Assalamualaikum dalam salam sejahtera.
Semoga Allah sentiasa melimpahi kebaikan ke atas Tuan dan Puan
Baiklah, pada kali ini saya akan membincangkan mengenai pengangkutan di atas jalan raya iaitu KERETA. Kereta sememangnya menjadi minat orang ramai yang mengikut citarasanya tersendiri. Kadang-kadang seseorang sanggup membelanjakan wang di luar kemampuannya untuk membayar ansuran bulanan bank. Apakah ia berbaloi?
Kereta adalah menjadi keperluan apabila bertujuan untuk membawa kita dari titik A ke titik B dan akan menjadi kehendak apabila kita ingin bergaya tanpa memikirkan batas kemampuan kita semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
Secara amnya, kereta digunakan bagi tujuan berikut dan saya huraikan seperti berikut:
a. Keperluan
Kereta adalah menjadi keperluan kepada rakyat Malaysia sekarang. Tidak mustahil jika golongan miskin sekarang mampu membawa kereta di atas jalan raya. Pertamanya, kita perlu ingat bahawa kereta merupakan liabliti iaitu harganya akan menyusut setiap tahun. Walhal, pada masa yang sama kita perlu membayar ansuran kepada bank sama ada 8 tahun, 9 tahun atau 12 tahun sedangkan harga sudah menyusut RM20,000 hingga RM30,000.
Bahkan pensyarah saya dulu menyatakan bahawa beliau telah memakai 11 buah kereta. Keretanya semua adalah kereta terpakai kerana beliau menyatakan apabila kita membuat keluar kereta baru dari kedai secara automatik nilai kereta tersebut menyusut sebanyak RM2000. Ini bermakna nilai kereta akan sentiasa jatuh. Beliau menyatakan kereta yang dibeli masuk tahun ke-5 akan rosak. Kereta terpakai yang elok dibeli adalah kereta yang masuk tahun ke-3 atau tahun ke-6. Ia akan rosak semula apabila masuk tahun ke-10. Iaitu menggunakan formula kitaran 5 tahun kereta akan rosak. Saya harap anda faham. Noktah.
Adalah lebih malang lagi sekiranya kita menjadi promoter kepada kereta baru yang akan keluar yang belum diiklankan di televisyen dengan membawanya di jalan raya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk walhal kita akan menanggung rugi nanti kerana harganya akan menyusut.
Melalui pembacaan saya, kereta yang paling ideal yang mampu milik ialah kereta yang ansurannya tidak melebihi 15% gaji bersih kita yang dibayar dalam masa 4 tahun. Sekiranya, kita membayar lebih daripada itu, kita berbelanja di luar batas kemampuan kita.
Apabila kita sudah terperangkap dalam hutang kereta ini apa yang perlu lakukan?
Cara terbaik ialah guna sahaja kereta yang sedia ada. Jangan sesekali membuat refinance untuk mendapatkan kereta baru. Kelak anda yang rugi. Perbaharui urusan kewangan anda setiap enam bulan. Ini adalah kerana pendapatan makan gaji akan naik sekitar 20% setahun. Dengan pendapatan yang lebih, kita boleh gunakan hutang kereta itu. Contohnya, sekiranya ansuran bulanan kereta adalah RM450, anda boleh memperuntukkan sebanyak RM200 sekiranya kenaikan anda RM400 setahun untuk membayar lebih untuk ansuran kereta. Anda dapat membayar ansuran sebanyak RM650 sebulan dan ini dapat mengurangkan dividen bayaran bank setiap tahun dan hutang anda dapat dibayar dengan cepat. Perbaharui kewangan setiap 6 bulan untuk masa akan datang.
b. Imej
Peniaga akan menggunakan kereta yang mahal untuk supaya pelanggan yakin kepada mereka dalam urusan perniagaan. Shaharudin Rahmad, Pengarah Eksekutif dan COO, Alam Maritim Resourses menceritakan beliau gagal untuk mengenali pemilik kapal di Singapura dan seterusnya menyewa kapal kerana beliau memakai kereta sederhana. Seterusnya, beliau menyewa kereta mewah dan berjaya mendapat sokongan daripada mereka untuk menjadi ejen dan operator Syarikat Singapura untuk membawa kapal ke Malaysia (Rujukan buku Nazri Kadir, Berfikir Gaya Trump). Ini menunjukkan personaliti dan penampilan perlu dijaga dalam urusan perniagaan. Saya fikir ramai di kalangan kita tidak termasuk golongan ini.
c. Pelaburan
Kereta boleh dijadikan pelaburan sekiranya ianya adalah edisi terhad (limited edition). Ini kerana harga kereta tersebut akan naik. Saya pernah terbaca dalam akhbar tempatan suatu ketika dahulu bahawa Mercedes-Benz melancarkan kereta edisi terhad dan bilangannya hanya 60 unit sahaja. Mampukah kita ingin memiliki kereta yang hanya terdapat 60 unit sahaja di atas muka bumi ini? Saya tidak pernah terdengar cerita jauh sekali berjumpa orang yang membuat pelaburan dalam kereta di bumi Malaysia tercinta ini. Anda boleh berkongsi cerita sekiranya anda berjumpa orang membuat pelaburan ini.
Sekian sahaja perbincangan kita mengenai kereta. Segala pendapat dan kritikan membina boleh diberikan. Semoga kita sentiasa diberi hidayah oleh Allah untuk mencari keberkatan rezeki dariNya.
Sekiran, terima kasih.
No comments:
Post a Comment