Tuesday, May 27, 2014

Harta Intelek dalam Penulisan Buku dan Blog



Adakah penulisan buku anda mempunyai harta inteleknya sendiri? Harta di sini bermaksud bahawa penulisan anda boleh menghasilkan wang untuk tempoh jangka masa yang panjang. Anda jangan fikir bahawa penulisan itu mudah kerana ia merupakan tugas untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai. Ilmu-ilmu yang anda sebarkan itu perlulah mempunyai kualitinya sendiri supaya buku yang dihasilkan memberi pulangan yang lumayan kepada anda.


Begitu juga dengan blog. Apakah tujuan anda membuat blog ataupun menjadi blogger? Adakah anda memang ingin melatih diri anda dalam bidang penulisan? Atau adakah anda sahaja suka-suka untuk bermain blog dengan meletakkan gambar-gambar yang telah berada di internet untuk menarik pembaca-pembaca blog anda? Atau adakah anda menggunakan bahasa pasar dalam blog anda semata-mata untuk bersantai dengan pengunjung blog anda? Anda jangan lupa bahawa penulisan-penulisan di dalam blog boleh dibukukan dan seterusnya dijual. Oleh itu, tetapkan matlamat anda terlebih dahulu sebelum apabila anda telah mempunyai blog.


Sebenarnya kompilasi artikel-artikel daripada blog untuk dijadikan buku dipanggil sebagai ‘blook’. Perkataan ‘blook’ sebenarnya dicetuskan oleh Tony Pierce apabila beliau mengumpul artikel-artikel yang terpilih daripada blognya yang berusia 1 tahun untuk dijadikan buku pada tahun 2002. Pierce kemudian mengadakan pertandingan untuk pembaca-pembacanya untuk mencipta nama buku tersebut yang merupakan hasil komplasi tulisan blognya. Jeff Jarvis merupakan pemenang pertandingan tersebut dan perkataan ‘blook’ dipilih sebagai nama untuk buku yang mengandungi tulisan-tulisan di dalam blog. Apa yang lebih menarik ialah perkataan ‘blook’ memenangi di senarai pendek dan memenangi tempat kedua dalam pertandingan Word of the Year bagi Oxford English Dictionary pada tahun 2006. 


Sememangnya untuk memiliki harta intelek untuk menerbitkan sesebuah buku itu memang sukar kerana anda perlu mempunyai sesuatu untuk disampaikan kepada pembaca. Sudah tentu asas untuk menulis sesuatu buku ialah anda perlu banyak membaca. Anda perlu memilih buku-buku yang berkualiti untuk dibaca supaya ada isi-isi menarik yang tidak diketahui oleh orang ramai ataupun yang sudah berada di internet. Contohnya, anda ingin menulis mengenai sejarah Kerajaan Turki Uthmaniyah. Sudah tentu anda perlu membaca buku-buku sejarawan yang terkenal supaya anda mendapat input-input yang menarik untuk dimasukkan ke dalam buku anda. Anda tidak boleh mengharapkan internet semata-mata untuk menulis buku. Kelak buku anda tidak berisi.


Selain itu, harta intelek juga boleh diperolehi melalui lawatan-lawatan anda ke tempat-tempat yang ingin anda jadikan subjek untuk menulis dan seterusnya mengambil gambar-gambar untuk dimuatkan ke dalam buku anda. Contohnya ialah buku ‘Kaum-kaum yang Pupus’ yang ditulis oleh Harun Yahya. Dalam buku beliau, beliau mengaitkan ayat-ayat yang telah disebutkan dalam al-Quran mengenai kaum-kaum nabi terdahulu dengan gambar-gambar penemuannya untuk mengkaji kaum-kaum yang pupus. Sudah tentu buku beliau mempunyai harta intelek yang sangat berkualiti.


Ilmu juga boleh diperolehi melalui pengalaman-pengalaman anda untuk dijadikan harta intelek dalam penulisan buku. Apakah pengalaman anda? Belajar di luar negeri? Bangkit semula setelah gagal dalam perniagaan? Mengajar tuisyen? Sudah tentu pengalaman-pengalaman anda yang ada ini boleh dijadikan harta intelek yang bernilai untuk dikongsikan dengan orang ramai. Jadikan pengalaman anda sebagai satu bentuk yang boleh dikomersialkan untuk menjana wang.


Jangan lupa bahawa kerjaya anda sekarang juga boleh menjadi harta intelek dalam penulisan buku. Apakah tugas anda sebenarnya? Jika anda bertugas sebagai pegawai bank, sudah tentu anda mengetahui selok-belok dalam kewangan dan boleh menjadi inspirasi anda untuk menulis buku mengenai pengurusan kewangan. Apa yang lebih menarik jika anda kongsikan sesuatu dengan orang ramai apa yang tidak diketahui mengenai operasi sesuatu perbankan khususnya dalam memberi pinjaman.


Sememangnya dalam penulisan buku, ia memerlukan harta inteleknya tersendiri. Anda boleh mendapatkannya melalui pembacaan, pengembaraan, pengalaman, dan sebagainya. Apa yang penting ialah anda jangan menganggap menulis itu mudah kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi dalam menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Tidak mengapa jika anda mengambil masa yang lama dalam menulis sesebuah buku asalkan ia boleh memberi pulangan wang untuk jangkas masa panjang untuk anda.


Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: