Apa yang dapat disimpulkan daripada kenyataan pemimpin Kerajaan mengenai isu kehilangan MH370 adalah keadaan yang tidak yakin. Perdana Menteri mengatakan bahawa kehilangan MH370 berakhir di Lautan Hindi walaupun ia hanya berasaskan kepada imej satelit semata-mata dan tiada bukti nyata untuk melihat bahawa penumpang-penumpang MH370 sudah meninggal dunia. Dari satu sudut, kita perlu melihatnya dari sudut fekah mengenai status keluarga kepada penumpang MH370. Apa yang boleh kita lihat dari segi 2 sudut ialah :
1. Status isteri penumpang.
Bagaimana status isteri penumpang pesawat MH370 yang telah hilang? Bolehkah kita mengisytiharkan suami mereka sudah meninggal dunia? Di sini, apa yang boleh kita katakan suami mereka dikategori sebagai hilang. Dari sudut fekah, apabila seseorang suami hilang maka seorang isteri perlu menunggu dengan tempoh tertentu. Di sini, terdapat 3 pendapat fuqaha' mengenai tempoh seseorang isteri perlu menunggu supaya dia boleh berkahwin semula dengan lelaki lain.
a. 4 tahun
Ini adalah mengikut pendapat Imam Syafie. Tempoh 4 tahun ini adalah berdasarkan kepada amalan pemerintahan Saidina Umar r.a. dan Saidina Umar al-Khattab apabila seseorang isteri kehilangan suami.
b. 6 bulan
Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hambal. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab melalui sebuah rumah di mana si isteri kehilangan suaminya, Saidina Umar mendengar si isteri meratap, "Jikalau tidak kerana aku tidak takutkan Allah s.w.t. maka sudah lama aku berzina dengan lelaki lain." Seterusnya setelah pulang ke rumah Saidina Umar r.a. bertanyakan anaknya Habsah, " Berapakah tempoh yang kamu sanggup tunggu sekiranya suamimu hilang?" Lalu Habsah menjawab, "Sekiranya engkau hanya merupakan seorang ayah dan tidak merupakan seorang Khalifah sudah tentu aku tidak akan menjawabnya. Oleh kerana engkau seorang Khalifah, aku perlu menjawabnya. Tempoh yang sanggup ku tunggu sekiranya suamiku hilang ialah 4-6 bulan."
Ada dasar ini, Imam Ahmad bin Hambal menetapkan bahawa sekiranya seorang isteri kehilangan suami, maka ia boleh menunggu sehingga 6 bulan sebelum berkahwin lain.
c. 1 tahun
Ini adalah pendapat Imam Maliki. Jika seorang isteri kehilangan suami, maka ia boleh menunggu sehingga 1 tahun sebelum berkahwin lain.
Sebagai pengikut mazhab Imam Syafie sudah tentu kita akan memakai tempoh 4 tahun sebelum seseorang isteri itu boleh berkahwin lain. Jika sudah melebihi tempoh yang dibenarkan dan si isteri sudah berkahwin dan jika ditakdirkan suami pertama kembali semula maka terdapat perkara yang timbul dalam isu ini. Jika si isteri belum bersetubuh dengan suami barunya itu, maka perkahwinan baru tersebut secara automatiknya terbatal. Jika si isteri sudah bersetubuh dengan suami barunya bahkan sudah mempunyai anak, maka si isteri boleh memilih sama ada untuk memilih suami barunya ataupun yang lama.
2. Harta Faraid
Sudah tentu jika seseorang itu meninggal, maka hartanya akan dibahagikan antara ahli-ahli keluarganya. Berlainan pula jika seseorang itu hilang, di mana ahli keluarganya perlu menunggu sehingga umurnya 90 tahun supaya harta ahli keluarga yang hilang itu boleh dibahagikan mengikut kaedah faraid.
Jika si polan itu hilang ketika berusia 40 tahun, maka ahli keluarganya perlu menunggu sehingga usianya 90 tahun atau 50 tahun lagi supaya harta si polan boleh dibahagikan antara ahli keluarganya mengikut faraid.
Secara keseluruhannya, kehilangan MH370 ini memberi implikasi dari sudut fekah kepada ahli keluarga penumpang tersebut. Semoga ada bukti sahih akan ditemui oleh pihak berkuasa supaya semua urusan ini dapat dipermudahkan. Muda-mudahan.
Wallahua'lam
Sumber gambar : Malaysiakini
No comments:
Post a Comment