Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
1. Mudah-mudahan saudara-saudari sekalian sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan rezeki daripada Allah s.w.t. Semoga segala urusan saya dan saudara-saudari sekalian sentiasa dipermudahkan oleh Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
2. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai tajuk Ibu Duit. Ibu Duit yang saya maksudkan ini bukannya pelaburan atau perniagaan yang sentiasa menjana pendapatan kita pada setiap masa sama ada secara aktif ataupun pasif. Akan tetapi Ibu Duit yang dimaksudkan di sini cara kita menjana pendapatan kita dari perspektif agama. Tidak dinafikan dalam merancang kewangan kita, kita perlu seimbang dalam tuntutan duniawi dan ukhrawi. Istilah 'Ibu Duit' ini saya petik hasil daripada perbualan saya dengan hamba Allah apabila kami berbincang mengenai pengurusan kewangan. Ibu Duit yang dimaksudkan oleh beliau ialah memberi duit kepada ibu bapa dan membayar zakat.
3. Dalam mengejar tuntutan dunia, janganlah kita sesekali melupakan tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kita. Ibu bapa kitalah yang telah membesarkan sejak kita dari kecil hingga dewasa. Oleh itu, eloklah kita membuat amal jariah dengan memberi sebahagian pendapatan kita kepada mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t. dengan cara ini.
4. Selain itu, kita juga jangan lupa dengan Rukun Islam yang ke-4 iaitu menunaikan zakat bagi mereka yang berkemampuan. Zakat mempunyai jenis-jenis yang tersendiri iaitu zakat harta, emas dan perak, tanaman, perniagaan, ternakan dan fitrah. Zakat ini perlu ditunaikan apabila syarat-syaratnya telah dipenuhi. Istilah 'zakat' itu sendiri bermaksud bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Semoga Allah menyuburkan dan murahkan rezki kita dengan menunaikan tuntutan zakat ini.
.
5. Mudah-mudahan dengan menunaikan perkara-perkara ini ianya dapat menjadi Ibu Duit kepada kita sekiranya kita dapat amalkan setiap masa. Semoga kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment