedang mengambil pisang daripada kebun tersebut.

Saya tidak pasti adakah penjual tersebut hanya menjual tanah tetapi tidak menjual pokok pisang di atas tanah tersebut.

Bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, ayah saya menjual kembali kebun tersebut kepada tuan punya asal dengan harga yang sama.

Wallahu'alam.

wankamarul701 said...

Perkongsian yang menarik. Sudah juga kalau urusan jual beli Tanah ini khususnya implikasi dari sudut fekah.

Mungkin tindakan menjual kembali Tanah tersebut merupakan tindakan yang sewajarnya.

Terima kasih.