Friday, September 24, 2010

Menabung

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
Adakah anda menabung atau membuat simpanan dengan wang pendapatan anda?
.
Kita sering mendengar bahawa sebahagian besar antara kita tidak boleh membuat simpanan wang pada setiap bulan kerana tiada wang lebihan atau 'surplus' daripada pendapatan kita kerana pendapatan kita yang diterima setiap bulan itu digunakan untuk perbelanjaan untuk makan minum, membayar ansuran rumah & kereta serta lain-lain lagi. Ini menjadi satu sebab yang kuat mengapa kita tidak dapat membuat simpanan pada setiap bulan. Sekiranya kita terus berfikiran dan bersikap begini, sehingga bilakah kita boleh membuat simpanan dengan wang pendapatan kita?

Oleh itu, kita perlulah membuat simpanan walaupun sedikit ataupun seciput dari pendapatan kita. Saya beri anda pilihan, untuk memulakan simpanan bermula bulan ini. Saya berikan anda 4 pilihan angka berikut untuk membuat simpanan: RM200, RM100, RM50 dan RM10. Apa pilihan anda? Sekiranya anda betul-betul mengalami masalah kewangan yang ketara, anda mungkin tidak mampu untuk membuat simpanan RM200 atau RM100 sebulan. Mungkin RM50 anda tentu boleh. Sekiranya RM50 pun tidak mampu, anda mungkin berbohong sekiranya tidak mampu menyimpan RM10 sebulan. Sekiranya kita membuat simpanan RM10 sebulan, simpanan kita akan menjadi RM600 dalam masa 5 tahun. Bagaimana dengan simpanan RM200? Sudah tentu, simpanan kita adalah sebanyak RM12,000. Kita boleh melabur di tempat lain untuk membiakkan wang kita. Saya akan membincangkan mengenai pelaburan pada masa akan datang. Saya percaya ramai lagi boleh membuat simpanan yang lebih banyak daripada yang saya sebutkan di atas.

Bagaimana kita boleh mendidik diri kita dengan membuat simpanan? Kita mungkin sering mendengar bidalan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Kita kebiasaannya hendak bukit terus iaitu menyimpan wang yang besar terus tanpa kita mempertimbangkan kemampuan kewangan kita. Sampai bilakah kita boleh membuat simpanan yang besar sedangkan wang yang kecil kita tidak boleh simpan? Saya mencadangkan petua "RM1 satu hari". Mula-mula, anda sediakan tabung atau bekas biskut kosong atau lain-lain bagi memulakan simpanan anda. Bermula hari ini, anda perlu menyimpan RM1 sehari di dalam tabung ini setiap hari. Wang simpanan akan menjadi RM30 sebulan dan RM1800 dalam masa 5 tahun. Ini sudah tentu lebih banyak berbanding simpanan RM10 sebulan yang saya sebutkan di atas. Saya telah membuat kaedah ini dan ia memberi kesan positif kepada saya.
.
Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudara saya supaya membuat simpanan untuk diri kita. Ini adalah penting untuk masa hadapan kita yang lebih terjamin terutamanya apabila kita berada dalam kesusahan atau kecemasan.
.
Sekian, terima kasih.

No comments: