Thursday, October 7, 2010

Pengurusan Wang Bulanan

Asalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
.
Semoga saudara dan saudari berada dalam keredhaan Allah dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki. Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha mencari keberkatan rezeki dalam kehidupan kita sama ada melalui kerja makan gaji ataupun bekerja sendiri.
.
Baiklah, pada hari ini saya akan membincangkan mengenai pengurusan kewangan kita pada setiap bulan khususnya bagi mereka yang bekerja makan gaji. Pergi kerja pukul waktu pagi balik petang. Cukup bulan dapat gaji. Begitulah rutin kehidupan kita selagi mana kita bernama 'Pekerja'. Biarlah gaji kita ini hanya cukup-cukup makan. Apa yang penting pendapatan mendapat keberkatan rezki. Mungkin ada rezeki yang kita ada yang tidak nampak dengan nilai wang seperti kesihatan yang baik, anak yang soleh atau solehah, rumah tangga yang bahagia, kenderaan yang tidak mudah rosak dan sebagainya. Perkara-perkara ini sudah tentu tidak dibeli dengan wang.
.
Seterusnya, saya ingin membincangkan mengenai bagaimana kita ingin mengurus pendapatan kita pada setiap bulan. Adakah kita biasa mendengar "Pay yourself first"? Iaitu bayar kepada diri kita sendiri dahulu. Kita perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk disimpan sebagai penghargaan kepada diri sendiri dahulu dalam 10% sehingga 30% sebagai tanda penghargaan kepada diri kita yang telah bekerja selama sebulan. Wang simpanan ini perlu disimpan secara berasingan dalam akaun lain supaya kita tidak membelanjakannya dan adalah lebih baik disimpan di dalam akaun pelaburan yang memberi pulangan dividen setiap tahun.
.
Seterusnya, kita perlu mengenalpasti komitmen-komitmen kita seperti keluarga dan pinjaman-pinjaman kita. Kita perlu mengenal pasti ansuran-ansuran berikut:
a. Ansuran Rumah
b. Ansuran kereta
c. Kad Kredit
d. Pinjaman Pendidikan (PTPTN, MARA dan sebagainya).
e. Pinjaman peribadi
f. Pinjaman daripada ahli-ahli keluarga.
.
Apakah kaedah berkesan untuk mengurus perkara-perkara diatas? Kaedah yang berkesan untuk mengurus kewangan di atas adalah menggunakan kaedah sampul. Kaedah sampul ini perlulah ditanda perkara-perkara di atas. Tujuan kaedah bersampul ini adalah untuk mengenalpasti had belanjawan bulanan kita supaya kita dapat mengenalpasti batas kemampuan kita. Saya bimbang sekiranya kita leka berbelanja tetapi pada masa yang sama hutang-hutang kita masih belum dijelaskan.
.
Selain kaedah bersampul, kita juga boleh menggunakan perisian Microsoft Excel untuk mengetahui komitmen kita dan baki hutang kita pada setiap bulan. Cara menggunakan perisian ini adalah bergantung kepada kreativiti masing-masing supaya ia jelas untuk kita fahami sendiri. Analisa hutang ini penting bagi kita mengetahui sejauh mana baki hutang-hutang kita. Saya bimbang sekiranya suatu hari nanti anda sesak nafas dalam memenuhi keperluan asas anda.
.
Kita juga perlu membezakan sama ada keperluan atau kehendak dalam kehidupan. Contohnya, jam tangan yang kita gunakan merupakan satu keperluan. Jika kalau kita ingin menukar jam tangan kita kepada yang lebih mahal, perkara ini menjadi satu kehendak. Dalam memenuhi kehendak kita, contohnya ingin menukar perabot dan sebagainya janganlah membuatkan diri kita berhutang dengan skim ansuran mudah ataupun pinjaman peribadi kerana benda-benda ini adalah barah dalam kewangan hidup kita. Ini tidak mengapa selagi mana kita dapat memenuhi kehendak kita tanpa berhutang.
.
Satu lagi perkara yang kita perlu ingatkan ialah mengenai kad kredit. Ini adalah kerana apabila anda menggunakan kad kredit, ia adalah ibarat api yang sedang membakar secara senyap dalam aspek kewangan anda. Ya, ia membakar secara senyap kerana banyak caj-caj yang terselindung apabila menggunakan kad ini. Ia ibarat mimpi di siang hari yang memenuhi kehendak kita. Ada orang sanggup membuat pinjaman peribadi bagi menutup hutang kad kredit ini apabila hutang kad ini adalah sudah terlampau tinggi. Ada orang terpaksa menghabiskan bonus tahunan bagi membayar kad ini. Ini adalah kerana kad caj ini caj hidup iaitu caj yang berdasarkan kepada baki kini bulanan. Yang lebih penting lagi kad kredit adalah sebahagian daripada lubang-lubang riba. Anda bagaimana?
.
Baiklah, setakat ini sahaja dulu perbincangan kita pada hari ini. Semoga Tuan dan Puan dapat mengambil tip-tips yang di sampaikan ini. Segala pendapat dan komen boleh dihulurkan untuk dikongsikan bersama.
.
Sekian, terima kasih.

No comments: